Saturday, June 12, 2010

ZOO Sasar Kanak-Kanak

Tiada apa yang dapat diharapkan ketika menonton Zoo arahan Azhari Zain. Jalan ceritanya amat mudah dan disogokkan dengan karektor biasa yang dilihat dalam Senario. Lan Pet Pet dan Azlee masih tidak lari dengan perwatakan Senario dan lawak yang dapat dijangka. Namun menurut Azhari, filem ini untuk menarik kanak-kanak kerana plotnya ringkas dan menghiburkan kerana haiwan boleh berinteraksi dengan manusia.


"Saya sengaja lebih-lebihkan perwatakan dalam setiap karektor untuk tonjolkan cerita yang lebih menarik. Bukankah kita menikmati karektor setiap watak dan itulah yang cuba saya lakukan dalam Zoo. Filem ini khusus untuk kanak-kanak kerana daya imaginasi mereka sangat tinggi.

"Saya akui cerita ini sangat ringan dan tidak salahkan penonton sekiranya mereka tidak teruja untuk menonton. Namun saya hanya cuba bangkitkan semula nostalgia ketika zaman saya kecil. Zoo adalah tempat sekeluarga luangkan masa pada hujung minggu dan saya selalu bayangkan jika haiwan boleh bercakap. Dulu tak ada permainan canggih seperti PSP, internet dan lain-lain so zoo adalah tempat untuk bergembira.


"Saya hanya mahu kanak-kanak sekarang melihat sesuatu yang berbeza dan mungkin selepas ini mereka teringin melihat sendiri haiwan di Zoo selepas melihat filem ini. Sekaligus akan memupuk semangat sayangkan binatang kerana mereka juga sebahagian daripada kehidupan," ujar pengarah filem Santau ini.

Bercerita kepada ManggaOnline (MO) pemilihan Lan Pet Pet adalah tepat dengan mesej yang ingin disampaikan dalam filem kedua arahannya bersama Metrowealth (MIG). Menurutnya lagi, babak membabitkan binatang bercakap adalah mudah, namun akan menjadi sukar sekiranya mood mereka tidak menentu sehingga krew filem terpaksa menunggu selama lima jam semata-mata untuk mendapatkan babak satu minit.

"Saya akui susah untuk merakamkan aksi haiwan yang kita inginkan. Namun kehadiran Lan banyak membantu kami dari segi hubungan serta interaksi dengan binatang. Nampak lebih natural dan tidak berlebih-lebihan kerana dia seolah-olah faham mereka.

"Lan pelakon yang hebat dan disempurnakan dengan hubungannya dengan haiwan. Dia boleh buat bunyi burung, monyet dan macam-macam dan mungkin sebab itu mereka tak takut dengannya. Kami cuba untuk buat Lan berinteraksi dengan harimau namun banyak krew yang tak mampu untuk hadapinya kerana bila mengaum saja, boleh bergegar telinga," katanya yang terpaksa berkampung di Zoo Negara pada waktu malam untuk membiasakan haiwan dengan kamera dan suasana penggambaran.

Bagi MO, tak salah menonton filem ini sekadar hiburan namun tak perlu mengharapkan sesuatu yang mengagumkan kerana pengarahnya mengakui filem ini sangat ringan dan untuk tontonan kanak-kanak. Tapi tak dinafikan seronok gajah dapat bercakap lograt Kelantan dalam filem ini. Jangan lupa saksikan Zoo di pawagam berhampiran pada 1 Julai 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: