Thursday, May 12, 2011

Malaysia hab 4G

Michael Lai
Michael Lai

PACKET One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1), penyedia jalur lebar 4G pertama berasaskan teknologi WiMAX di Malaysia dan Asia Tenggara mahu melahirkan lebih ramai jurutera berkemahiran tinggi dalam bidang Protokol Internet (IP) khususnya dalam teknologi 4G berikutan permintaan tinggi tenaga kerja itu di pasaran kerja.

Langkah itu selari dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan sektor teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan pada masa sama memiliki tenaga kerja berkemahiran yang dapat menyumbang kepada pembangunan sumber manusia menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.


Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai berkata, sejak lesen WiMAX diberikan pada 2007, P1 melahirkan seramai 200 hingga 300 kakitangan mahir termasuk jurutera IP yang kini terbabit sebagai perunding syarikat kepada syarikat yang berminat untuk mendapatkan khidmat membangunkan teknologi 4G.

“Ketika ini, gaji atau upah bagi seorang jurutera IP dibayar kira-kira RM3,000 sehari dan ini menunjukkan khidmat mereka amat diperlukan, sekali gus memberi kelebihan kepada Malaysia untuk melahirkan lebih ramai jurutera IP.


“Malaysia sudah menjadi pendahulu berbanding negara jiran lain dalam memperkenalkan jalur lebar 4G dan kita mahu meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab 4G yang bukan saja memberi manfaat kepada penduduk, tetapi mampu menarik lebih banyak pelaburan asing datang melabur di negara ini berikutan prasarana ICT yang baik,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bisnes Metro di Kuala Lumpur, semalam.


P1 ketika ini menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar 4G WiMAX 802.16e 2.3GHz dengan kelajuan sehingga 40 megabit sesaat (mbps).

Beliau yang turut dilantik menyertai Lembaga Forum WiMAX berkata, ketika ini ada kalangan jurutera IP yang pernah berkhidmat dengan P1 sudah ditawarkan bekerja dengan syarikat telekomunikasi di China, Indonesia dan Kemboja, malah syarikat bertindak sebagai perunding kepada syarikat yang berminat membangunkan teknologi itu.


Katanya, kira-kira 60 operator syarikat telekomunikasi dari 55 negara antaranya Chile, Vietnam, Filipina, Bangladesh dan Timur Tengah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada P1 untuk mengetahui lebih mendalam teknologi dibangunkan syarikat.“Sebagai pengendali WiMAX pertama di Asia Tenggara hasil daripada pandangan jauh kerajaan Malaysia, P1 bertekad untuk mengembangkan WiMAX namun ia memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan bagi membangunkan prasarana untuk menyokongnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: