Thursday, May 26, 2011

Peluang terbaik Jazzy

pix_gal0
Kurang menonjol dalam filem, mahu menyerlah menerusi drama

WAJAH segar dan berbakat besar. Itu antara pakej yang melayakkan Noor Jazillah Rashid atau nama pentasnya Jazzy Rashid, 24, melangkah ke arena perfileman.
Sekali pun filem pertamanya, Ratu The Movie belum mampu menonjolkan kemampuan sebenar, dirinya sudah mula diintai ramai produser dan pengarah. Kini Jazzy dipilih menerajui drama bersiri romantik komedi Jamilah...I Love You.Mengakui debaran dan rasa teruja bersilih ganti, kisah yang sarat elemen jenaka sentuhan Samby Dinesh itu dianggap percaturan hidup dan matinya di dalam dunia hiburan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon drama tetapi bukan peranan utama. Apabila dipertanggungjawabkan membawakan watak Jem, gadis ditinggal bakal suami pada hari perkahwinan, keadaannya sangat berlainan.

“Dibandingkan pelakon lain, saya masih baru sekali gus keadaan itu mengundang tekanan. Syukur pengarah dan teman seperjuangan yang lebih berpengalaman memberikan bimbingan,” kata gadis kelahiran Pasir Gudang, Johor ini.

Menerusi drama bersiri 13 episod itu, Jazzy memegang watak sebagai Jamilah atau Jem yang lari ke bandar selepas pernikahannya dibatalkan disebabkan bakal pengantin lelaki tidak muncul.
Dia bertemu dengan seorang jurugambar akhbar dalam satu insiden tanpa sengaja dan individu sama mengambil gambarnya yang masih berbaju pengantin tidur di perhentian bas.

Secara tiba-tiba gadis itu menjadi terkenal apabila kisahnya dipaparkan di akhbar malah Jem turut ditawarkan mengendalikan segmen soal jawab cinta di sebuah stesen radio.

Daripada insan biasa yang kecewa apabila merasakan masa depannya hancur disebabkan seorang lelaki, Jem bangkit membuktikan dirinya masih punya sisa semangat.

“Tidak mudah membuatkan orang tertawa namun yang pasti Jem digambarkan gadis tabah dan aktif. Walau dirundung kesedihan, dia masih berusaha meredakan perasaan.

“Sarat dengan aksi menghiburkan dan elemen jenaka, saya bertuah apabila rakan lain juga mewarnai drama bersiri ini bersama karektor istimewa termasuk Miera Liyana dan Elizad Sharifuddin.

Menurutnya, A Razak Mohaideen yang membawanya terjun ke arena seni juga antara guru yang tidak lokek menurunkan ilmu sekali gus mengurangkan rasa kekok di depan kamera.

Tidak hairan, selepas Ratu The Movie, Jazzy tekad memilih lakonan sebagai kerjaya namun masih tidak melupakan bidang perakaunan yang menjadi kecenderungannya.

“Kini saya menyambung pengajian di sebuah kolej di ibu negara. Jadual belajar yang fleksibel memudahkan pembahagian masa supaya tiada satu pun perkara mustahak tercicir.

“Apabila memilih lakonan yang kadang kala perlu mengorbankan banyak masa di lokasi, saya sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan,” katanya yang turut mahu mencabar diri sebagai pengacara program TV.

Memiliki ketinggian, susuk tubuh sempurna selain petah berbicara tidak dianggap satu bonus sebaliknya Jazzy yakin sikap berani mencuba membuka peluang lakonan.

Mengimbas permulaan menceburi bidang serba mencabar itu, katanya dorongan keluarga terutama ibu yang sering menggalakkannya menyertai uji bakat membuka pintu hatinya untuk mencuba nasib.

Akui Jazzy lagi, sememangnya sebagai penggemar filem dia boleh memperuntukkan masa menghadap televisyen selain melaburkan sejumlah wang mendapatkan DVD pilihan.

“Hobi menonton filem sama ada tempatan atau luar negara masih saya teruskan kerana dari situ juga saya dapat mempelajari sesuatu.

“Begitupun sebagai orang baru saya akan cuba mendapatkan pendidikan formal daripada pelakon berpengalaman lain seperti Ellie Suriati,” katanya yang menjadikan aktres itu sebagai idola.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: