Tuesday, May 24, 2011

Cabaran Thanabalan bertugas di Taipan, USJ


Thanabalan (kanan) dan Sharifuddin Othman (kiri) bertanya masalah seorang pengadu yang membuat laporan di Balai Polis Komuniti Taipan, USJ Subang Jaya.


BAGI mereka yang kesuntukan masa untuk menyelesaikan urusan perbankan terutama apabila membabitkan banyak bank, Pusat Perdagangan Segitiga Taipan di USJ 10 dan Pusat Perdagangan Subang di USJ 9, Subang Jaya, Selangor adalah lokasi paling sesuai untuk dikunjungi.

Kedua-dua pusat perdagangan terletak bersebelahan ini pasti memudahkan urusan anda kerana banyak bank di sekitarnya malah kedudukannya berdekatan antara satu sama lain.

Di sini, anda hanya perlu meletakkan kenderaan dan berjalan kaki untuk berurusan dari satu bank ke satu bank yang lain.

Bukan sahaja urusan perbankan, pengunjung yang datang juga boleh membeli-belah di ratusan premis yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk makanan, barang-barang keperluan harian, perkakasan, perabot dan pakaian.

Bagi penggemar makanan pula, pusat perdagangan ini adalah destinasi paling sesuai dikunjungi kerana di sini, anda boleh menemui banyak restoran yang menyajikan pelbagai jenis makanan sama ada masakan barat, Melayu, Cina, Baba Nyonya dan India.

Melihat kepada keistimewaan ini, maka tidak hairanlah jika kedua-dua pusat perdagangan terbabit muncul sebagai kawasan paling sibuk di daerah Subang Jaya.

Pada masa sama, ia juga terdedah kepada ancaman jenayah seperti samun, curi dan ragut.

Bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku, maka menjadi tanggungjawab anggota polis yang bertugas di Balai Polis Komuniti Taipan yang terletak di tengah-tengah pusat perdagangan terbabit untuk mengawal keselamatan harta-benda dan orang awam di situ.

Salah seorang individu terpenting di Balai Polis Komuniti Taipan adalah Ketuanya, Sarjan V. Thanabalan, 48, yang mengetuai lapan anggota polis bertugas di balai berkenaan sejak ia mula dibuka pada 14 Februari 2008.

Menurut Thanabalan, tanggungjawab para anggotanya memang cukup mencabar kerana perlu menjaga keselamatan di kawasan perniagaan yang sentiasa sibuk sepanjang masa termasuk juga penduduk berhampiran.

"Saban hari premis perniagaan di sini menjadi tumpuan. Apa tidaknya, di sini terdapat 18 buah bank, dua kedai pengurup wang dan beratus lagi premis menjual pelbagai jenis barangan, makanan serta restoran.

"Bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin, anggota saya seramai lapan orang akan menjalankan rondaan sepanjang masa," katanya kepada Gaya Polis semasa ditemui di Balai Polis Taipan, USJ Subang Jaya, baru-baru ini.

Anak kelahiran Taiping, Perak yang meminati kerjaya polis sejak zaman remaja itu memberitahu, sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Balai Komuniti Taipan, beliau pernah menimba pengalaman bertugas sebagai anggota tugas am di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Balai Polis Kerteh di Terengganu.

"Saya menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10 Oktober 1981 dengan memulakan latihan Konstabel di Pusat Latihan Polis Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor yang sudah ditutup dan kini menjadi IPD Sabak Bernam.

"Tamat sahaja latihan, saya dihantar bertugas ke IPD Kemaman selama setahun sebelum dipindahkan ke Balai Polis Kerteh yang mana saya berkhidmat selama 19 tahun," katanya.

Pada Jun 2001, Thanabalan berpindah pula ke Balai Polis Sungai Besi di Kuala Lumpur juga sebagai anggota polis tugas am.

Beliau kemudian ditukarkan ke Mahkamah Jalan Raja, Kuala Lumpur menjalankan tugas sebagai Penyelia Mahkamah di Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5).

Selepas itu, Thanabalan sekali lagi ditukarkan ke Balai Polis Sunway, Subang Jaya untuk menjadi Penyelia dan Pembantu Pegawai Penyiasat di balai berkenaan selama dua tahun setengah sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Hampir 30 tahun berkhidmat dalam PDRM dan menimba banyak pengalaman bertugas di beberapa tempat, ada satu peristiwa menarik yang sampai hari ini tidak boleh dilupakan oleh Thanabalan.

Kenangan pada 1992 semasa berkhidmat di Balai Polis Kerteh itu cukup manis untuk dikenang oleh Thanabalan kerana ia kejayaan besar pertamanya menumpaskan penjenayah.

"Bagi menumpaskan penjenayah dalam kes tersebut, saya terpaksa mempertaruhkan nyawa dengan menyamar sebagai pekerja di sebuah kilang membekalkan bahan kimia untuk membuat cat iaitu Tioxide (Malaysia) Sdn. Bhd. di kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman, Terengganu.

"Saya dipilih oleh Ketua Polis Daerah (KPD) untuk menyamar bagi mencari pekerja-pekerja yang terlibat dalam kegiatan mencuri dan merosakkan kabel di dalam kilang berkenaan yang membawa kerugian mencecah berjuta-juta ringgit," katanya mengimbas kembali peristiwa tersebut.

Tanpa diketahui oleh para pekerja di situ, Thanabalan memulakan tugas penyamaran tersebut dengan menjadi pekerja di kilang berkenaan dan berkawan rapat dengan rakan sekerja dengan harapan dapat mencari maklumat bagi mengenal pasti dalang yang terlibat dalam jenayah tersebut.

Semasa melakukan tugas penyamaran itu, Thanabalan perlu sentiasa berhati-hati kerana bimbang identitinya bocor. Namun berkat kesabaran dan kebijaksanaannya, kumpulan penjenayah tersebut akhirnya dapat dikenal pasti dalam tempoh 14 hari.

Setelah yakin maklumatnya tepat, maka Thanabalan tanpa menunggu lama terus memaklumkan perkara itu kepada ketuanya yang kemudian mengarahkan suspek iaitu sekumpulan enam pekerja di kilang berkenaan ditangkap.

"Usaha bersungguh-sungguh saya menjalankan siasatan sehingga tertangkapnya suspek dalam kes curi kabel ini mendapat pengiktirafan syarikat terbabit yang kemudian menganugerahkan sijil penghargaan kepada saya," ujarnya.

Anak kelima daripada lapan adik-beradik ini memberitahu, hanya beliau seorang dalam keluarga yang menyertai pasukan beruniform dan bersyukur kerana ia mendapat restu ibu bapanya.

Thanabalan yang gembira dapat mencurahkan bakti kepada rakyat dan negara, turut mendapat sokongan daripada isteri tercinta, M. Dasammah, 49, dan tiga cahaya matanya iaitu Prishantini, 22, penuntut tahun akhir di Universiti Malaya; Harish Kumar, 20, (pelajar Universiti Pertahanan Nasional) serta Yuvin Kumar, 16.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: