Tuesday, May 3, 2011

Hajat jaguh muay thai


MALAYSIA tidak ketandusan bakat untuk diketengahkan dalam sukan muay thai khususnya di kejohanan antarabangsa.


MUAY THAI telah menerima pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai sukan bertaraf dunia namun penerimaan sukan itu di Malaysia masih samar-samar.

Apatah lagi cadangan menjadikan sukan muay thai sebagai acara rasmi di Sukan SEA juga sering tenggelam timbul.

Adakah disebabkan tidak semua negara rantau Asia Tenggara mempunyai atlet muay thai menyebabkan sukan itu sering digugurkan oleh tuan rumah Sukan SEA?

Adakah sukan tersebut dilihat sebagai acara yang tidak menarik perhatian?

Bagaimanapun, di sebalik kesuraman sukan tersebut di Malaysia, masih ada atlet sukan muay thai negara yang menyerlah di arena antarabangsa.

Salah seorang daripadanya ialah Mohd. Ali Yaakub, 25. Dia mula menceburkan diri dalam sukan muay thai sejak berumur 12 tahun.

Juara muay thai Antara Sukan-Sukan Dunia 2010 di Hong Kong itu mengetahui bahawa muay thai merupakan sukan tepat buatnya bagi menunjukkan kehebatan dalam seni mempertahankan diri.

Menjadikan ayah sendiri yang juga seorang jaguh muay thai sebagai idola, Ali lantas mengambil keputusan menyertai Kayu Club Inai Seri Bago di negeri kelahirannya, Terengganu, sebagai asas mengenali dunia muay thai.

Hasratnya tidak ditentang keluarga malah mendapat sokongan penuh mereka demi melihatnya menggapai cita-cita bergelar jaguh muay thai tersohor.

Mula berlatih pada usia muda nyata menjadi bonus buat Ali yang kini sudah 13 tahun beraksi di gelanggang.

Pengiktirafan


SEBAHAGIAN daripada peserta pertandingan Muay Thai Fit Warriors yang berlangsung di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.


Sinonim digelar Harimau Malaysia di pentas muay thai, Ali masih belum puas berjuang bagi melihat sukan itu bukan sahaja diiktiraf tetapi mendapat tempat lebih luas dalam hati generasi muda.

“Kita tahu muay thai bukan seni mempertahankan diri pilihan ramai dan perkembangannya belum sebaris dengan seni bela diri lain seperti silat, judo, wusyu dan lain-lain.

“Sebenarnya Malaysia juga mempunyai ramai atlet muay thai yang berbakat, tapi oleh kerana kurang publisiti, mereka tidak begitu dikenali di mata masyarakat.

“Saya berharap satu hari nanti, atlet muay thai akan diiktiraf negara seterusnya menjadikan seni mempertahan diri ini sebagai sukan rasmi pada temasya seperti Sukan SEA,” jelasnya yang baru sahaja merangkul kemenangan dalam Pertandingan Muay Thai Fit Warriors Zon Tengah bagi kategori 57-60 kilogram anjuran Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Seorang lagi jaguh muay thai, Mohd. Faizal Ramli, 22, memberitahu bahawa minat terhadap seni mempertahankan diri itu mula membenih ketika dia berumur tujuh tahun.

“Saya masih ingat sebuah filem Thailand yang menceritakan tentang kehidupan seorang jaguh muay thai.

“Bermula dari saat itu, saya jatuh cinta dengan muay thai dan berusaha mempelajari sukan tersebut,” kata anak kelahiran Kelantan itu.

Bagi melunaskan impian terpendamnya, Faizal nekad menyertai sebuah kelab muay thai di tempatnya, Kelab Black Tiger, ketika dia berumur 15 tahun.

Dengan bakat yang dimiliki, Faizal sering menjadi pilihan Persatuan Muay Thai Malaysia untuk mewakili negara bertanding dalam kejohanan muay thai antarabangsa seperti di Hong Kong, Thailand dan Australia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: