MASIH hijau, bertenaga dan taksub terhadap muzik. Itu persepsi awal yang menjelma di fikiran sebaik kami bertukar salam pada pertemuan yang diaturkan dengan dua anak muda ini pada petang itu.
Si manis berkulit sawo matang ini, Priyadashini Loganathan atau mesra disapa Dasha adalah anak gadis kepada penyanyi kumpulan muzik lagenda tanah air Alleycats iaitu mendiang Datuk Loganathan Arumugam atau Loga.
Sementara, si teruna berdarah kacukan yang bernama Daniel Veerapen ini pula adalah anak bongsu kepada pemain piano tersohor, Michael Veerapen.
Sesuai dengan kata pepatah, ‘ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi’, ternyata legasi seni yang diwarisi mereka tidak dipersia-siakan mahupun terkubur begitu saja.
Menariknya, mereka bukan sahaja pewaris seni bapa masing-masing, malah turut saling mengenali selepas bergabung dalam sebuah persembahan pentas di Alexis, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Eksklusif minggu ini, Mingguan mStar mendekati waris Loganathan dan Michael Veerapen ini untuk lebih mengenali, berkongsi cerita dan merungkai tentang bapa masing-masing daripada kaca mata kedua-dua anak remaja ini.
Dasha ingin berduet
dengan John Mayer, Michael BubleBercerita tentang dirinya dan muzik, gadis berusia 23 tahun ini mengakui dia amat bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga seni.
Bukan sahaja bapanya yang mesra disapa Loga itu dikenali menerusi populariti kumpulan Alleycats, malah pakciknya sendiri, David Arumugam juga merupakan penyanyi utama kumpulan itu.
Justeru, apabila menyentuh tentang muzik, subjek itu bagaikan sudah sebati dengan dirinya. Apa tidaknya, bapa dan pakciknya sendiri adalah anak seni.
“Muzik begitu dekat dengan diri saya. Bapa dan pakcik sendiri adalah pemuzik. Sejak kecil lagi saya dikelilingi oleh muzik dan membesar dalam persekitaran itu.
“Malah, saya bersyukur kerana dikurniakan bakat menyanyi seperti bapa yang membolehkan saya bergelar penyanyi, mempersembahkan pelbagai lagu yang suka serta lebih menghargai muzik,” katanya.
Menyentuh tentang muzik kegemarannya, Dasha berkata, semua jenis muzik yang sedap didengar menjadi pilihannya tanpa prejudis.
Apa pun, Dasha senang dengan genre jazz yang dipersembahkannya di serata tempat dan majlis.
“Saya dengar semua jenis muzik. Apabila bercakap tentang muzik, tarikan kuat untuk saya menyukai sesebuah lagu itu bergantung kepada liriknya.
“Tidak kiralah lagu itu bergenre rap atau metal rock sekalipun, jika liriknya bagus dan memberi kesan pasti saya akan suka,” kongsinya.
Ditanya mengenai dirinya selaku waris legasi seni suara, Dasha berkata, dia sangat berbangga menjadi anak Loga.
Bapanya bukan hanya penyanyi atau penghibur, bahkan dia menyifatkan bapanya itu sebagai mentor yang tiada taranya.
“Tiada perkataan yang boleh menggambarkan betapa bangganya saya dilahirkan sebagai anak Loga. Bagi saya bukan nama dan popularitinya sebagai penyanyi yang buatkan saya bangga tetapi sifat kelakian dan kebapaan yang dimilikinya itu,” ungkapnya. Beralih kepada karier nyanyian, anak jati Pulau Mutiara ini berkata, walaupun namanya masih asing di kalangan peminat muzik arus perdana, hakikatnya Dasha sudah lama menyanyi.
Sejak di bangku persekolahan lagi dia sudah mula menyanyi. Bermula sebagai penyanyi di restoran 68 Kelawai di Pulau Pinang dan beberapa lokasi lain, Dasha bukan sahaja puas menyanyikan pelbagai lagu, malah turut mendapat restu dan sokongan keluarga.
“Kerjaya sebagai penyanyi yang bermula daripada minat yang mendalam ini bukan sahaja buat saya gembira dan memberi kepuasan kepada saya.
“Saya masih ingat sejak kecil lagi, bapa banyak mengajar saya teknik nyanyian yang betul dan kami sering berduet. Begitu juga ibu dan abang yang sangat menghargai dan menyokong minat dan kerjaya saya. Saya tidak tahu apa yang akan dilakukan jika mereka tiada,” katanya.
Berkat pengalamannya beraksi di pentas-pentas hiburan di Pulau Pinang, dia makin berani dan yakin melangkah tanpa perlu menoleh ke belakang lagi.
Hari ini, anak bongsu daripada dua beradik ini aktif memenuhi undangan pelbagai majlis rasmi dan korporat, selain beberapa pusat hiburan seperti Alexis dan No Black Tie di Kuala Lumpur.
Sekadar mengusik sebelum mengakhiri sesi temubual, pemegang Diploma dalam Komunikasi Massa dari sebuah kolej swasta ini sempat ditanya mengenai impian terbesarnya.
“Saya ingin membawa muzik saya, nama bapa dan negara saya ke serata dunia. Jika ia jadi kenyataan, mungkin tidak mustahil saya dapat berduet di samping John Mayer dan Michael Buble,” katanya dengan penuh berkobar-kobar.
Impian beraksi bersama bapa
Apabila diajak berbual tentang keserasiannya dengan muzik jazz, pemuda berusia 22 tahun ini mengakui, muzik itu bagai sudah sebati umpama darah yang mengalir dalam badannya.
Begitulah mendalamnya cinta Daniel terhadap jazz yang sudah didengarinya sejak dia belum mengenali abjad ABC lagi.
“Saya sudah dengar alunan muzik jazz sejak dalam buaian lagi. Menurut cerita bapa, ketika saya masih bayi dulu, setiap kali saya menangis dia akan main piano dan mengalunkan muzik jazz untuk memujuk saya. Saya hanya akan berhenti menangis apabila dengar muzik itu,” ceritanya.
Imbas kembali permulaan muzik itu dalam kamus hidup Daniel, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, muzik jazz bukan sahaja sudah sebati malah memberi kelebihan buatnya menilai kualiti sesebuah muzik itu.
“Bayangkan sejak kecil lagi, ibu dan bapa sememangnya taksub terhadap jazz mendedahkan saya kepada muzik itu menerusi nyanyian dan lagu-lagu yang diputarkan. “Bapa sendiri banyak memberi pandangan tentang muzik. Sebab itu, saya rasa bertuah walaupun masih muda saya sudah dapat menilai kualiti sesebuah muzik itu hanya dengan mendengar sahaja,” katanya lagi.
Anak muda yang mula memetik piano seawal usia lapan tahun ini juga merancang untuk mengeluarkan album sulungnya hujung tahun ini.
Berbekalkan pengalaman menerbitkan album termasuklah bersama Lewis Pragasam untuk album Asia Beat Urban Beyond dan Noryn Aziz (album Alamaya) yang mendapat pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik (AIM), Daniel yakin untuk tampil dengan album sendiri.
Diberi judul Deroma Volume 1, album bergenre fusion jazz itu bakal memperlihatkan eksperimentasi dan penterjemahannya dalam muzik jazz.
“Selama ini, saya banyak menimba pengalaman di belakang tabir dengan menerbitkan lagu dan album beberapa artis popular. Dengan pengalaman itu saya semakin yakin untuk muncul dengan album sendiri pula,” katanya.
Berbual pelbagai topik dengan anak muda ini, tidak lengkap rasanya jika tidak menyentuh tentang ikon jazz Michael Veerapen.
Mengimbas serba ringkas tentang pemuzik jazz terkenal itu, dia mendapat pendidikan muzik dari Berklee College of Music, Amerika Syarikat.
Cinta dan komitmennya terhadap perkembangan muzik jazz di Malaysia memang tidak perlu disangkal termasuklah menganjurkan konsert rock jazz pertama di Malaysia pada tahun 1978 bersama rakan seperjuangan yang juga pemuzik terkenal, Lewis Pragasam.
Sambil mengukir senyuman Daniel berkata, bapanya adalah seorang yang penyayang namun tegas pada masa yang sama.
“Saya bertuah dan bangga dilahirkan sebagai waris Veerapen yang diperakui kerana bakat seninya. Dia bukan sahaja mentor yang baik malah sangat menyokong minat saya.
“Saya banyak belajar daripadanya terutamanya tentang muzik jazz. Yang lebih membuatkan saya kagum, kemahiran bapa bermain piano dan penguasaannya dalam muzik jazz makin hebat hari demi hari walaupun selepas lebih 30 tahun memetik piano,” ceritanya.
Sebelum perbualan kami pada petang itu bernoktah, Daniel sempat diusik mengenai impian terbesarnya dalam hidup. Jawabnya, impian terbesarnya adalah untuk berkongsi pentas bersama bapanya di dalam satu persembahan.
“Saya berangan-angan untuk beraksi di samping ayah di atas satu pentas. Bayangkan, dua piano beraksi di atas satu pentas dalam sebuah persembahan jazz. Pasti menakjubkan jika ia jadi kenyataan,” ujarnya sambil merenung jauh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: