![]() |
| JACK Black kembali menghidupkan watak Po dalam Kung Fu Panda 2. |
SEMPENA dengan cuti musim panas di Amerika Syarikat, pawagam tempatan nampaknya sudah mula dibanjiri dengan filem-filem hebat yang pastinya menarik perhatian pencinta filem.
Sebahagian besar filem yang ditayangkan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan ini semuanya boleh dikategorikan sebagai filem blockbuster yang merangkumi pelbagai genre.
Antara genre yang mendapat perhatian sudah semestinya filem animasi, aksi, komedi dan seram yang merupakan filem-filem yang menjadi tunjang utama kepada kutipan pecah panggung.
Salah sebuah filem yang menjadi perhatian tahun ini adalah filem sekuel, Kung Fu Panda yang berjudul Kung Fu Panda 2.
Selepas kejayaan filem pertamanya pada tahun 2008 yang mencatatkan kutipan lebih daripada AS$633 juta (RM1.92 bilion) di seluruh dunia, studio Dreamworks Animation mahu meneruskan legasi filem berkenaan.
Apatah lagi, Kung Fu Panda mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia terutama kanak-kanak ini menyebabkan Dreamworks Animation tidak mahu menunggu lama untuk menerbitkan sekuelnya.
Memulakan produksi sejak Oktober 2008, Kung Fu Panda 2 masih lagi mengekalkan sebahagian besar penyumbang suara untuk kesemua watak-watak utama dalam filem ini.
Mereka yang dimaksudkan ialah Jack Black yang membawa watak utama Master Po, Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman (Master Shifu), Jackie Chan (Monkey), Lucy Liu (Viper), Seth Rogen (Mantis) dan David Cross (Crane).
Bagi memeriahkan lagi sekuel ini, beberapa orang pelakon popular turut menyumbangkan suara mereka untuk beberapa watak baru antaranya Datuk Michelle Yeoh sebagai The Soothsayer, Jean-Claude Van Damme (Master Croc), Dennis Haysbert (Master Storming Ox), Victor Garber (Master Thundering Rhino) dan Gary Oldman (Lord Shen).
Kung Fu Panda mengambil kisah kehidupan Po, guru dan kawan-kawannya selepas dia berjaya menjadi The Dragon Warrior yang diidamkan selama ini.
Namun, kegembiraannya tidak lama apabila semua wilayah China digugat oleh seorang penjahat yang menggunakan senjata rahsia untuk menakluk China dan memusnahkan seni pertahankan diri, kung fu.
Untuk itu, Po dan pasukannya perlu melunaskan tanggungjawab bagi memastikan keadaan kembali aman. Apakah yang berlaku seterusnya? Semuanya akan terjawab dalam Kung Fu Panda 2 yang kini sudah ditayangkan di pawagam tempatan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: