Friday, May 27, 2011

Mahu popular di USA tapi...

pix_middle

BAKAT, minat dan ilmu perlu selari. Tidak hairanlah dalam meneroka dunia seni yang begitu mencabar, Najwa Mahiaddin pada masa sama gigih menimba ilmu seni dan muzik di Berklee College of Music Boston, Amerika Syarikat.

Kembali ke Malaysia sempena cuti pengajian musim panas, Najwa mengambil peluang mengisi masa yang terluang itu untuk membuat persembahan dan mempromosikan album sulungnya.

  • Foto

    NYANYI...Innocent Soul beri semangat untuk terus melangkah.

  • Foto

  • Foto

Mula dikenali menerusi lagu Kau Yang Punya hasil kolaborasi bersama Malique, Najwa sudah mampu berbangga dengan produk sulung miliknya, Innocent Soul yang berjaya menambat hati peminat muzik tempatan.

Tidak hanya difokuskan kepada pengikut pengaruh muzik yang diperjuangkan, neo-soul dan jazz, penyanyi ayu berusia 25 tahun ini bersyukur apabila ramai kelompok peminat baru muncul menyokong kerjaya seninya.


Menurut Najwa, Innocent Soul adalah semangat yang terus memanaskan langkah�nya bagi mengembangkan kerjaya seni ke tahap yang diharap-harapkan.


“Alhamdulillah Innocent Soul berjaya merealisasikan apa yang pernah saya impikan sebelum ini. Bukan mengejar populariti semata-mata, sebaliknya saya mahu memperkenalkan bakat sambil menambah warna kepada bidang seni dengan genre muzik yang amat saya gemari.

“Setakat dilancarkan awal tahun lalu, Innocent Soul sudah berjaya dijual melangkaui jumlah yang kami cetak.

“Permintaan masih ada dan pihak pengurusan sedang sibuk mencetak semula untuk dipasarkan.

“Sebenarnya saya hanya mendapat tahu perkembangan jualan album dan sambutan peminat menerusi rakan-rakan di Malaysia dan pihak pengurusan memandangkan saya masih sibuk belajar.

“Namun sebaik mendengar khabar gembira itu, saya benar-benar bersyukur kerana akhirnya masih ada juga kelompok peminat muzik yang menghargai perjuangan cara saya itu.

“Sambutan positif ini akan lebih menyuntik semangat saya untuk terus mengatur perjalanan kerjaya dan peranca�ngan masa depan,” katanya.

Kata Najwa, pengajiannya berbaki kira-kira setahun setengah lagi sebelum sempurna memegang sarjana dalam lapangan pengajian muzik.

Katanya, sepanjang beberapa bulan memulakan pelajarannya di negara Uncle Sam itu, Najwa tinggal keseorangan di sebuah apartmen berdekatan kolejnya.

Selain menghabiskan masa di institusi pengajian, anak kelahiran Kuala Lumpur ini melakukan pelbagai aktiviti lain bagi mengisi rasa rindu kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat di Malaysia.

“Sebenarnya, saya sudah biasa tinggal sendirian kerana sebelum ini saya juga berdikari ketika belajar di Australia. “Lantas tiada apa yang pelik cuma tidak dinafikan, sesekali saya rasa sunyi dan bosan. Namun jika difikirkan dari sudut berbeza, inilah masa untuk saya meletak sepenuh fokus kepada pelajaran agar selesai mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Saya juga tidak suka memandu kereta di sana, sebaliknya lebih suka menggunakan pengangkutan awam untuk ke kelas atau ke mana saja.

“Mujurlah apartmen berhampiran dengan kolej saya. Biasanya saya suka lepak di kolej kerana saya bukan jenis yang suka keluar tanpa tujuan. Justeru, masa saya banyak dihabiskan di dalam kelas dan mengikuti pelbagai aktiviti anjuran kolej bersama kawan-kawan.

“Kalau rindukan Malaysia, saya akan memasak sendiri. Saya membawa semua rencah dan bahan-bahan masakan terutamanya rempah kari dan bagi memudahkan saya memasak di sana. Sejak dulu, saya memang suka memasak dan belajar daripada guru saya iaitu ibu,” katanya yang sempat mengunjungi New York sebelum pulang ke Malaysia, baru-baru ini.

Menyifatkan pengajian muzik di Berklee sebagai sesuatu yang sudah lama diimpikan, Najwa bertuah kerana berpeluang menimba ilmu daripada barisan tenaga pengajar yang punya pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Mendengar ceritanya di sana dengan minat dalam lapangan nyanyian yang hangat membara, terlintas pula persoalan adakah pernah dia mencatur langkah mengintai peluang mengembangkan kerjaya di Amerika Syarikat seperti mana yang dilakukan Yuna.

“Memang saya ingin sekali mencuba nasib namun ia tidak semudah yang difikirkan. Saya perlu meletak sepenuh fokus pada pengajian lebih-lebih lagi jadual pengajian begitu padat dengan pelbagai aktiviti baik di dalam kelas mahupun latihan lain. Lagipun, saya hanya memiliki visa sebagai pelajar yang menghalang saya untuk membuat sebarang persembahan atau perancangan melebarkan kerjaya
secara serius.

“Namun saya ada juga memberikan pensyarah dan tenaga pengajar saya album saya untuk mereka dengarkan. Saya ingin mendengar reaksi dan pandangan mereka mengenai kerjaya dan usaha yang saya lakukan di Malaysia. Alhamdulillah mereka sukakan muzik saya dan kagum dengan usaha saya selama ini.

“Namun saya pernah mengadakan persembahan kecil-kecilan buat teman-teman di majlis tertutup saja. Tapi kalau ada peluang besar selepas ini, saya tidak sekali-kali akan menolak.

“Saya kagum dengan keberanian Yuna dan itulah semangat yang kita perlukan,” katanya.

Penyanyi yang kini popular menerusi lagu Sweet October sebagai single pertama dan kemudian melodi cetusan ideanya sendiri, Got To Go yang dipetik daripada Innocent Soul itu yakin akan berusaha mengembangkan empayar muziknya jauh ke negara itu satu hari nanti.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Najwa Mahiaddin
NAMA KOMERSIAL: Najwa
TARIKH LAHIR: 26 April 1986
USIA: 25 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Muzik (Pengkhususan Penulisan Kontemporari) di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat
ALBUM: Innocent Soul
LAGU POPULAR: Got To Go, Senyum dan Kau Yang Punya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: