GEMBIRA...pemain De Sala O kegembiraan selepas memenangi perlawanan akhir, semalam.
PASUKAN De Sala O muncul juara Terbuka Lelaki Karnival Futsal Harian Metro Zon Selatan selepas menewaskan Stylo FT 4-3 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir yang cukup mendebarkan.
Bersaksikan hampir 5,000 penonton yang membanjiri venue pertandingan, Millennium Sports Centre,skudai, skuad dari Lembah Klang itu membuktikan kemantapan untuk membawa membawa pulang RM5,000 dan hadiah iringan lain manakala Stylo FT menerima RM3,000 selaku naib juara.
“Saya hanya sasar untuk layak ke Grand Final tapi tidak sangka dapat mara ke final dan bergelar juara. Kemenangan ini cukup menggembirakan saya dan pemain. Kami akan terus berusaha selepas ini,” kata ketua pasukan, Ahmad Faizal Abdul Karim.
Dalam aksi final kategori wanita pula, Rem FC B membuktikan kehebatan selepas menundukkan Spartas Jr, 3-1 sekali gus menerima hadiah utama RM3,500 manakala Spartas Jr membawa pulang RM2,500.
Rem FC bagaimanapun ditentang sengit sebelum berjaya bergelar juara Zon Selatan yang disifatkan sebagai zon ‘panas’ apabila mengekalkan rekod penyertaan paling banyak selepas tiga zon.
Skuad Wangi Batu Pahat memenangi kategori Lelaki Bawah 17 tahun mengatasi Pemuda Pasir Gudang 2-1. Selaku juara, Wangi Batu Pahat menerima RM2,500 manakala naib juara, RM1,500.
Sebanyak 372 pasukan membabitkan 252 skuad Terbuka Lelaki, 25 Terbuka Wanita dan 95 Lelaki Bawah 17 tahun beraksi di sirkit ketiga Karnival Futsal Harian Metro dengan majoriti pasukan Selatan mendominasi penyertaan yang bermula sejak Sabtu.
Daripada jumlah itu, lapan pasukan setiap kategori yang mara ke suku akhir layak bertanding di Grand Final, September depan dengan lokasinya akan diumumkan kemudian.Bagi pasukan yang gagal, mereka masih berpeluang mencari tempat di Grand Final dengan merebut 24 lagi slot di peringkat seterusnya iaitu di Zon Timur yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang pada 4-5 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: