Tuesday, June 29, 2010

Ella sedia beraksi di IB


ELLA bersama Pengurus Media Konsert Ella, Kassim Lee (kanan) dan Ezlina Alias, Ketua Unit Promosi JKKN pada sidang akhbar konsert itu di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SETELAH konsert terakhir di Esplanade, Singapura pada 2007, Ella kini bersedia untuk kali pertama beraksi di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bagi menjayakan Konsert Ella.

2010 merupakan tahun yang cukup bermakna kerana ia adalah tahun ke-25 penglibatan Ratu Rock Malaysia itu dalam arena seni tempatan mahupun antarabangsa.

Keunggulan Ella sebagai satu-satunya penyanyi rock wanita yang bertahan hingga ke hari ini belum lagi mampu disaingi oleh mana-mana penyanyi wanita lain yang memilih jalur rock sebagai genre muzik mereka.

Bagi Ella, konsert berskala besar yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 Julai ini adalah simbolik penghargaan kepada peminat yang menyokongnya sejak memulakan karier seninya pada tahun 1985 bersama The Boys.

"Sebagai hadiah untuk peminat, saya menyiapkan mental dan fizikal untuk menampilkan lebih daripada 25 buah lagu popular sepanjang dua jam konsert itu berlangsung.

"Persembahan saya pada malam itu akan dibahagikan kepada tiga atau empat segmen termasuklah segmen khas yang mengundang Datuk Ahmad Jais," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di IB sempena konsert itu.

Tambah Ella, konsert yang ditaja sepenuhnya oleh Canon itu menampilkan kelainan apabila dia dan Ahmad Jais akan berduet dalam beberapa buah lagu tradisional Melayu di samping penampilan anggota asal The Boys.

"Perjalanan seni saya selama 25 tahun akan diadaptasikan dalam konsert saya pada malam itu.

"Saya terlalu berharap agar anggota asal The Boys dapat mengiringi saya pada malam itu," jelas Ella yang baru mendapat persetujuan seorang sahaja anggota asal kumpulan itu.

Selain diiringi 80 pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan dan The Love Beggars, persembahan Ella dalam konsert itu turut dimantapkan dengan petikan gitar daripada Joe Wings dan paduan suara Awie untuk dua buah lagu iaitu Baldu Biru serta lagu Mana Menghilang yang akan dimuatkan dalam album baru Ella.

Konsert Ella itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: