Monday, June 28, 2010

Bahang SDAR hadapi cabaran F1

SEREMBAN 27 Jun - Setelah muncul di kaca televisyen swasta, beberapa akhbar utama dan naik ke pentas menerima pelbagai anugerah, pasukan F1 Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Seremban, Negeri Sembilan kini merasa 'bahang' untuk dua sebab - pertama, tanggungjawab yang bakal digalas mewakili negara dalam cabaran dunia F1 di Singapura pada September nanti - kedua, bergelut dengan harapan semua orang untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Empat remaja 'berprestasi tinggi' daripada SDAR - Danial Iman Che Khalib, Haziq Asyraf Marzuki, Wan Faiq Amsyar Wan Ariffin dan Hussein Haron - sedang memerah otak dan tenaga melakukan dua tugasan yang sangat kritikal itu.

''Pelajaran lebih penting, tetapi untuk menang dan menjulang nama negara di Singapura juga perlu kami lakukan," kata Haziq Asyraf kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semasa Ekspo Pendidikan sempena Hari Guru Peringkat Negeri Sembilan di Seremban baru-baru ini.

Dengan perwatakan yang cukup menarik, mempunyai ketokohan dan riak air muka yang sematang usia, Haziq dan Danial menceritakan pengalaman mereka membangunkan dan mengangkat Raluca F1 - nama pasukan mereka - dengan cara ''berfikir lebih daripada tahap sebagai pelajar biasa."

Pasukan Raluca F1 SDAR menjuarai F1 In Schools Technoloy Challenge 2009 pada November tahun lepas di ibu negara.

Mereka membolot empat anugerah melalui empat kategori berbeza iaitu Best Engineered Car, Best Team Portfolio, Petronas KnockOut Champion dan First Overall Champion.

Kejayaan itu meneruskan kesinambungan legasi beberapa juara pasukan dan sekolah sebelum ini iaitu AeroBreaker (SMK Taman Melawati Gombak), Mercurial Ace (SMK Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur), Rapid Blaze (Maktab Tentera Diraja Malaysia) dan Ultimate Crussaders, (SM Sutan Alam Shah, Putrajaya).

''Kalau dilihat daripada senarai pemenang sebelum ini, kami berjaya memecah monopoli pasukan Lembah Klang," kata Danial.

Mereka juga boleh berbangga kerana menerima sijil Anugerah Kokurikulum Terbilang peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tentang persiapan, dan seterusnya harapan yang disandarkan kepada Raluca F1, Haziq yakin peluang tetap ada untuk menjulang SDAR di podium. Persiapan yang konsisten sedang dilakukan, seperti kerjasama mereka bentuk semula model kereta daripada kayu balsa dengan seorang profesor daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), menambah baik persembahan portfolio, dan yang penting membuat persiapan mental.

Seperti mana ketika pertama kali menyertai pertandingan ini dahulu, yang paling penting ialah memerangi perasaan takut dan bekerja dalam pasukan yang baik dan berfikir secara profesional dalam setiap tugasan.

Mengimbau ketika pertama kali menyertai F1 In Schools Technology Challenge 2009, Haziq memberitahu, perkara pertama yang dibuat ialah membuat kerja rumah, melakukan penyelidikan dan menimba pengalaman daripada pasukan yang telah berjaya, termasuklah pasukan Koni Kats dari Ireland yang memenangi peringkat dunia pertandingan itu semasa diadakan di Ireland.

''Kami saling berutus e-mel dan bertukar fikiran. Kami banyak belajar daripada pasukan antarabangsa itu," katannya.

Kalau dalam F1 In Schools Technology Challenge 2009 pasukan itu hanya memerlukan RM2,400, maka di Singapura mereka memerlukan RM25,00, bagi pelbagai tujuan - reka letak dan reka bentuk peragaan gerai dan panel, menambah baik portfolio, cetak, baju, logisitk dan sebagainya.

Kos itu juga untuk menambah baik teknologi kereta khususnya untuk mengimport ball bearing dan axlen daripada United Kingdom (UK), kata Danial, yang juga ditugaskan sebagai Pengurus Pemasaran dan Sumber bagi projek berkenaan.

Sebagai kemuncak kepuasan, pasukan itu menyasarkan masa terpantas dan menjadi johan dunia bagi F1 In Schools Technology Challenge 2009 ketika di Singapura nanti, kata Haziq dan Danial sepakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: