Wednesday, June 30, 2010
Selamat tinggal seni
Jika dahulu penyanyi, pelakon dan model, Noorkumalasari, 54, adalah artis cukup tersohor dan dilihat seakan tidak akan berganjak dalam industri hiburan tempatan, kini beliau mengaku tidak teruja kembali aktif dalam bidang yang sangat diminati satu masa dulu.
”Sudah terlalu jauh saya meninggalkan karier dalam bidang seni iaitu sekitar 1997 dan kini saya sudah betul-betul bersedia menjadi suri rumah sepunuh masa, sama seperti wanita lain. Saya juga lebih selesa menguruskan keperluan keluarga, suami dan empat orang anak lelaki yang sangat memerlukan perhatian,” kata anak kepada pasangan pelakon veteran S.Roomai Nor dan Datin Umi Kalthum itu.
Menurutnya, masa yang diberikan untuk berada dalam dunia artis sudah pun berlalu dan kini dia tidak lagi berminat untuk terus kembali.
Kini dia lebih selesa dengan penampilan bertudung, kehidupannya yang baru dan pendekatan ke arah lebih mendekatkan diri dengan Islam.
”Zaman itu sudah berlalu bagi saya. Jika dahulu saya asyik memikirkan populariti dan glamour sehinggakan hati juga tidak tenang serta serabut apabila mengingatkan tentang peminat dan persembahan di mana-mana.
“Memanglah seronok ketika itu kerana saya selalu sahaja diserbupeminat, tetapi selepas itu saya tetap ada rasa kesepian dan keseorangan.
"Namun, kini dengan jalan mendekatkan diri dengan Allah, nampaknya jiwa saya semakin tenang dan tidak pernah rasa keseorangan kerana di dalam hati dan di depan depan mata saya sentiasa lebih mengingati Allah,” katanya.
Menurut penyanyi yang sering muncul dengan pasangan duetnya yang serasi, penyanyi nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, sehingga kini tawaran masih ada lagi untuknya terutama beberapa filem yang berunsurkan keagamaan.
“Kesemua tawaran saya terima semestinya watak yang menutup aurat dan bertudung. Jika ada tawaran sebegini saya akan berbincang dengan suami dan adakalanya dia memberi kebebasan sama ada untuk menerima atau pun menolak tawaran tersebut..
“Kalau dulu saya akan berfikir panjang dalam mengambil kira baik buruknya tetapi kini tidak lagi, saya terus sahaja mengambil keputusan untuk tidak terbabit lagi,” katanya yang mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dengan filem pertama, Menanti Hari Esok sekitar 1977.
“Ini kerana, hanya satu saya memikirkan soal meminta rehat untuk bersolat bila tiba waktunya. Saya sangat faham apabila kita meminta diri seluruh produksi juga terpaksa berehat dan ini membuatkan mereka rugi. Selain itu, waktu bersolek pastinya akan mengambil masa yang lama setiap kali selepas sembahyang, jadi rasanya amat tidak sesuai bagi saya,” katanya
Menurutnya, dia cenderung berkongsi pengalaman dalam mendekatkan diri dengan Islam serta caranya untuk terus kekal menjadi muslimah sejati.
”Mungkin sudah sampai masa untuk saya berkongsi pengalaman tentang beberapa perkara dalam melakukan perubahan dalam diri.
"Saya terima pun selepas bertanya kepada beberapa orang terdekat yang menasihati saya bahawa berkongsi pengalaman tidak mengapa kerana dengan niat kesilapan itu datangnya daripada kita dan yang baik itu hanyalah daripada Allah,” katanya yang turut berkongsi pengalaman bersama rakan artis yang lain seperti Aishah dan Amy Search.
Sementara itu, Noorkulamasari juga kesal dengan sikap sesetengah wanita yang bertudung tetapi tidak konsisten mengamalnya.
Katanya, perkara sebeginilah yang cuba disampaikan agar dapat dielakkan khususnya wanita agar niat itu haruslah berada di landasan yang betul.
“Saya dahulu pun pada awalnya tidak mahu menutup aurat dan akhirnya bertudung tanpa dirancang. Saya bersyukur kerana mendapat hidayah daripada Allah.
"Saya tidak mahu melihat wanita hanya bertudung kerana disuruh oleh suami atau perlu bertudung atas sebab-sebab lain. Saya mahu seseorang wanita itu bertudung kerana rasa cintanya kepada Allah semata-mata,” tegasnya yang juga pernah berlakon dalam sebuah filem seram usahasama Malaysia-Indonesia berjudul, Misteri Rumah Tua pada tahun 1987.
Menurutnya lagi, dalam mengekalkan sesuatu perkara baik haruslah selari dengan kekuatan dalaman serta mempunyai azam yang sangat tinggi. Malah paling penting berusaha untuk mengenali Pencipta kita terdahulu.
Sementara itu, Noorkumalasari juga sempat berkongsi, dalam mengekalkan jiwanya kepada Islam, kini dia berusaha untuk ke masjid bersama suami dan anak-anak untuk bersembahyang berjemaah setiap kali tiba waktu solat.
“Jika dahulu saya tidak ke masjid untuk bersembahyang tetapi bila difikirkan ketika menunaikan haji di Mekah, kita berlumba-lumba ke masjid untuk menunaikan ibadah ini tetapi apabila di sini perkara tersebut sudah tidak dilakukan. Rasanya tidak menjadi satu masalah pun untuk saya terus menunaikan amalan tersebut,” katanya.
”Secara ringkasnya itulah beberapa pengalaman seperti yang saya lalui mahu dikongsi dengan para peserta seminar itu nanti, “ akhirinya yang tidak mahu kemunculannya di seminar itu dikatakan hanya melihatkan dirinya seakan membangga diri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: