MUNGKIN sebelum ini jarang kita dengar ada artis yang membawa peminat untuk tidur di rumah mereka kerana bagi artis jurang antara peminat harus dijaga.
Namun fakta itu tiada dalam kamus vokalis Hujan, Noh. Dia sebaliknya pernah membawa peminat pulang untuk tidur di rumahnya!
Noh mengakui ketika itu dia membawa peminatnya yang berasal dari luar Kuala Lumpur itu untuk bermalam di rumahnya kerana peminat tersebut tidak mempunyai tempat tinggal ketika berkunjung ke kota raya ini.
"Peminat lelaki itu datang ke Kuala Lumpur pada musim cuti sekolah (semata-mata) untuk berjumpa dengan Hujan.
"Bila sampai di sini dia tidak ada tempat tinggal dan saya suruh dia duduk rumah saya. Dalam Facebook saya layan mereka (peminat) dengan baik dan saya kenal dia. Justeru, tidak mungkin bila dia datang nak jumpa kami, kami tidak layan," katanya.
Noh bagaimanapun mengakui rakan-rakannya pernah menasihatinya supaya mewujudkan jurang dengan peminat kerana bimbang berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
"Saya dah cuba tetapi susah kerana bagi saya tanpa peminat siapalah Hujan," katanya.
Sememangnya kerjaya sebagai seorang selebriti sering menjadi perhatian khalayak ramai terutamanya peminat mereka sendiri. Adakalanya kisah remeh-temeh pun jadi besar gara-gara ada peminat yang tidak berpuas hati.
Mungkin bagi sesetengah artis atau selebriti mereka akan mengambil langkah menjadi seorang yang hipokrit atau menjadi orang lain untuk menjaga hati semua pihak disamping agar imej mereka tidak tercalar.
Lain pula bagi Noh apabila dia meraih impak negatif setelah membuat pilihan untuk menjadi dirinya yang sebenar. Bagi dirinya, dia tidak mahu ada jurang antara dia dan peminat dan sebab itu jugalah dia memilih untuk peminat mengenali dirinya yang sebenar.
Pada 29 April lalu, seorang peminat wanita Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 25, telah membuat pengakuan dihina dalam satu sesi autograf bersama Noh anjuran sebuah universiti tempatan.
Pelajar tersebut berkecil hati dengan Noh gara-gara menggantikan autografnya dengan ayat 'awak busuk'. Rentetan daripada kejadian itu pelajar tersebut telah meminta Noh meminta maaf secara terbuka.
Noh ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini di satu sidang akhbar di Oxford Cafe, Kuala Lumpur memberitahu dia bersedia untuk meminta maaf kepada pelajar tersebut.
Permintaan itu akan ditunaikan sekiranya pelajar tersebut mahu bersemuka dengannya. "Saya boleh minta maaf kepada dia (pelajar) itu pun kalau dia mahu jumpa saya," katanya.
Jelasnya, sebenarnya kejadian tersebut telah sedikit sebanyak mengganggu kariernya. "Namun nasib baik ramai juga peminat saya yang lain banyak memberi sokongan.
"Mereka kata, saya jangan risau dengan hal tersebut kerana siapa yang kenal Noh tahu saya macam mana," jelanya.
Tambahnya, dia sedar sikapnya itu mungkin akan membuatkan sesetengah pihak akan hilang minat kepada dirinya.
"Itu cara saya. Mungkin ketika kejadian itu pelajar tersebut tidak boleh menerima cara layanan saya. Kesilapan saya ialah buat macam itu kepada orang yang salah.
"Tujuan saya adalah untuk buat peminat serapat yang mungkin dengan Noh dan mahu peminat selesa dengan cara saya," tambahnya.
Sokongan Raingers
Dia yang mewakili ahli Hujan yang lain dalam pada itu berasa terharu dengan sikap kumpulan peminat mereka yang diberi nama Rainger. Mereka sanggup melakukan pelbagai aktivi selain dapat menambahkan keakraban antara mereka.
Jelas Noh, Raingers pada mulanya adalah peminat-peminat Hujan yang datang ke konsert dan kemudian menjadi kawan dan terus menubuhkan kelab peminat bernama Raingers.
"Kami (Hujan) memang rapat dengan Raingers dan banyak melakukan aktiviti bersama ketika ada masa lapang seperti main badminton dan menonton wayang," ungkapnya.
Menurut Noh lagi, apa yang membuatkan dia terharu dengan Raingers ialah mereka banyak membantu Hujan walaupun berkenaan hal peribadi.
"Baru-baru ini ada salah seorang ahli Raingers yang merupakan kawan karib kami meninggal dunia. Arwah sangat rapat dengan seorang lagi ahli Raingers yang ketika itu sedang menjalani latihan menjadi polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak Kuala Lumpur Pulapol tidak tahu berita itu dan ahli Raingers lain telah pergi dan sampaikan berita kepada mereka.
"Saya mendapat berita itu 10 minit sebelum saya buat persembahan. Saya menangis dan selepas itu terpaksa membuat persembahan dengan menggunakan cermin mata hitam," tuturnya.
Hujan lawan Bunkface
Berita baik buat sekalian peminat Hujan. Hujan bakal beraksi di pentas dalam masa terdekat ini.
Konsert Hujan vs Bunkface: 1 Hati Cinta Negara itu dijadualkan akan berlangsung pada 10 dan 11 Julai ini di KL Live Hall, Life Center, Kuala Lumpur.
Objektif yang akan dibawakan pada konsert anjuran Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang selari dengan matlamat mereka.
Menurut Presidennya Datuk Izzudin Ishak, penganjuran konsert itu dilaksanakan selepas Pencinta menyedari bahawa perlu ada usaha memupuk semangat patriotik dan cinta negara di kalangan generasi muda.
Katanya, generasi muda tidak harus tertumpu kepada program bersifat akademik semata-mata seperti seminar, dialog, kempen dan program bercorak keilmuan sahaja.
|
|
"Malah, pendekatan kepada mereka juga boleh dibuat melalui elemen hiburan kerana ianya lebih dekat dengan minat mereka.
"Konsert ini dilakukan bagi memainkan peranan memupuk sikap mencintai negara melalui hiburan di mana golongan remaja akan didekati," katanya.
Konsert itu turut menyuntik konsep Battle of the band yang mana kumpulan Hujan dan Bunkface akan membuat persembahan secara berselang seli.
Namun, terdapat juga beberapa lagu yang akan dinyanyikan secara kolaborasi sekaligus menjadi keistimewaan konsert itu.
Antara lagu yang akan dibawakan oleh Hujan pada malam itu nanti seperti Pagi yang Gelap, Jiwa Kelajuan, Bila Aku Sudah Tiada dan beberapa lagu lain.
Sementara Bunkface pula bakal mengalunkan lagu Ekstravaganza, Revolusi, Situasi dan banyak lagi.
tp betul ke ko ni ngn miz nina???tak sesuai langsung
ReplyDelete