PETALING JAYA: Penyampai radio XFM, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, 28, membuat keputusan muktamad untuk bersara sebagai deejay stesen radio itu kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.
Nana yang telah menamatkan hari terakhirnya di stesen radio XFM, Jumaat memberitahu dia telah membuat keputusan tersebut sejak dua bulan lalu walaupun kontraknya dengan rangkaian radio Airtime Management & Programming (AMP) sepatutnya tamat pada hujung tahun ini.
"Memang ia satu keputusan yang amat berat dilakukan kerana sudah lapan tahun saya berkecimpung dalam dunia penyiaran radio. Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan tentang anak sulung saya, Althea Raqeem Brian yang baru berusia lima bulan kerana dia memerlukan perhatian yang rapi.
"Selepas mengendalikan slot pagi 6-10 pagi tadi (Jumaat) saya pulang dengan keadaan yang sangat sedih. Malah saya menangis sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Apa-apa pun semua ini demi masa depan Althea," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Tambah Nana, dia ingin peminat-peminatnya tahu bahawa dia bukannya berhenti terus daripada industri hiburan kerana bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama itu masih lagi mengambil tawaran menjadi pengacara program-program televisyen sahaja.
Dalam pada itu, Nana turut bergiat aktif dalam perniagaan pakaian jenama FaraNana bersama rakan baiknya, Fara Fauzana.
Bagaimanapun ini tidak bermakna dia tidak akan menjadi seorang penyampai radio lagi di masa akan datang kerana tidak mahu mensia-siakan bakat yang ada.
Sementara itu, memandangkan kini hanya suaminya, Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 37, sahaja yang bekerja, Nana memberitahu dia perlu merancang perbelanjaannya dengan sebaik mungkin.
Nana mula dikenali sebagai penyampai radio Era FM sejak tahun 2000 dan pada hujung 2008, dia ditukarkan ke radio XFM pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: