Tuesday, June 29, 2010

Siriphun dihukum karma


NASKHAH yang menjanjikan keseraman dalam istilah baru.


BAYANGKAN seorang kolumnis majalah fesyen yang glamor tetapi hidup dalam serba kecelaruan. Dia menghidap insomnia, terlalu kuat berfikir, tidak boleh tidur bersendirian, murung dan hidup dalam dunianya sendiri serta yang paling malang, hidupnya dihantui ketakutan terhadap hantu.

Sebenarnya itulah watak lakonan terbaru aktres jelita Thailand, Siraphun Wattanajinda yang muncul dengan gaya dan rambut terbarunya menerusi filem seram, 9 Temple: Death Ghost yang bakal mula ditayangkan di pawagam Malaysia menjelang 1 Julai ini.

Filem arahan sulung Saranyoo Jiralak itu menggandingkan Siraphun dengan aktor yang mencipta nama terlebih dahulu sebagai penunggang motosikal profesional, James Mackie.

Menceritakan tentang pengalamannya berlakon filem itu kata Siraphun: "Saya begitu percaya bahawa karma adalah satu perbuatan. Sebelum ini, saya juga ada melakukan kebaikan dan berdoa supaya diberi kebahagiaan untuk sekarang dan masa depan."

Tambah Siraphun: "Namun, sebaik menjalani penggambaran, fikiran saya menerawang ke masa lalu, memikirkan kebarangkalian saya ada melakukan keburukan sama ada secara fizikal, mental atau melalui percakapan.

"Sekurang-kurangnya, sekarang saya lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu. Muhasabah diri membuatkan saya merasa lebih baik dan mengingatkan saya untuk tidak melakukan kejahatan kepada orang lain. Filem ini seumpama peringatan buat kita yang mana setiap perbuatan pasti ada balasan, yang adakalanya mudah dilupakan begitu sahaja. Jadi, saya sangat-sangat menyukai filem ini."

Dalam pada itu, James Mackie tidak ketinggalan menceritakan tentang watak lakonannya dalam 9 Temple: Death Ghost. "Dalam filem ini, saya membawakan watak Nat, seorang lelaki yang tidak takut malah tiada sebarang kepercayaan. Jadi, dalam filem yang menggandingkan saya dengan Siraphun sebagai Poon ini, banyak kali kami merasakan watak kami itu adalah secara semulajadi, bukan dibuat-buat.


TIGA jiwa, sebuah perjalanan dan satu ketakutan.


Tambahnya: "Watak Nat menjadikan saya seorang yang lebih santai, sebab asalnya saya memang seorang yang agak agresif. Setelah saya bermeditasi selama lima minit, penggambaran lebih mudah dirasakan. Saya belajar untuk meletakkan emosi pada masa dan tempat yang tepat.

"Penggambaran di jalanan sememangnya sebuah pengalaman yang membolehkan saya menyerap perubahan karakter dalam diri yang mana akhirnya, saya juga berubah sama. Bukan dari baik menjadi jahat, Cuma saya mula berasa teringin melakukan kebaikan supaya saya juga memperoleh balasan yang baik untuk diri saya."

9 Temple: Death Ghost mengisahkan seorang pereka grafik muda, Nat bersama teman wanitanya, Poon yang dalam perjalanan menuju ke Chiang Mai di Utara Thailand ketika cuti tahun baru.

Mereka singgah sebentar di Uthai Thani menemui ibu Nat yang kemudian menyarankan dia supaya menunaikan hukum karma iaitu berkelakuan baik dengan mengunjungi sembilan rumah berhala.

Ketika mahu meneruskan perjalanan, Nat bersua dengan rakan sepermainannya sewaktu kecil, Sujitto yang merupakan seorang sami yang juga mahu ke Utara Thailand. Justeru, Nat menumpangkannya. Kini, seorang lelaki, seorang gadis dan seorang sami sedang dalam perjalanan menuju ke Utara Thailand tanpa menyedari apa yang bakal menanti mereka di hadapan adalah sesuatu yang menakutkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: