
TAMAK bukan inti sari pengembaraan hidup Nadia Heng yang bermula dalam bidang pengacaraan, konsultansi dan akhirnya arena peragaan sehingga dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010.
Bagi pemilik nama sebenar Nadia Petullo Heng, 26, dia mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen dan kecantikan selepas disarankan oleh rakan sekerjanya, Leonardo supaya menghadiri uji bakat Ratu Cantik Malaysia tahun lalu.
“Tak sangka pula saya terpilih selepas seminggu diuji bakat,” kenang Nadia yang mengakui gugup apabila beraksi ‘sombong’ di hadapan lensa kamera.
Kata gadis kacukan Inggeris-Cina ini, jika ingin memperoleh gaya terbaik, seorang model perlu memberikan aura tersendiri.
Ratu cantik
Tambah Nadia, dia tidak mempunyai amalan khusus untuk kelihatan cantik melainkan diet yang sempurna, senaman yang konsisten dan minda yang suci serta ceria.
“Tapi saya mengutamakan pemakanan kerana apa yang kita makan, itulah yang badan kita akan tonjolkan.
“Saya gemarkan masakan berasaskan bawang kerana ia memberi banyak kebaikan untuk kesihatan walaupun baunya mungkin menyebabkan orang sekeliling kurang selesa dengan kita,” ujar gadis kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini.
Teras kecantikan bagi Nadia berpandu pada tiga asas utama iaitu fizikal, minda dan bakat.
“Semua ciri penting ini teruji sepanjang perjalanan saya di atas pentas pertandingan Ratu Cantik.
“Semua peserta memang menawan namun apa yang membezakan mereka adalah kebijaksanaan serta bakat semula jadi yang dimiliki,” luahnya yang tidak pernah terfikir untuk membuat pembedahan kosmetik.
Baginya, pembedahan adalah detik yang paling menakutkan dan ia mempunyai risiko terhadap kesihatan.
Dari segi berpakaian, Nadia tidak meletakkan sebarang had, bergantung kepada kehendak penggambaran dan pementasan.
“Sekiranya pakaian itu membuatkan saya tidak selesa atau mengganggu persepsi umum, saya akan menolaknya,” tegasnya yang selesa dengan gaya konservatif Ratu Cantik Dunia yang dipelajarinya sepanjang berada dalam dunia peragaan.
Nadia dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan itu yang diadakan di China bersama 110 Ratu Cantik dari negara lain.
“Sepanjang di sana, kami diajar dengan pelbagai pengetahuan am selain asas komunikasi dengan masyarakat dunia.
“Malah, kami juga sempat melawat lokasi menarik, antaranya Beijing, Shanghai dan Pulau Hainan,” katanya yang melabelkan aktiviti melancong sebagai hobi utamanya.
Dia juga menggemari makanan tradisi roti pisang dan suka memasak makanan Itali.
Impian
Insiden paling memalukan sepanjang pertandingan itu menurut Nadia ialah apabila dia tidak sempat bersiap untuk satu sesi rakaman video.
“Saya tiba di lokasi lewat berbanding model lain dan masa yang diberikan untuk saya bersiap hanya 10 minit.
“Jadi, dengan rambut yang kusut-masai dan tanpa olesan mekap, saya terpaksa bercakap dengan peluang yang diberikan cuma sekali,” ceritanya yang menjadikan insiden itu sebagai satu pengajaran.
Nadia memberitahu, dia pernah menanam impian untuk berjalan di pentas peragaan sejak kecil.
“Setiap kanak-kanak perempuan punyai cita-cita seperti saya, namun itu cumalah angan-angan yang kini terlaksana. Ia seperti sebuah kisah dongeng,” ceritanya bersulam tawa kecil.
Setelah menginjakkan kaki sebagai personaliti yang turut melakar nama dalam persada peragaan Malaysia, Nadia tidak lari daripada memasang hasrat berkolaborasi dengan legasi fesyen ternama antarabangsa.
Dalam masa yang sama, Nadia masih sayangkan dunia bersama media yang menjadi tapak permulaan kariernya.
“Saya bangun awal setiap hari, uruskan jadual harian dan pastikan to-do-list (senarai semak harian) lengkap terisi termasuk aktiviti kemasyarakatan saya selaku wakil Ratu Cantik Malaysia,” jelasnya yang dibantu kemudahan teknologi telefon pintar BlackBerry dalam setiap urusannya.
Kecintaannya terhadap alam sekitar turut memandu ghairahnya untuk membantu Unit Penyelidikan Penyu Laut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Redang, Terengganu pada bulan Jun ini.
Jika diberikan kesempatan, ujar gadis manis ini lagi, jiwanya turut cenderung ke arah bidang lakonan selain mengembangkan perniagaan sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: