AKTIVITI bersenam sering dilabel membosankan berikutan melakukan rutin yang sama. Pasti ramai antara kita hanya teruja bersenam di peringkat awal sebelum mengalah selepas beberapa sesi.
Menurut jurulatih jazzercise, Sharina Sultan, senaman ini secara luarannya seperti aerobik tapi ia lebih kepada beberapa gerakan tarian di samping latihan tentangan mudah.
"Jazzercise menggabungkan tarian jaz, hip hop, country dan pop serta diselangselikan dengan gerakan kickboxing, yoga dan pilates bagi menjadikannya senaman menyeluruh selama 60 minit.
"Kira-kira 30 ke 40 minit pertama diadakan aerobik tarian, 15 ke 20 minit seterusnya untuk latihan kekuatan tubuh bagi membentuk otot tangan, mengempiskan perut serta memejalkan punggung, kaki dan paha.
"Beberapa minit terakhir pula berunsurkan senaman yoga dan pilates yang lebih kepada regangan dan menyejukkan badan," katanya.
Katanya, jazzercise mudah diikuti wanita pelbagai peringkat usia terutama antara 15 hingga 65 tahun kerana rentak tarian yang mudah untuk diikut dan tidak perlu menghafal rentaknya.
"Bagi saya, ia menyeronokkan dan tak perlu menghafal rentak. Jika mendaftar lewat, misalnya di pertengahan kelas, peserta masih boleh mengikut pergerakan yang sudah berjalan di dalam kelas. "Lebih menarik apabila kami menukar himpunan lagu terkini setiap bulan supaya peserta tidak bosan dengan lagu dan rutin yang sama serta mengelak tubuh imun dengan rentak latihan sedia ada," katanya.
Sharina berkata, ramai yang menyertai kelas itu menyasarkan menurun berat badan malah ada yang ingin mengurangkan komplikasi masalah kesihatan selepas disarankan doktor.
"Mengikut kajian Universiti Kansas, Amerika Syarikat, senaman ini berupaya membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan beberapa penyakit lain serta berkesan mengurangkan sel barah.
"Tapi majoriti yang menyertainya lebih memberi tumpuan untuk menurunkan berat badan dan mengekalkannya di samping meningkatkan kecergasan."Wanita mengandung juga boleh menyertainya. Saya sendiri mengamalkan jazzercise ketika hamil anak ketiga sejak minggu pertama hingga seminggu terakhir sebelum bersalin.
"Tapi saya sarankan wanita mengandung minta dulu nasihat doktor sebelum melakukan senaman ini," katanya.
Sharina, pemegang Ijazah Undang-Undang, mula menggerakkan jazzercise di Stomp Fitness Studio sejak lapan tahun lalu apabila suaminya, Armand Mikhayl Abdullah membuka pusat futsal popular, Sports Barn di Petaling Jaya. Mengetengahkan konsep khusus untuk wanita, Stomp Fitness Studio tidak membenarkan lelaki menyertainya. Peserta wanita pula diberikan kata kunci khas untuk masuk ke dalam bangunan itu serta petak parkir berasingan daripada pengunjung Sports Barn.
"Langkah ini dibuat demi keselesaan peserta wanita. Kami mempunyai ramai peserta bertudung, jadi pengkhususan ini memberi peluang untuk mereka lebih bebas melakukan aktiviti senaman di kawasan studio," katanya. Dengan yuran hanya RM100 sebulan, peserta boleh menyertai kelas latihan tanpa had yang diadakan setiap Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat dan Sabtu. Isnin, Selasa, Rabu dan Jumaat mempunyai dua sesi latihan iaitu pada jam 6 petang dan 7.30 malam.Sabtu pula hanya jam 9 pagi, manakala Khamis diperuntukkan untuk kelas Body Scultp, di mana ia membantu peserta membentukkan otot tubuh.
Bagi yang berminat, boleh hubungi pengurusan Stomp Fitness Studio di 03-79566869, e-mel ke sharinasultan@gmail.com atau ke Sports Ban, Lot 5, Lorong 19/1/a, Seksyen 9, Petaling Jaya, Selangor.
>Info
> Program latihan jazzercie mula diperkenalkan pada 1969 oleh Judi Sheppard Missett di Evanston, Illinois, Amerika Syarikat. Judi gemarkan tarian jaz lalu mengubahnya menjadi senaman mudah untuk pelajarnya di Universiti Northwestern, Chicago.
> Jazzercise kini menjadi fenomena senaman dunia dan francais antarabangsa yang kini berpangkalan di Carlsbad, California itu menyenaraikan lebih 7,500 jurulatih dan lebih 32,000 kelas latihan di 32 negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: