PELAJAR negara ini cukup sinonim dengan peperiksaan dan dianggap tunjang utama dalam menentukan kecemerlangan individu serta institusi pendidikan.
Justeru, apabila ada cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelbagai pihak tampil melontarkan pandangan.
Ada bersetuju kerana berasakan sistem berorentasikan peperiksaan sudah lapuk dan tidak relevan dengan konsep pendidikan alaf baru tetapi tidak kurang yang membantah. Persoalannya, adakah pemansuhan itu mampu mengubah senario sistem pendidikan negara ke tahap lebih baik atau sebaliknya? Profesor Pendidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron berkata, peperiksaan sedia ada tidak perlu dimansuhkan supaya tahap penguasaan dan pemahaman pelajar boleh dinilai.
Menurutnya, peperiksaan adalah teras dalam menentukan institusi persekolahan sudah bersedia mencapai sasaran atau masih memerlukan sokongan demi melancarkan proses pembelajaran.
"Memansuhkan peperiksaan tidak boleh menyelesaikan masalah. Perkara yang perlu diperbetulkan adalah pelaksanaan sistem pendidikan bagi melancarkan proses pemberian dan penerimaan ilmu.
"Menilai kesediaan dan mengukur prestasi pelajar adalah menerusi peperiksaan. Melalui cara ini, institusi pendidikan boleh membuat kesimpulan sama ada proses pendidikan diterima berjaya atau sebaliknya," katanya.
Falsafah pendidikan menggariskan tiga kaedah asas menilai prestasi pelajar iaitu penilaian rujukan kendiri seperti memperbaiki pencapaian, penilaian rujukan norma (membandingkan prestasi) dan penilaian rujukan kriteria (pembelajaran pada tahap dijangkakan).
Menurutnya, jika pelajar boleh memberi tindak balas positif terhadap kaedah asas itu, bermakna mereka berkemampuan menjalani proses pembelajaran.
Justeru, masyarakat perlu jelas dan memahami matlamat utama peperiksaan serta tidak melihatnya sebagai mekanisme menyusahkan pelajar.
"Sebahagian besar masyarakat mengaitkannya sebagai tekanan akademik, bebanan yang merosakkan pembangunan modal insan serta sosial. Lihat peranan dan kepentingannya dalam melaksanakan falsafah pendidikan negara."Juga nilai kesediaan pelajar secara berperingkat terhadap proses pembelajaran supaya dapat memperbaiki pencapaian, " katanya.
Beliau mengakui sistem pendidikan negara juga perlu lebih anjal dan menggunakan mekanisme pendidikan berbeza seperti yang dilaksanakan negara maju.
"Negara seperti Korea menilai tahap pelajar menerusi peperiksaan khas dengan penentuan kelas mengikut tahap kesediaan, selain melakukan pemantauan berkala bagi melihat peningkatan," katanya.
Dr Isahak berkata, kaedah itu diperakui, malangnya tidak dipraktikkan di negara ini mengakibatkan pelajar lemah terus ketinggalan.
Tiada istilah pelajar gagal dalam falsafah pendidikan dan masing-masing mempunyai keupayaan berbeza yang memerlukan lebih masa, bimbingan dan latihan bagi memantapkan pencapaian.
"Sistem pendidikan lebih fleksibel berdasarkan minat, kebolehan dan bakat perlu diwujudkan supaya pengakhiran proses pembelajaran mampu mencapai sasaran.
"Jika peperiksaan ingin dimansuhkan, pastikan wujud sistem pendidikan lebih berkualiti dengan penjanaan pelbagai program alternatif seperti melaksanakan ujian mudah berkala.
"Keputusan ujian juga perlu dihebahkan untuk tatapan umum supaya masyarakat boleh melihat prestasi semasa. Sebarang pendekatan sekali pun, perlu ikut kemampuan pelajar," kata Dr Isahak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: