Sunday, May 29, 2011

Jiwa ekstrem teater kecil


WAJAH-WAJAH pengemudi teater Tyickoouns dan malam ini menjadi malam terakhir pementasan mereka di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


MEREKA berteater dengan acuan dan pengisian yang tidak terjajah oleh anasir yang bercanggah dengan prinsip kesenian. Itu kata kunci yang menyelinap sepanjang 90 minit melabuhkan diri menyaksikan pementasan teater eksperimental berjudul Tyickoouns, Khamis lalu.

Mengambil pentas Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 23 hingga hari ini, naskhah karya pengarah dan penulis muda, Khairunazwan Rodzy itu kecil skalanya tetapi besar jiwa dan falsafah yang mahu ditebarkan.

Seperti tagline teater itu sendiri ‘dan hanya yang kuat berhak bermimpi’, sedikit sayang apabila teater yang kebanyakannya ditangani oleh bekas-bekas graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan itu (Aswara) itu tidak semeriah sambutan yang diimpikan.

“Kesedaran orang ramai tentang teater ini agak lambat, tapi ia perlahan-lahan mendapat sambutan, harap, malam ini dewan akan penuh,” seloroh Namron, salah seorang pelakon yang terlibat.

Pengarah serta penulis skrip Tyickoouns, Khairunazwan pula tetap berpuas hati kerana naskhah yang pernah dipentaskan dua tahun lepas itu disifatkan berjaya menyatukan gerak rasa yang dimahukan.

“Saya tetap puas hati, saya dapat kerjasama yang cukup baik daripada pelakon dan krew terlibat. Selepas ini, kami mungkin akan pentaskan lagi naskhah ini” ujarnya yang mahu melihat graduan seni tidak putus asa untuk berkarya.

Di sebalik perjuangan dan impian Manan, Long, Cikgu Kadak, Ramona, Tycoon antara watak yang dimainkan dalam teater bersifat gangster politikal ini, pemain-pemain Tyickoouns diajak bersantai tentang pemahaman mereka tentang apa yang diperjuangkan.

Sensasi Bintang: Apa itu Tyickoouns?

NAMRON (N): Kami bermain dengan isu politik dan hak memilih pemimpin, macam soal pilihan raya yang makin dekat. Teks ini sendiri agak politikal, tambahan ia adaptasi daripada kisah Hang Tuah dan Hang Jebat, sebuah karya klasik yang dimodenkan. KHAIRUNAZWAR (K): Ia satu teks yang dimodenkan untuk mengajak penonton sedar wujudnya gengsterisme dalam kepimpinan dan adakah wujud pemimpin yang samseng dalam pentadbiran. Gengster dalam Tyickoouns bukan hiburan semata-mata.

ZAHIRIL ADZIM (ZA): Tyickoouns adalah cerita orang Melayu, ia terbahagi kepada dua, iaitu yang prokerajaan dan antikerajaan.

WANJI ASWANDI (WA): Tyickoouns bercakap tentang sistem dan kekangan hidup masyarakat yang ada elemen gengster.

MARDIANA ALWI (MA): Ada banyak pengulangan yang ditekankan dalam teater ini, ia tentang kelompok yang mahu memimpin hidup orang lain.

AMERUL AFFENDI (AA): Ia tentang orang yang tertindas di sebabkan oleh politik, adanya orang suruhan (gengster) untuk takutkan orang lain, rasanya perkara itu sangat relevan.

Kedengarannya seperti kalian ini seniman berjiwa ekstremis?

N: Tidak, saya seorang konvensional. Mesej yang mahu saya sampaikan ialah kebebasan dalam berkarya.

K: Saya cuma jujur dalam berkarya, tidak mereka-reka.

ZA: Tidak. Rasanya benda ini kena pada waktunya, kami ini semua belia tunggak negara, jadi tidak perlu memberontak kerana pasti ada jalan. Kami buat teater begini, tidak berat sebelah, terpulang kepada penonton untuk buat pilihan.

AA: Kami bukan ekstremis. Tapi harus ada tekanan, barulah sesuatu itu dapat diluahkan.

WA: Ekstremis itu bukan tetapi ajak orang berfikir, benda ini mungkin berlaku mungkin juga tidak.

Teater kecil jiwa besar, selalunya begitu, komen kalian?

N: Teater adalah platform untuk ekspresikan pemikiran, nak kongsi. Sama juga dengan filem, teater juga boleh membentuk budaya dalam masyarakat, sejarah telah membuktikan bahawa kesenian mampu membentuk rakyat.

K: Jiwa memang besar tapi tak ramai penonton, kami harap ada pementasan yang seterusnya.

ZA: Benda itu sudah lama berlaku tapi masih tidak mampu meningkatkan jumlah penonton. Kami berteater bukan untuk bersaing tetapi untuk ‘merayakan’ orang.

AA: Sebab jiwa besar, jadi tidak perlulah sampai ke Istana Budaya, di situ teater sudah jadi sesuatu yang eksklusif, di sini lebih sedang, cuma kurang publisiti sahaja.

WA: Teater itu seni dan kesenian itu sebahagian daripada kehidupan, masalahnya ada orang yang hanya kenal teater dengan hanya satu aras. Dalam teater begini, tiket bukannya mahal.

MA: Sebab itu rugi kalau ia tidak ditonton. Setiap orang yang datang menonton harus berfikir tentang yang dipersembahkan ini.

Dalam seni pentas, seseorang itu haruslah membuat persembahan bukannya pertunjukan, apa pilihan kalian?

N: Kami menunjukkan sebuah pementasan, penonton juga tidak diikat, sebab tidak mahu wujudkan propaganda, seni itu subjektif.

ZA: Kami cuma tunjukkan apa yang kami miliki. Rasanya istilah persembahan itu akan terikat dengan kehendak audiens. Saya cuma merayakan teater ini, seperti hari raya, semua orang berhak meraikannya.

AA: Saya pilih untuk menghiburkan orang.

MA: Saya setuju dengan Zahiril, ‘persembahan’ akan sedikit terikat dengan kehendak audiens.

KA: Oh! Itu falsafah yang bahaya dan sama ada pertunjukkan atau persembahan, ia sebenarnya ia tidak perlu dipisahkan, takut akan mengasingkan haluan orang.

Ketepikan soal kewangan, secara peribadinya apa kekangan yang sedang kalian tempuhi?

N: Survival atau kelangsungan hidup, orang seni juga perlukan sumber kehidupan.

K: Kekangan kepercayaan pihak industri terhadap orang muda atau graduan yang baru hendak masuk ke dalam industri. Jadi kena kerja keras.

ZA: Orang baru perlukan sokongan orang lama, orang baru ibarat sungai, orang lama pula ibarat tebing.

WA: Kekangan ada bila orang gunakan seni untuk kepentingan peribadi. Seni kena bebas kerana seni itu juga dakwah.

AA: Saya tak nampak masalah kerana saya hanya ikut apa yang kena dengan pendirian saya.

MA: Dunia seni banyak saingan, saya pula berdepan faktor komersial. Ada diploma atau ijazah seni pun tak guna kalau tiada nilai komersial, jadi saya kena bermula dari ‘kosong’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: