|
|
Kesedaran yang tinggi di kalangan pengguna terhadap tahap kebersihan makanan kini semakin meningkat, begitu juga dengan kesahihan produk halal.
Bagi para pengguna yang beragama Islam, status halal bagi setiap produk makanan amat dititik beratkan kerana makanan merupakan sumber utama membentuk sahsiah diri.
Jika makanan tersebut halal dan bersih maka begitu jugalah diri orang yang menjadikan ia sebagai hidangan.
Namun, kini agak sukar bagi para pengguna yang beragama Islam untuk menentukan kesahihan label atau tanda halal yang diletakan pada setiap produk makanan yang di tawarkan di pasaran.
Justeru, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Perlis (UnMAP), Shayfull Zamree Abd. Rahim mereka sebuah mesin pengesan logo halal pada setiap produk makanan yang terdapat dipasaran.
Beliau yang juga ketua penyelidik berkata, biarpun produk-produk makanan yang sedia ada memiliki logo halal namun tanpa disedari ada antaranya telah tamat tempoh.
''Pada masa ini, terdapat pelbagai produk makanan di pasaran yang menggunakan logo halal dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat pengiktirafan sijil halal yang sah dari pihak berkenaan.
''Terdapat juga produk yang telah tamat sijil sah halal dua hingga tiga tahun lepas, tetapi masih menggunakan logo halal tanpa memperbaharuinya," jelasnya ketika di temui di Pameran Kebangsaan Inovasi, Ciptaan dan Teknologi ke 10 (ITEX 10) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Dikenali sebagai Alat Pengesan Logo Halal (Halal Logo Verification Device) beliau mendapat inspirasi mencipta alat tersebut pada pameran ITEX 9 pada tahun sebelumnya.
Jelas beliau, ketika sedang sibuk melihat produk serta ciptaan daripada peserta lain pada waktu itu, beliau tertarik dengan ciptaan salah seorang pensyarah daripada Universiti Malaya (UM) iaitu label halal yang memiliki mikrocip.
''Selepas melihat ciptaan tersebut saya terfikir, tidakkah ada cara lain untuk memastikan sijil halal yang terdapat di pasaran adalah yang sah.
''Jika menggunakan mikrocip pada setiap label,
pastinya ia memakan kos yang agak mahal dan tidak bersesuaian dengan produk makanan yang murah," jelasnya.
Setelah melakukan beberapa kajian, beliau mendapati pengguna boleh mengesan kesahihan logo halal boleh di semak melalui laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengguna hanya perlu mendaftarkan kod bar produk dan nama produk, pengilang dan tarikh sijil sah, sijil tamat tempoh atau tiada dalam rekod akan terpapar.
Produk tersebut yang dihasilkan mempunyai tiga model, pertama adalah jenis kiosk manakala dua lagi model mudah alih namun sedang dibangunkan.
Produk tersebut telah siap dan sedia untuk dikomersialkan dan pengguna boleh menyemak status halal sesuatu produk sebelum membelinya.
Bagi model tersebut, beliau menyarankan agar pihak yang bertanggungjawab dapat mewajibkan kiosk tersebut diletakkan di setiap pasar raya diseluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: