![]() |
| HARVEY Malaiholo berharap gandingannya bersama Dayang Nurfaizah berjaya menambat hati warga Indonesia. |
KEMASUKAN karya-karya seni negara jiran, Indonesia ke negara ini bukanlah sesuatu yang baru dan ia dilihat bebas tanpa sempadan.
Sebaliknya, karya seni tempatan tampak agak sukar untuk menembusi pasaran negara itu memandangkan Indonesia mengamalkan dasar tutup pintu yang menyekat kemasukan produk seni dari negara luar.
Justeru, syarikat rakaman, Erama Records tampil dengan idea menggandingkan penyanyi tempatan, Dayang Nurfaizah bersama penyanyi legenda negara seberang itu, Harvey Malaihollo menerusi lagu popular, Gerimis Mengundang bagi menguji pasaran di sana.
Mengulas mengenai perancangan yang dibuat oleh Erama Records itu, Harvey menjelaskan, ia merupakan satu idea bernas memandangkan ia turut melibatkan kerjasama artis kedua-dua negara.
"Untuk pengetahuan, budaya masyarakat Indonesia menyukai sesuatu produk seni yang ada kena mengena dengan negara mereka.
"Selain pembabitan saya, pemilihan lagu Gerimis Mengundang yang dipopularkan kumpulan Slam suatu ketika dahulu turut menjadi faktor utama dalam menjayakan misi menembusi pasaran di sana.
"Kedua-dua elemen itu cukup sinonim dan dekat dengan jiwa rakyat Indonesia. Ia kombinasi yang cukup kuat," ujar Harvey ketika ditemui baru-baru ini di Hotel Legend Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Apatah lagi, menurut Harvey, Dayang mempunyai vokal gemersik yang amat merdu didengar.
Selain itu, lagu duet ini disusun semula muziknya oleh komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto, individu yang melonjakkan populariti lagu nyanyian Anuar Zain, Lelaki Ini.
"Perlu diingat, kita mesti menghormati setiap karya lagu yang ingin disusun semula agar melodi asalnya tidak lari.
"Begitu juga dengan lagu ini, kami dapat memberi nafas baru dalam karya tersebut. Tambah pula, Dayang dan saya amat serasi ketika kami merakamkannya," tutur Harvey.
Dalam pada itu, bertempat di hotel yang sama, Harvey bakal menghiburkan peminatnya apabila dia menjayakan sebuah persembahan sempena Hari Ibu pada 25 Mei ini.
Menariknya, Dayang turut diundang pada majlis berkenaan bagi mendendangkan lagu duet Gerimis Mengundang secara eksklusif di hadapan umum.
"Sebagai bonus, saya akan makan malam bersama 20 pemenang tiket bertuah yang hadir pada persembahan saya nanti.
"Saya juga bakal menghiburkan peminat saya di Hotel Legend Kota Kinabalu pada 27 Mei ini," katanya yang baru mencecah usia 49 tahun pada 3 Mei lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: