Wednesday, May 4, 2011

Impian 92 pesrta dalam Sejuta Impian




TIDAK dinafikan program-program televisyen yang berkonsepkan realiti televisyen ternyata sering mendapat tempat di kalangan penonton terutamanya yang berbentuk hiburan sama ada mencari penyanyi atau pelakon baru yang berbakat.

Bagaimanapun, TV3 telah tampil dengan satu program realiti yang dikenali sebagai Sejuta Impian dengan kerjasama Dana Belia 1Malaysia (DB1M) dan Telekom Malaysia (TM).

Menariknya, program ini bukan mencungkil bakat dalam bidang hiburan, sebaliknya memberi peluang kepada sesiapa yang mempunyai impian untuk direalisasikan dan mampu memberi impak kepada masyarakat atau membangunkan masa depan belia.

Malah, insentif sehingga RM1 juta telah disediakan dan ia akan dijadikan sebagai dana kepada para peserta yang menyertai rancangan ini agar impian mereka dapat dilaksanakan.

Mula dilancarkan sekitar bulan Februari lalu, ternyata rancangan ini mendapat sambutan hangat apabila 1000 penyertaan telah diterima untuk menjalani proses pemilihan.

Namun begitu, menerusi proses pemilihan yang dijalankan melalui kaunter pendaftaran di lokasi terpilih, secara pos dan dalam talian, hanya 92 peserta sahaja yang berjaya terpilih.

Selain itu, seramai tiga orang juri tetap serta seorang juri undangan turut dilantik iaitu Norman Abdul Halim, Roshan Thiran dan Yiu Lin yang akan menilai setiap impian yang dikemukakan peserta.

Salah seorang juri, Norman menjelaskan sebelum seseorang peserta itu diberikan dana, impian yang dikemukan oleh mereka akan dinilai terlebih dahulu meliputi pelbagai aspek.

Jelasnya, apa yang menjadi keutamaan ialah setiap impian yang dikemukakan itu meliputi pembangunan diri sendiri atau memberi impak kepada komuniti dan masyarakat.

“Boleh dikatakan setiap peserta yang datang mengemukakan pelbagai impian yang menarik. Pada masa itu mereka akan menyatakan sekali jumlah peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan impian masing-masing.

“Kemudian barisan juri akan berbincang tentang dana yang diperlukan mereka, namun tidak semestinya akan dapat sama seperti yang diminta. Sama ada mereka akan dapat kurang atau pun lebih dan bergantung kepada penilaian juri,” ujarnya.

Tambah Norman, dana maksimum yang akan diberikan kepada peserta individu adalah sebanyak RM20,000, manakala yang mewakili persatuan atau badan bukan kerajaan pula akan menerima sehingga RM50,000.

Ujarnya lagi, apa yang diberikan kepada para peserta ini adalah sebagai langkah permulaan untuk merealisasikan impian dan mereka akan dibimbing dan dipantau sepanjang tempoh melaksanakan impian tersebut.

Menurut Norman, melihat kepada peserta yang hadir pada sesi rakaman rancangan tersebut, rata-ratanya telah membuat pelbagai persediaan.

Sementara itu, seorang lagi juri tetap iaitu Yiu Lin menjelaskan bukan mudah sebenarnya untuk menolak permintaan seseorang peserta. Namun setiap keputusan yang dibuat adalah melalui perbincangan bersama.

Jelasnya, pihak juri akan memberikan sebab dan alasan yang kukuh sekiranya sesuatu permohonan itu ditolak dan tidak dinafikan ada juga beberapa peserta yang pulang dengan tangan kosong.

“Tidak dinafikan setiap peserta mempunyai kesungguhan dan idea yang cukup menarik, tetapi adalakanya impian yang dikemukakan itu dilihat seperti sukar untuk diinterprestasikan,” ujarnya.

Dihoskan oleh dua orang pengacara iaitu Nazrudin Habibur Rahman dan Zahamin Baki Zainal, rancangan Sejuta Impian akan mula bersiaran mulai 15 Mei pada pukul 7.30 malam setiap hari Ahad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: