Monday, June 28, 2010

Aqasha utamakan buah hati



Tahun 2010 ini menjadi satu anjakan paradigma dalam hidup Aqasha kerana bakal melangkah ke satu fasa penting di dalam hidupnya. Namun dalam kesibukan membuat persiapan menjelang majlis perkahwinannya yang dijangka berlangsung Oktober ini, Aqasha sempat mencuri masa mengumumkan buah hatinya yang sudah lama disimpan.

Penyanyi dan juga pelakon berusia 28 tahun ini mengambil keputusan untuk memperkenalkan, Qasha-Nova pada Julai ini setelah dua tahun dirahsiakan sebelum bergelar suami orang.

Qasha-Nova yang dimaksudkan adalah album ketiga Aqasha selepas membuai perasaan peminatnya dengan album Cahaya Hati pada tahun 2001 dan album Impian menyusul setahun kemudian.

Tujuh tahun meninggalkan pentas nyanyian pemilik nama sebenar Firdee Akasha Rosli yang menyertai gelanggang hiburan sejak berusia 19 tahun itu akhirnya kembali kepada para peminat yang rindukan kemantapan suaranya.

”Kebanyakan peminat saya terkejut mendengar keputusan saya mahu muncul dengan album baru setelah penampilan saya lebih banyak di kaca televisyen serta layar perak sebagai pelakon,”

”Ingin saya jelaskan kepada semua bahawa saya bukan tiba-tiba menjadi pelakon tetapi sejak dari awal lagi saya merupakan penyanyi dan kini sudah lama tidak menyanyi dan melahirkan album. Dengan itu ianya bukan sahaja hadiah buat peminat, tetapi pengubat rindu saya untuk kembali menyanyi,” kata Aqasha baru-baru ini.

Aqasha berkata perasaan ingin kembali menyanyi timbul ketika sedang menuntut di International College Of Music (ICOM) dalam jurusan Kejuruteraan Audio dan dalam masa yang sama terlibat dengan kerja belakang tabir pembikinan lagu-lagu kumpulan indie.

”Seringkali saya berfikir sampai bila hanya duduk di belakang tabir, kemudian sebaik tamat pengajian pada tahun 2008, keinginan mula timbul untuk menghasilkan lagu sekali gus album saya sendiri,” kata Aqasha yang mencipta kesemua lagu di dalam Qasha-Nova.

Qasha-nova mempunyai lima lagu dan diterbitkan Alex Tan di bawah pengurusan Starmont Records Sdn Bhd. Lima lagu yang dihimpunkan dalam Qasha-Nova adalah Obsesiku, Rapsody Kekasih, Cinta Romeo Kota, Cantik dan Infatuasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: