Tuesday, June 29, 2010

Beast memang 'ganas'!




MEMANG tidak dinafikan lagi, sejak lima tahun kebelakangan ini, muzik yang dibawa dari Korea Selatan telah merobah pasaran muzik semasa.

Virus muzik yang digelar K-pop itu bukan sahaja menular di seluruh pelosok Asia malahan muzik berkenaan juga berjaya merebak ke negara luar lain khususnya di Barat dan Eropah.

Buktinya, populariti yang dikecapi oleh penyanyi dan kumpulan muzik seperti Rain, Super Junior dan Wonder Girls berjaya melangkaui sempadan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Malah, kehadiran mereka di persada muzik antarabangsa juga sedikit sebanyak berjaya mengubah tanggapan skeptikal peminat muzik antarabangsa terhadap muzik kelahiran Asia.

Kelebihan yang ada pada mereka bukan sahaja terletak kepada muzik yang catchy dan cepat menangkap halwa telinga.

Tetapi ia juga terletak kepada imej dan pembawakan diri mereka di atas pentas dengan aura umpama magnet yang pantas menarik perhatian peminat.

Melihat kepada kejayaan senior mereka sebelum ini, kini sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka Beast sudah bersedia untuk menakluk dunia seni dengan muzik mereka.

Biarpun usia penglibatan mereka baru lapan bulan, namun enam anak muda kacak ini begitu optimis dengan perjalanan seni mereka yang sudah semakin berkembang mekar.

Berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun, Beast dianggotai oleh Hyun Seung, Jun Hyung, Yo Seop, Gi Kwang, Dong Woon dan Du Jun yang kesemuanya memiliki bakat tersendiri.

Sekadar menyelak lembaran sejarah penubuhan Beast, bakat kumpulan itu mula dicungkil pada tahun 2009 oleh sebuah syarikat, Playcube Inc. yang ketika itu mahu mencari bakat-bakat baru khususnya berkumpulan.

Mereka dipilih dan disatukan menjadi sebuah kumpulan apabila Playcube melihat enam orang anak muda ini memiliki kelebihan dan keunikan masing-masing yang mampu menguatkan lagi jenama Beast itu.

Sekadar mahu mencuba nasib untuk melihat potensi kumpulan itu di negara ini, syarikat rakaman, Universal Music Malaysia telah membawa mereka berkunjung ke negara ini.

Barangkali nama kumpulan Beast mungkin agak asing pada pendengaran peminat muzik K-pop di negara ini berikutan mereka masih baru dalam dunia muzik.

Namun, semua itu bukan satu masalah kerana sememangnya Beast sudah berjaya mengumpul dan memiliki kelompok peminatnya yang tersendiri.

Sememangnya kehadiran Beast cukup dinantikan oleh peminat mereka yang sendiri telah mengundi secara talian (online) untuk membawa mereka ke negara ini.

Perasaan teruja dan gembira terpancar jelas di wajah keenam-enam anak muda itu apabila melihatkan respons yang cukup positif daripada peminat mereka.

Buktinya, pada persembahan mereka yang berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu sudah cukup membuktikan 'keganasan' Beast sebagai kumpulan muzik popular.

Seawal 7 malam lagi, peminat kumpulan Beast sudah membanjiri pusat hiburan terkemuka untuk melihat persembahan penyanyi pujaan mereka secara dekat.

Apa yang mengejutkan apabila melihatkan kehadiran pengunjung yang mencecah hampir 3,000 orang sehingga menjadikan KL Live begitu sesak dengan lautan manusia.

Bukan itu sahaja, 80 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada remaja Melayu yang sememangnya menggilai dan meminati muzik yang dibawakan oleh Beast.

Tepat pukul 8 malam, kumpulan itu muncul di atas pentas dengan lagu pertama mereka Beast Is The Best yang dipetik dari album mini mereka dengan judul sama yang pantas mencetus histeria dengan hiruk-pikuk jeritan penonton.

Memang tidak silap percaturan Playcube menubuhkan kumpulan ini kerana kesemua anggota Beast sememangnya berbakat dalam seni tarian serta nyanyian.

Masing-masing memperlihatkan skil tarian yang berbeza dan maka itu, tidak hairanlah apabila setiap anggota Beast mempunyai peminat mereka sendiri.

Hyun Seng misalnya cukup lincah di atas pentas dengan teknik tarian yang begitu energetik manakala Jun Hyung pula begitu cekap dalam teknik rapping.

Vokalis utama Beast, Yo Seop pula memukau peminatnya dengan gaya penyampaian serta kualiti vokal yang tersendiri.

Meneruskan persembahan, Beast menyanyikan lagu-lagu yang dipetik dari album studio mereka, Shock Of The New Era seperti Bad Girl, Introducing Beast, Mystery, Easy dan Oasis.

Ketika itulah, keadaan dilihat sudah tidak mampu dikawal lagi dan tanpa disuruh, peminat mereka terus menyanyikan lagu-lagu mereka dengan penuh lancar.

Sebagai penghargaan buat peminat setia mereka, kumpulan Beast sempat membuat pertandingan tarian dan nyanyian yang telah memompa adrenalin pengunjung untuk mempamerkan skil serta bakat mereka di hadapan Beast.

Seramai empat peminat bertuah terpilih untuk menunjukkan skil mereka dan hanya seorang sahaja yang berjaya memenangi hadiah yang ditawarkan iaitu bergambar dengan kumpulan berkenaan.

Tidak mahu menghampakan peminat mereka, persembahan mereka ditutup dengan gabungan tiga lagu dari album yang sama iaitu Shock, Bad Girl dan Mystery.

Biarpun muzik yang dibawakan mereka tidak banyak bezanya dengan apa yang pernah dipersembahkan oleh artis terdahulu, kehebatan bakat Beast memang tidak dapat dinafikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: