ADA yang memanggilnya burger comot. Lebih teruk bunyinya, burger ganja. Kata orang, persembahan hidangan pantas Om Burger tidaklah sehebat mana tetapi sekali makan ibaratnya akan ketagih.
Ramai pula berkata adalah sesuatu yang pelik sekiranya pelanggan Om Burger tidak berkunjung untuk kali kedua.
Penduduk sekitar Ampang, Selangor pasti mengenali individu yang meneraju gerai Om Burger. Dia bukan menjual calang-calang burger, kerana senarai pelanggannya datang dari kalangan orang biasa, artis terkenal sehinggalah kerabat diraja.
Jika dilihat, bahan-bahan penyediaannya tidak berbeza dengan burger yang dijual di gerai-gerai lain. Kaedah yang berbeza mungkin kaedah menempek mayonis menggunakan senduk atau spatula besar. Senang cakap, semuanya main campak-campak sahaja.
Barangkali inilah yang dimaksudkan dengan keikhlasan, atau lebih tepat lagi hidangan yang dibuat dengan rasa penuh kasih sayang. Ia datang daripada tuan gerai yang mencari rezeki bagi membesar dan menampung perbelanjaan lapan orang anaknya.
Menurut Shahril, gerai yang diusahakannya bukan sembarangan burger, kerana jualan burger itulah yang menemukannya dengan isterinya.
"Mula-mula buka gerai di sini, saya jual apam balik, goreng pisang, ayam goreng dan macam-macam lagi. Isteri pula bekerja di sekitar kawasan ini dan kami kenal ketika dia membeli apam balik di gerai saya.
"Sejak akhir tahun lalu, saya mula berniaga burger oblong dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana rasanya yang enak. Saiznya juga lebih besar seakan-akan daging Burger Prosperity McDonald's," katanya.
Burger oblong adalah 100 peratus produk bumiputera keluaran Seleraku Trading yang menggunakan 90 peratus daging. Ia menjadi tarikan baru masa kini bagi penggemar burger.
"Ia juga datang dalam tiga pilihan iaitu oblong ayam, daging lembu dan daging kambing," jelasnya yang bercadang membuka kedai burger pada masa akan datang.
Bercerita lanjut, Shahril memberitahu dia mula memulakan perniagaan Om Burger sejak tahun 1986 dekat Jalan Kerja Ayer Lama, berhadapan dengan kedai serbaneka 7-Eleven dan tidak pernah berpindah di tempat lain sejak itu.
"Dahulu kawasan ini belum lagi membangun seperti sekarang, hanya ada bangunan rendah. Kedai 7-Eleven di sini dibuka empat hari lebih awal daripada operasi gerai saya.
"Sekarang di sini sudah banyak restoran dibuka dan ada banyak pilihan makanan. Tetapi Alhamdulillah, perniagaan Om Burger saya sentiasa dikunjungi ramai pelanggan," cerita Shahril yang memberitahu gerainya pernah dikunjungi penyanyi rock, Amy Search, Aizat dan kerabat diraja Selangor..
Apakah rahsia perniagaan yang sentiasa mendapat sambutan?
Shahril memberitahu, tujuan dia berniaga bukanlah semata-mata untuk mencari keuntungan. Rahsia perniagaannya bertahan adalah kerana dia ikhlas berniaga selain sentiasa menjaga kualiti makanan.
"Ada pelanggan yang datang ke sini tidak bawa duit, tapi saya tetap beri mereka makan secara percuma. Tetapi selalunya mereka akan datang kembali dan membayar harga burger yang mereka makan," katanya yang mampu menjual sehingga 350 biji burger sehari bermula dari pukul 8 malam sehingga melewati tengah malam.
Sebulan makan percuma
Ruben K., 33, mempunyai sebab untuk menjadi pengunjung tetap Om Burger selama 12 tahun. Dia juga sudah menganggap Shahril seperti ayah kandungnya sendiri kerana lelaki itulah yang membantunya ketika dia susah 12 tahun lalu.
|
|
"Dulu saya ada masalah dengan keluarga sampai saya lari dari rumah. Keadaan masa itu memang susah kerana saya masih mentah dan tidak ada wang untuk makan.
"Saya datang ke gerai Om Burger dan Pak Cik Shahril bertanya, 'mahu makan burger apa?' Saya pula jujur memberitahu bahawa saya tidak ada duit, dan dia kata 'bila masa pak cik minta duit?'
"Selama sebulan Pak Cik Shahril beri saya makan burger secara percuma. Saya tidak akan lupakan jasanya yang saya sudah anggap seperti ayah kedua saya," katanya.
Selepas 12 tahun, Ruben masih setia dengan Om Burger, malah sudah memperkenalkan ramai kawan-kawannya dengan burger tersebut dan mereka semua suka akan rasanya.
"Mula-mula saya bawa mereka datang makan burger di sini dan selepas itu mereka datang sendiri ke sini tanpa mengajak saya," ujarnya berseloroh.
Ruben yang datang bersama kekasihnya, Seema, 34, turut memberitahu wanita itu teruja untuk merasai burger di gerai Om Burger berkenaan selepas berkali-kali diajak ke situ olehnya.
"Ruben asyik bercerita mengenai Pak Cik Shahril dan burger yang dijualnya. Ia membuatkan saya teringin untuk datang ke sini untuk merasai burger ini buat kali pertama," ujar Seema.
Selain Ruben, Syed Firdaus Syed Padzil, 20, juga adalah pengunjung tetap Om Burger sejak dia belajar di sekolah rendah. Sehingga kini, kesetiaannya tidak pudar.
"Dalam seminggu, pasti dua, tiga kali saya akan beli burger di sini kerana sudah terbiasa sejak kecil.
"Saya juga pernah mencuba burger jalanan lain tetapi yang ini paling sedap. Kawan-kawan saya dari Cyberjaya juga sanggup datang untuk makan burger di sini," jelas pelajar Universiti Lim Kok Wing itu.
Begitu juga dengan Norsuziana Azmi, 21 yang sudah ketagih dengan Om Burger. Menurutnya, sejak mencuba Om Burger ketika di sekolah menengah, dia sudah tidak cari burger lain kerana Om Burger sudah menjadi kegemarannya.
"Saya memang tinggal di kawasan ini jadi seminggu sekali saya pasti datang membeli burger di sini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: