"Saya minta maaf, saya memang tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana saya tidak mahu silap cakap, sekaligus
PERKARANGAN Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada petang Khamis lalu menjadi tumpuan media. Semua yang datang dengan niat sama iaitu untuk membuat liputan kesudahan kisah lara membabitkan pelakon, penyanyi dan pengacara, Maya Karin. Jika sebelum ini si empunya diri asyik berahsia mengenai status perkahwinan mereka, tapi kali ini kehadiran Maya dan suaminya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya Muhammad Ali situ menimbulkan pelbagai tanda tanya.Namun bukan saja status perkahwinan yang menjadi perhatian. Sebaliknya penampilan Maya dengan bertudung dan berbaju kurung dengan labuh turut menarik perhatian. Cukup manis sekali dipandang.
Dia berjalan tenang saja menuju ke kereta biarpun sudah ramai wartawan menunggunya di perkarangan mahkamah. Bahkan berbeza dengan kebanyakan artis atau personaliti lain yang lazimnya bercermin hitam yang besar hampir menutup muka apabila hadir di Mahkamah Syariah, Maya tidak pula berbuat demikian. Tiada apa yang melindungi wajahnya.
Tidak kekok, tidak juga melatah atau melenting apabila dikerumuni wartawan. Dia juga tidak mengarahkan peguam yang mengiringinya supaya wartawan tidak mendekatinya. Sebaliknya dalam senyuman itu, mulutnya terkunci rapat. Tiada sepatah perkataan terkeluar daripada mulutnya apabila diminta mengulas mengenai ‘kehadirannya’ di Mahkamah Syariah.
Tindakannya mendiamkan diri menyebabkan media terpinga-pinga, meninggalkan persoalan mengenai kemelut yang melanda rumah tangganya. Apakah mungkin kehadiran mereka adalah untuk mendaftarkan pernikahan mereka kerana sebelum ini mereka memilih luar negara untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri ataupun mereka datang untuk memfailkan perceraian, selepas segala usaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka menemui jalan buntu.
Maya, Steven kemas menyimpan rahsia
Enggan membuat spekulasi, masing-masing sabar menanti serta ingin mendengar sendiri pengakuan dari mulut pasangan yang melangsungkan perkahwinan mereka dalam suasana romantis di tepi Tasik Como, Bellagio, Itali, Ogos, dua tahun lalu. Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan gambaran sebenar apakah yang berlaku di dalam kamar Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin itu tidak berhasil kerana Steven, yang terlebih dulu keluar dari bilik itu enggan memberikan sebarang komen.
Sebaliknya ketika ditanya, dia hanya mengatakan tiada sebarang perceraian dan juga tiada keputusan yang diambil. Malah, dia menyuruh media bertanyakan sendiri perkara itu kepada isterinya sebelum berlalu pergi. Melihat riak wajah lelaki yang bergelar pendidik ini, nyata dia begitu kecewa dengan apa yang berlaku hari ini.
“Saya sangat kecewa,” kata Steven merujuk kehadirannya ke mahkamah syariah, petang itu.
Ditanya apakah berlaku perceraian seperti yang didakwa, Steven hanya berkata; “Tiada perceraian dan tiada keputusan, tanyalah pada Maya,” katanya sambil berlalu pergi. Walaupun dikejar dan diajukan soalan bertubi-tubi, lelaki tinggi lampai ini tetap dengan pendiriannya iaitu mendiamkan diri seribu bahasa.
Kira-kira 15 minit kemudian, barulah kelibat Maya muncul. Kelihatan ayu mengenakan kurung rona cerah berbunga dan bertudung litup putih, pelakon dan penyanyi lagu Erti Cinta ini juga mengambil langkah yang serupa untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan apakah tujuan sebenar dia dan suami, mengunjungi tempat itu.
“Saya minta maaf, saya memang tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana saya tidak mahu silap cakap sekali gus akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya. Maya ditemani peguam syarie, Norhusniah Husin. Biarpun enggan memberikan sebarang komen, dia tetap diasak dengan pelbagai soalan berhubung isu rumah tangganya yang semakin hangat diperkatakan itu.
Namun, hasilnya tetap sama. Maya tetap mengunci mulutnya dari terus mengeluarkan kenyataan. Sambil diiringi polis, Maya melangkah laju menuju ke tempat meletak kereta. Berlaku adegan kejar-mengejar sehinggalah Maya terpaksa berhenti dan bersedia mendengar asakan pertanyaan selepas diminta untuk berbuat demikian. Meskipun di bibir, Maya berkali-kali menegaskan bahawa dia tidak dapat menjawab segala persoalan yang diajukan, namun dari raut wajahnya jelas menterjemahkan bahawa dia sebenarnya terikat dengan syarat yang hanya dia dan suami saja yang tahu.
Usaha mendapatkan maklumat apakah tujuan Maya dan suami hadir ke mahkamah tidak terhenti setakat itu saja. Soalan sama diajukan kepada peguam yang mewakili Maya. Malangnya, dia tidak dapat membantu disebabkan anak guamnya itu sudah memberi arahan supaya tidak mengeluarkan sebarang ulasan.
“Lambat laun nanti, anda semua akan mengetahui keputusannya,” kata Norhusniah sambil membantu anak guamnya itu masuk ke kereta.
Kemelut rumah tangga dihadapi Maya dan Steven mula dihidu media sejak Februari lalu apabila mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung. Sejak membawa haluan masing-masing, pelbagai spekulasi bertebaran sehingga ada yang mendakwa, keretakan rumah tangga mereka berpunca masalah orang ketiga.
Bagaimanapun ketika ditanya, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49, menafikan perkara itu sekeras-kerasnya. Malah, dia bersungguh-sungguh menegaskan bahawa perpisahan sementara itu adalah untuk memberi ruang kepada mereka memperbaiki kesilapan dan sebagai usaha untuk menyelamat perkahwinan yang bakal mencecah dua tahun menjelang Ogos depan.
Jika filem atau drama ada penamatnya, namun drama membabitkan Maya dan Steven ini terus berlanjutan dan menjadi tanda tanya. Selagi tuan punya badan terus bermain teka-teki dan memendam rahsia, selagi itulah mereka akan terus menjadi buruan media.
Begitupun, andai benar sudah tertulis bahawa jodoh mereka hanya mampu bertahan setakat ini, biarlah ia dapat diselesaikan dengan cara baik. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: