Tuesday, June 29, 2010

9 bersaudara dihukum penjara


SEMBILAN lelaki bersaudara diiringgi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Sembilan bersaudara termasuk empat adik-beradik dijatuhkan hukuman penjara antara lapan hingga sembilan tahun enam bulan di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pemilik restoran warga India tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid membuat keputusan itu selepas menimbang segala hujah, fakta dan faktor mitigasi serta mengambil kira umur tertuduh dan juga faktor kepentingan awam bagi kes tersebut.

Berdasarkan hukuman, tiga tertuduh, K. Bagavathy, 22, A. Poovendren, 21, dan S. Kumaraselvam, 22, dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun manakala G. James, 23, T. Anan Babu, 25, dan V. Arvindran, 24, pula dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun.

Tiga lagi abang T. Anan iaitu T. Letchumanan, 31, T. Rajanderan, 26, dan T. Raja Segaran, 28, dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun enam bulan.

Semua hukuman diperintahkan bermula dari tarikh semua tertuduh ditangkap mulai Mac 2007.

Semua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh R. Praphukumar yang merupakan bapa saudara kepada adik-beradik terbabit di hadapan Restoran Triple 8 Corner, di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini pada pukul 12.30 malam, 3 Mac 2007.

Bagaimanapun, mereka menukar pengakuan kepada bersalah selepas pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 149 dan 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pertuduhan pindaan menyebut, mereka didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menyebabkan kematian Praphukumar pada masa dan tempat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: