Saturday, May 21, 2011

Gejala obesiti hantui Tonga




DI rak barangan sebuah pasar raya di Tonga, terdapat banyak tin-tin besar yang menyamai saiz sebuah tin cat. Tin-tin tersebut mengandungi daging kisar bagi menggantikan hidangan tradisi kepulauan tersebut seperti ikan dan kelapa sejak sekian lama.

Senario itu menjadi penyumbang kepada masalah obesiti di rantau Pasifik yang kini berada di kedudukan teratas jumlah penduduk obes di dunia.

Pasaran daging di Tonga lazimnya didatangkan dalam bentuk tin, sama ada ayam belanda, lembu atau babi. Ia dijual dalam pelbagai bentuk seperti daging salai dicampur cili atau keju untuk rasa lebih lemak.

Ketua Pegawai Perubatan, Malakai Ake berkata, daging yang ditinkan itu merupakan makanan ringan yang mempunyai kandungan garam dan lemak tepu yang tinggi, sekali gus menyebabkan berat badan penduduk di kepulauan itu semakin meningkat.

"Ia merupakan masalah terbesar yang dihadapi Tonga," kata Ake sambil memberitahu peningkatan penyakit-penyakit berkaitan obesiti seperti jantung koronari, diabetes dan strok.

"Setiap hari ada saja upacara pengkebumian, jiran sebelah rumah, saudara-mara dan kenalan. Selalunya kematian mereka dikaitkan dengan penyakit-penyakit ini, ia langsung tidak masuk akal."

Menurut Jabatan Kesihatan Tonga, lebih 90 peratus daripada populasi penduduk di negara itu diklasifikasikan sebagai berat badan yang berlebihan dan 60 peratus obes.

Gaya hidup

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun lalu, negara-negara Kepulauan Pasifik berada di tangga kelapan daripada 10 buah negara yang mempunyai populasi lelaki yang obes.

Obesiti sering dikaitkan dengan tiga perempat kadar kematian di rantau itu, menurut pakar nutrisi WHO yang berpangkalan di Fiji, Temo Waqanivalu. Katanya, kes-kes diabetes di negara-negara Kepulauan Pasifik meningkat sebanyak 50 peratus.

"Sistem kesihatan kita sedang bergelut untuk menangani masalah tersebut," kata Waqanivalu.


MAKANAN dalam tin yang tinggi lemak dan kandungan garamnya kini menjadi pilihan penduduk Tonga berbanding makanan tradisional.


"Jika anda ke mana-mana hospital di negara-negara Kepulauan Pasifik, sekitar 75 hingga 80 peratus rawatan yang dijalankan adalah berkaitan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti.

Pakar memberitahu, gabungan faktor ekonomi, budaya dan gaya hidup menyebabkan obesiti kini menjadi satu wabak yang membimbangkan di peringkat global khususnya di Pasifik.

Waqanivalu berkata, gaya hidup tradisional seperti aktiviti perladangan dan menangkap ikan mewujudkan bidang pekerjaan baru sejak beberapa tahun lalu dan kemunculan kenderaan di jalan raya.

"Ketika saya muda dahulu, semua orang berjalan kaki sekiranya hendak ke mana-mana atau berenang.

"Hari ini mereka lebih suka berkereta walaupun ia tidak begitu jauh."

Diet tradisional di Tonga seperti ikan dan akar-akar kayu kini digantikan dengan makanan berlemak yang diimport dari negara-negara Barat. Makanan tersebut dilihat lebih mudah disediakan dan kelihatan lebih berprestij.

"Makanan tradisi sukar bersaing dengan makanan import yang lebih glamor dan popular," kata Waqanivalu, sambil menambah kemiskinan dalam kalangan penduduk di Pasifik menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan dalam memilih diet harian yang sesuai.

"Di sesetengah negara, harga minuman bergas lebih murah berbanding sebotol air mineral.

"Apabila mereka ke pasar raya, lazimnya perkara terakhir yang mereka akan lihat ialah maklumat nutrisi yang dipaparkan, sebaliknya mereka hanya melihat harganya."

Ada kalangan penduduk-penduduk di kepulauan itu berpendapat, oleh kerana rangka tubuh mereka yang besar, maka mereka lebih mudah menambah berat badan berbanding orang yang mempunya rangka tubuh yang normal.

Bukan kebanggaan

Bagaimanapun, teori itu ditolak sama sekali oleh Waqanivalu.


GOLONGAN remaja di Tonga melakukan senaman sebagai usaha untuk mencegah obesiti.


Katanya, mempunyai ukuran badan yang besar merupakan satu simbol status di rantau itu suatu ketika dahulu. Namun tradisi itu kian terhakis kerana memiliki tubuh yang besar bukan lagi satu kebanggaan.

"Kami mahu beritahu masyarakat tidak mengapa memiliki rangka tubuh yang besar, namun menjadi obes adalah satu perkara berbeza dan ia adalah sesuatu yang kami tidak mahu lihat di sini," katanya.

Bekas Raja Tonga, King Tupou IV, yang mangkat pada tahun 2006 telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tentang obesiti sekitar tahun 1990-an. Baginda telah menganjurkan diet kebangsaan dan rutin senaman selepas diberi amaran oleh doktor tentang masalah berat badannya.

Tersenarai di dalam Guinness Book of Records sebagai antara monarki yang terberat di dunia iaitu 210 kilogram (kg), baginda berjaya mengurangkan berat badannya kepada 70 kg.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tonga, Lord Tu'ivakano berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memerangi obesiti dan pihak pemerintah akan melakukan sekatan pengimportan makanan seperti daging kambing yang murah dan hirisan biri-biri berlemak yang popular di negaranya.

"Kita perlu kembali semula kepada cara lama, makan makanan berkhasiat seperti keladi, keledek dan ubi kayu," katanya.

"Adalah penting untuk berkata, 'Maaf, anda perlu mencari alternatif lain', seelok-eloknya makan ikan berbanding hirisan daging kambing."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: