GUBAHAN bunga berperanan menyerikan sesuatu ruang sama ada diletakkan di atas meja makan, meja kopi atau meja konsol, di tepian meja, lorong laluan atau dijadikan hiasan pentas.
Bagi yang berkebolehan, bunga boleh digubah sendiri sama ada menggunakan bunga segar, kering atau plastik. Apa yang penting, pilihan warna bunga mestilah sesuai mengikut suasana majlis juga posisi bunga diletakkan.
Ketua Penggubah Bunga Hotel One World, Petaling Jaya, Roslan Razali berkata kini wanita semakin bijak memanfaatkan sepenuhnya ruang dengan meletakkan gubahan bunga.
Ada antara mereka yang menggubah mengikut gerak tangan tanpa peraturan tertentu, namun gubahan dihasilkan mampu menambat mata memandang.
Menurut Roslan, ukuran serta jenis rekaan bergantung kepada tempat bunga diletakkan. Misalnya bekas bunga berbentuk bulat sesuai diletakkan di atas meja bulat.Bunga berwarna cerah pula sesuai diletakkan di atas meja gelap seperti meja kopi hitam atau bekas berwarna hitam atau coklat.
"Ini bagi menaikkan seri ruang apabila gubahan bunga bergabung dengan warna dinding atau alas meja. Selain itu pastikan gubahan bunga bersesuaian dengan saiz meja kopi.
"Sekiranya bunga terlalu tinggi, ia akan menghalang pandangan mata, begitu juga sekiranya ukuran bunga terlalu kecil yang akan menyebabkan gubahan tidak kelihatan," katanya.
Berpengalaman hampir enam tahun dalam seni menghias bunga, Roslan memberitahu asas paling penting dalam gubahan adalah kombinasi warna, jenis rekaan serta posisi bunga diletakkan.
Sesetengah wanita menganggap menggunakan bunga mahal mampu menghasilkan gubahan menarik. Ini pandangan salah, mahal atau murahnya jenis bunga tidak menjanjikan gubahan cantik asalkan penggubah kreatif menyusun atur menggunakan warna sesuai.
Kini gaya gubahan bunga sudah bertukar, ramai wanita menggemari gaya moden kontemporari yang boleh dilihat menerusi pemilihan bekas bunga. Bagi yang inginkan konsep zen, mereka perlu menggunakan bunga berukuran besar, bekas yang tinggi serta hiasan tambahan seperti kristal serta batu permata.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: