Wednesday, May 18, 2011

Lapan tahun derita bekalan air


Mohd. Hafizul mengambil air perigi bagi kegunaan harian akibat masalah air di Tanah Merah sejak lapan tahun lalu.


TANAH MERAH – Sejak lapan tahun lalu, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Gual Ipoh dekat sini selalu menderita kerana masalah bekalan air hingga terpaksa menggali perigi di kawasan masing-masing.

Rata-rata mereka mendakwa terpaksa berbuat demikian bagi menampung keperluan akibat masalah tekanan air yang rendah dan mendakwa Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. gagal menangani masalah berkenaan.

Seorang penduduk, Amiruddin Awang, 37, mendakwa, sebahagian penduduk terpaksa menggunakan air perigi bagi mendapatkan sumber air untuk kegunaan seharian termasuk air minuman dan memasak walaupun menyedari ia tidak terjamin dari aspek kebersihan.

“Keadaan ini berpanjangan bertahun-tahun lamanya. Penduduk tidak dapat menikmati bekalan air bersih. Bukan bekalan air bukan tidak ada tetapi tekanan terlalu rendah sehingga menyukarkan kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Menurut Amiruddin, apa yang dikesalkan, penduduk tetap perlu membayar bil air AKSB walaupun perkhidmatannya yang teruk selain menanggung bil elektrik lebih tinggi kerana menggunakan pam air di kawasan perigi.

Bagi seorang lagi penduduk, Mohd. Zulkifli Hamat, 35, pula mendakwa, akibat masalah yang sama ia menyukarkan pihak bomba untuk memadamkan kebakaran seperti yang berlaku baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: