Saturday, May 7, 2011

Daripada bola padang ke futsal


PASUKAN Kaki Bangku FC yakin dapat memberi saingan sengit pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 walaupun baru pertama kali menyertainya.


KUALA LUMPUR – “Kami asalnya hanya pasukan bola padang tetapi selepas ini, kami akan tunjukkan kemahiran di medan futsal pula,” kata Amirul Fatihi Abd. Aziz selaku pengurus pasukan Kaki Bangku FC. Katanya, menjelang kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! pada 26 hingga 29 Mei ini, pasukannya akan memberi saingan sengit walaupun ia adalah penyertaan kali pertama Kaki Bangku pada kejohanan berprestij anjuran Kosmo! itu. “Kaki Bangku FC ditubuhkan pada tahun 2006 ketika kami menyertai bola sepak jalanan anjuran kerajaan negeri Selangor dan pada pertandingan itu kami muncul naib juara,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kumpulan yang majoriti ahlinya berusia 21 tahun itu merupakan rakan sekolah ketika menuntut di Sekolah Agama Batu 10 Cheras di sini. “Kami sedar kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih kerana para pemain kami sedang melanjutkan pelajaran tetapi kami yakin mampu memberi saingan sengit nanti. “Tempoh yang tinggal tidak sampai tiga minggu lagi ini akan digunakan sebaik mungkin bagi menggilap kemahiran dan meningkatkan stamina setiap pemain,” tambahnya. Amirul Fatihi masih menunggu kepulangan rakan-rakan lain dari universiti masing-masing untuk berkumpul dan berlatih bersama.

“Walaupun kami tidak ada banyak masa untuk berlatih seperti pasukan-pasukan lain, kami serasi bersama dan ia menjadi kekuatan pasukan kami. “Kami kenal satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Bila ada peluang ketika pulang bercuti, kami akan berkumpul dan beriadah dengan bermain futsal,” ujarnya.

Pemain PPI Ampang FC diminta elak kecederaan

aziran.yunus@kosmo.com.my">


PEMAIN pasukan PPI Ampang FC bergambar bersama selepas mengadakan sesi latihan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Para pemain PPI Ampang FC diminta menjaga kesihatan dan mengelak kecederaan menjelang kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! dari 26 hingga 29 Mei ini.

Pengurus pasukan itu, Hazrul Amri Hassan berkata, ingatan itu sentiasa diberi kepada para pemain bagi memastikan mereka benar-benar cergas semasa kejohanan terbesar futsal di Putrajaya yang akan berlangsung tidak lama lagi. “Pada masa ini, kami mengatur beberapa perlawanan persahabatan sebagai persiapan untuk kejohanan itu tetapi saya nasihatkan pemain supaya berhati-hati dan mengelak kecederaan supaya tidak kempunan beraksi di Putrajaya.

“Kami mahu pastikan pasukan kami dibarisi pemain yang cergas untuk memburu kejuaraan dalam kategori Terbuka Lelaki,” katanya di sini semalam. Menurutnya, jika tiada perlawanan, pemain-pemain pasukan itu akan menjalani latihan pada waktu malam bagi memastikan mereka sentiasa cergas. “Saya dapati stamina dan prestasi pemain semakin mantap hasil latihan dan perlawanan persahabatan yang diadakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: