Tuesday, May 10, 2011

Kanvas seni Nando’s


FAIZ yang menjadi juara pertandingan lukisan anjuran Nando’s bergambar dengan hasil karyanya.


MENTERJEMAH mesej tentang makanan menerusi lukisan bukan satu tugas mudah. Bukan calang-calang individu memiliki bakat mencontengkan idea pemakanan yang sihat di atas kanvas.

Jika tidak mempunyai kepakaran, lukisan yang dihasilkan bukan saja mengelirukan mata yang memandang, malah mesej yang ingin disampaikan juga tidak dapat dihadam orang ramai.

Saban tahun Nando’s mengangkat karya pelukis-pelukis muda tempatan buat tatapan umum sebagai medium mempromosikan menu sihat restoran mereka.

Buat kali keempat, Nando’s dengan kerjasama Galeri NN sekali lagi menganjurkan pertandingan Peri-fy Your Art iaitu satu landasan buat anak seni tempatan mempamerkan karya kreatif mereka.

Bertemakan Health is...Body, Art and Soul, peserta-peserta diberi peluang menginterpretasikan tafsiran mereka tentang hubung kait kesihatan dengan tubuh badan, seni dan jiwa.

Juara pertandingan, Faiz Mohamed Yunus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan, beliau mengambil masa seminggu untuk menghasilkan lukisan yang menggabungkan pelbagai warna itu.

“Saya banyak bermain dengan warna-warna yang kelihatan ‘sedap’ untuk dimakan.

“Warna seperti kuning, hijau dan merah memang sinonim dengan makanan, jadi apabila menghasilkan karya ini saya lebih fokus kepada elemen warna,” jelasnya yang berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan baucar RM200 daripada Nando’s.


PEMENANG tempat kedua, Muhamad Nizar Mohamat Salleh (kanan), dan Muhammad Fadhli masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000.


Pelukis muda berusia 23 tahun itu memberitahu, kelas-kelas yang diambil di universiti banyak membentuk dan mengasah bakat melukis dirinya.

Pemenang tempat ketiga, Muhammad Fadhli Mohd. Ariffin yang merupakan pelajar UiTM pula menyatakan idea menghasilkan karya yang dihasilkannya datang selepas membelek-belek beberapa buah buku kesihatan.

“Memandangkan tema yang ditetapkan berkisar tentang kesihatan dalam pemakanan, jadi saya banyak merujuk kepada bahan-bahan berkaitan kesihatan.

“Selepas mendapat gambaran tersebut, saya mula menghasilkan lukisan itu. Ia memakan masa hampir sebulan bagi menyiapkannya,” ujar pelajar semester tiga jurusan Seni Cetak itu.

UiTM memonopoli pertandingan itu apabila enam pelajarnya berjaya mengungguli senarai 10 lukisan terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nando’s, Mac Chung Lynn, mereka yang berminat untuk membeli hasil seni peserta-peserta tersebut diberi peluang bagi membida harga terbaik ketika lelongan dijalankan.

“Separuh daripada hasil jualan tersebut akan diserahkan kepada peserta terbabit, manakala separuh lagi akan dikongsi oleh tiga pemenang utama tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: