PADA pandangan mata kasar, perairan Teluk Cowie yang memisahkan tanah besar Tawau dan Pulau Sebatik di Sabah tiada bezanya dengan kawasan perairan lain - lautan sama membiru dan panorama alamnya sama indah.
Namun, Teluk Cowie ada keistimewaan tersendiri kerana ia dikenal pasti habitat pelbagai khazanah marin yang perlu dilindungi, termasuk ikan lumba-lumba. Lebih istimewa, ikan lumba-lumba di perairannya didapati agak unik selepas kajian pakar marin mendapati dua spesies berbeza dari keluarga mamalia berwajah comel itu boleh bersosial dalam satu kumpulan - sesuatu yang tidak pernah dilihat di tempat lain di dunia. Dua spesies ikan lumba-lumba di kawasan itu adalah Irrawaddy atau nama saintifiknya, Orcaella Brevirostris dan Indo-Pacific Humpback atau Sousa Chinensis.
Mengambil inisiatif untuk mengetahui lebih lanjut kehadiran ikan lumba-lumba di situ, kajian ekologi dan pemuliharaan mamalia berkenaan dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), diterajui Ketua Unit Kajian Mamalia Marin (UKMM), Dr Saifullah A Jaaman.
“Penyelidikan kami bertumpu di Teluk Cowie berikutan keunikan spesies ikan lumba-lumba yang menjadikan perairan berkenaan habitatnya,” kata Saifullah sambil menambah ikan lumba-lumba di perairan Sabah juga dikesan menjadikan Teluk Sandakan, Teluk Labuk dan Teluk Beluran sebagai habitatnya.
Beliau yang melakukan penyelidikan ikan lumba-lumba sejak 1996, berkata apa yang menarik mengenai ikan lumba-lumba di Teluk Cowie ialah kerana spesies Irrawaddy dan Humpback didapati boleh bersosial dalam satu kumpulan.
“Kadang-kadang kita melihat Irrawaddy dan Humpback mencari makanan bersama. Keadaan unik ini mungkin disebabkan populasi ikan lumba-lumba di kawasan perairan Teluk Cowie agak kecil,” katanya.
Menurutnya, kajian awal kumpulannya juga mendapati ada Humpback menjadi ibu angkat kepada anak lumba-lumba Irrawaddy dan menyifatkan penemuan sedemikian sebagai amat unik kerana tidak pernah direkodkan di kawasan perairan lain.
“Berdasarkan kajian tingkah laku mamalia berkenaan sebelum ini, kedua-dua spesies terbabit didapati tidak pernah saling berinteraksi walaupun berada di perairan sama. Keadaan itu berbeza dengan apa yang kita temui di Teluk Cowie,” katanya.
Spesies Irrawaddy terbahagi kepada dua kumpulan - yang hidup di pesisiran pantai dan muara sungai, manakala kumpulan kedua hidup di air tawar, terutama beberapa kawasan hulu sungai sekitar Asia Tenggara iaitu di Sungai Mekong (Kemboja dan Laos), Sungai Irrawaddy (Myanmar) dan Sungai Mahakam di Kalimantan, Indonesia.
“Di Teluk Cowie, kita menganggarkan ada antara 20 hingga 30 ikan lumba-lumba Irrawaddy dan lima hingga 10 ekor Humpback,” katanya.
Saifullah berkata, antara rumusan yang diperoleh hasil kajian berkenaan ialah berlaku interaksi antara nelayan dengan ikan lumba-lumba di perairan Teluk Cowie.
Katanya, nelayan menyifatkan mamalia berkenaan tidak mengganggu mereka, malah dianggap sebagai rakan hingga ada yang memberi makan kepada lumba-lumba yang menghampiri bot mereka.
Mengenai ancaman terhadap hidupan laut itu yang boleh membawa kepada kepupusan, beliau berkata, ikan lumba-lumba tidak seperti spesies ikan atau haiwan lain.
“Kita dapati jika habitat tidak sesuai kerana pencemaran, populasi ikan lumba-lumba akan terjejas dan kumpulan itu akan berhijrah ke kawasan lain yang lebih selamat. Oleh itu, lumba-lumba boleh dijadikan petunjuk persekitaran marin di kawasan habitatnya.
“Jika populasi tidak terancam, persekitaran marin dan kawasan habitat itu adalah baik dan begitulah sebaliknya. Malah, ikan lumba-lumba boleh menghampiri bot yang lalu di kawasan habitat mereka jika berasa tidak terancam,” katanya.
Saifullah berkata, ancaman terbesar habitat lumba-lumba adalah impak aktiviti pembalakan dan pembangunan ladang termasuk penanaman kelapa sawit yang turut berlaku di kawasan daratan berhampiran teluk berkenaan.
Namun, kewujudan Stesen Penyelidikan Pulau Sebatik (SPPS) pada 2008 banyak membantu meningkatkan kesedaran penduduk setempat mengenai kepentingan memulihara marin serta ekologi perairan, malah penduduk juga tidak lagi menggunakan pukat tunda untuk menangkap hasil laut kerana menyedari kesannya.
“Bagi jangka panjang, kita mahu pelan pengurusan diwujudkan kerana walaupun hutan bakau di perairan ini dikelaskan Hutan Simpan Kekal, ia tidak merangkumi Teluk Cowie yang kaya sumber marinnya termasuk ikan lumba-lumba.
“Kalau boleh, kita mahu Teluk Cowie turut diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi berikutan terlalu banyak pembangunan di hulu yang dikhuatiri menjejaskan ekologi persekitarannya,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Rosnah Ismail, berkata Teluk Cowie mempunyai hidupan marin dan sumber perikanan yang besar.
Justeru, katanya, UMS akan terus memastikan penyelidikan lengkap berhubung hidupan marin di Teluk Cowie khususnya berkaitan ikan lumba-lumba dapat dilakukan dengan lebih baik.
“Ia juga bagi memastikan pelajar dan penyelidik mampu menjalankan kajian dengan lebih selesa, sekali gus menghasilkan penyelidikan berkualiti. Paling penting, hasil kajian bukan hanya untuk digunakan di Sabah tetapi di peringkat nasional,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: