KERJAYA bukan sembarangan, populariti berhambatan, kereta dan banglo besar bukan kepalang, berwajah manis dan punya pendidikan. Cuma satu yang masih kurang lengkap - jiwa kosong tanpa kehadiran lelaki yang dipanggil kekasih.
Karakter bersahaja yang sememangnya melekat sebagai identiti gadis melewati usia 30 tahun ini tidak pernah berubah. Baik ketika masih bertugas sebagai buruh binaan di Skuad Perodua Era enam tahun lalu mahupun sekarang yang namanya jauh di kemuncak, Fara masih sama, gemar mengusik, tidak berhenti berbicara dan sentiasa merendah diri.
Meskipun berat hati ingin menyuap gadis kelahiran Petaling Jaya ini dengan persoalan klise - cinta, lelaki dan kahwin, namun bagi Fara, dia cukup masak dengan situasi sebegitu. Malah kata-katanya tersusun jelas menggambarkan betapa kerapnya dia berdepan peluru seperti itu.
"Pejam mata, tutup mulut pun rasanya gerak jiwa saya mampu menjawab soalan itu. Jujurnya saya tidak boleh berdolak-dalih atau cuba mengelak. Namun apakan daya, saya masih bersendiri tanpa lelaki yang dipanggil sayang.
"Bayangkan, saya langsung tidak akan terfikir soal kahwin hinggalah ada teman atau sesiapa saja yang mengingatkan saja, baru saya terfikir. Saya hanya sibuk dengan kerja yang bertimbun setiap hari dan memang tiada ruang pun untuk saya memikirkan soal kekasih.
"Kelakarnya, keluarga, peminat dan teman pula yang lebih risau berbanding saya. Mereka yang sibuk bertanya soal itu sedangkan saya selamba saja. Walaupun ramai orang sekeliling saya sudah berkahwin, ia tidak langsung merisaukan atau menakutkan saya," selorohnya.
"Teman adalah inspirasi hidup saya. Mereka menjadi teman waktu gembira dan sentiasa di sebelah ketika saya menangis. Percaya atau tidak, kami akan menjalankan pelbagai aktiviti bersama seperti bercuti atau melepak bagi mengisi waktu lapang.
"Kalau saya minta diri untuk pulang dulu, ada antara mereka akan berpesan, kerja untuk kawan," katanya tertawa besar mengingatkan perkara itu.
Angka 30 yang menggambarkan usianya kini tidak langsung mencuit jiwanya kerana masih bersendirian, sebaliknya jelas gadis yang pernah memiliki siri televisyen yang mengangkat namanya sendiri berjudul Fara ini, ulang tahun ke-30 pada 7 Februari lalu adalah titik tolak bagi sebuah permulaan baru dalam dirinya.
"Angka itu mencerminkan satu simbolik kematangan. Saya ingin mengejar sepantas mungkin mana yang tertinggal. Saya ingin kembali menguatkan kerjaya saya untuk satu tempoh tertentu yang ada dalam benak fikiran bagi menumpukan pada lapangan lain pula jika diberi keizinan.
"Soal jodoh atau lelaki, ia tidak langsung berkaitan dengan usia yang meningkat ini kerana saya percaya, jodoh itu pasti datang jika benar ia sudah tersurat," katanya.
Fara yang juga pengacara Melodi dan Alahai Fafau menyifatkan perubahan yang berlaku itu bukan sekelip mata atau usaha semalaman, sebaliknya kejayaan yang ditempa hari ini adalah hadiah atas kerja keras selama ini.
"Saya bermula dari bawah dan kerja yang dilakukan ketika itu sukar diceritakan kembali. Berpeluh-peluh setiap kali keluar bertugas bersama Skuad. Angkat kotak dan barang, memandu van, memunggah hadiah dan memanggil orang ramai untuk menyertai kuiz yang kami adakan bagi mempromosi stesen radio masa itu.
"Pendek kata, lebih kurang macam 'kuli' tapi tidak pernah saya merungut kerana duit yang dapat itulah yang banyak meringankan beban sepanjang melanjutkan pelajaran di universiti dulu.
"Kemudian atas kepercayaan stesen radio dan ketuanya ketika itu, Seelan Paul, saya diberi peluang mengendalikan program radio pula. Macam-macam yang saya pelajari dan pastinya pengalaman itu yang sentiasa diheret hingga hari ini. Pengajaran itu saya simpul menjadi semangat untuk terus bertapak di stesen Hot FM bersama warga kerja yang lain hingga kami diiktiraf stesen radio nombor satu negara.
"Justeru, tidak mudah untuk saya tenggelam dengan kejayaan dan kesenangan dimiliki hari ini kerana kenangan perjalanan saya untuk sampai ke tahap ini sentiasa ada dalam jiwa.
"Alhamdulillah, rezeki datang tidak putus-putus dan ganjaran diterima sangat berbaloi dengan pengorbanan diberi," katanya yang pernah menjulang anugerah Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian sejak tahun 2005 hingga yang terbaru April lalu.
Rencah hidupnya yang baru saja tampil dalam filem Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami selepas kejayaan filem pertamanya, Jin Notti bersama Mawi adalah disiplin dan selalu rasa bersyukur dengan apa saja terbentang di depan mata. Gandakan usaha dan usah malas mencari peluang bagi meningkatkan kualiti diri dan taraf hidup.
Bertanyakan impiannya di masa depan yang masih terbuku di hati, Fara menyatakan mungkin dirinya tidak selama-lamanya kekal sebagai selebriti, sebaliknya graduan jurusan Ijazah Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara ini teringin menyertai organisasi yang berperanan menjalankan kerja amal secara serius.
"Itu impian yang akan saya laksanakan selepas kehidupan benar-benar stabil. Setakat ini saya sibuk mengumpul duit untuk masa depan kerana tanggungjawab terhadap keluarga perlu dilunaskan terlebih dulu.
"Namun jauh di sudut hati, saya ingin melakukan kerja amal dan membantu orang lain yang memerlukan. Mungkin saya ingin menstruktur organisasi kerja amal sendiri yang boleh meringankan beban orang lain. Ini saja sumbangan yang mampu saya lakukan.
"Saya takut untuk merasa bosan kepada kerja yang penuh setiap hari. Alhamdulillah, saya belum jemu melakukan seribu satu kerja yang datang bertimpa-timpa," katanya yang kini terikat dengan Castrol selama tiga bulan sempena Castrol Football Worldcup.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: