Wednesday, June 30, 2010

Bengkel jahitan jana pendapatan

TIADA apa yang lebih menggembirakan bagi sesetengah ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) apabila keinginan serta minat mereka dipenuhi.

RASMI...wakil RTK, Muslim Aid dan Pusat Jahitan & Senireka  Cemerlang bergambar bersama ibu tunggal dan OKU.
RASMI...wakil RTK, Muslim Aid dan Pusat Jahitan & Senireka Cemerlang bergambar bersama ibu tunggal dan OKU.
JANA PENDAPATAN...kemahiran menjahit membuka peluang luas untuk  tambah pendapatan.
JANA PENDAPATAN...kemahiran menjahit membuka peluang luas untuk tambah pendapatan.
Apatah lagi sekiranya perkhidmatan itu diberi secara percuma, sekurang-kurangnya meringankan beban mereka yang kebanyakannya tidak bekerja. Jika sebelum ini rumah perlindungan wanita terutama bagi ibu tunggal hanya menyediakan perlindungan daripada segi tempat tinggal, makanan serta minuman sahaja, kini ada sinar lebih menggembirakan bagi mereka apabila Muslim Aid melancarkan bengkel jahitan pakaian, langsir dan kraftangan bermula 12 Mei lalu bertempat di Rumah Titian Kaseh (RTK), Kuala Lumpur. Menurut Pengarah Program Bengkel Jahitan Muslim Aid, Azmira Sarip, bengkel berkenaan adalah program komuniti untuk ibu tunggal dan OKU sekitar Kuala Lumpur dengan mendapat dana daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) serta bantuan tiga mesin jahit daripada Baitulmal. "Ketika berkunjung ke RTK, kami mendengar keinginan ibu tunggal yang mahu belajar menjahit. Selepas berbincang dan membuat kertas kerja, akhirnya bengkel jahitan dapat dijalankan," katanya. Bengkel jahitan pakaian yang bermula pada Mei lalu kini menjalani sesi pembelajaran kelima dan akan berakhir apabila sampai sesi kelapan. Selepas itu akan diteruskan untuk jahitan langsir dan kraftangan. Untuk setiap sesi, 10 ibu tunggal dan OKU terbabit. Mereka akan menjalani kelas jahitan pada waktu malam bermula pada jam 8 sehingga 10 malam pada Isnin dan Khamis sahaja. Tenaga pengajar adalah daripada Pusat Jahitan & Senireka Cemerlang dengan tenaga pengajarnya, Zunaini Ismail. "Latihan pada waktu malam bagi membolehkan ibu tunggal bekerja supaya bersama-sama belajar menjahit," katanya.


Menurut Azmira, bengkel jahitan ini bertujuan membantu ibu tunggal dan OKU supaya dapat menjana pendapatan sendiri. Sekurang-kurangnya selepas selesai sesi latihan, mereka boleh menjahit pakaian untuk keluarga atau mengambil upah menjahit. Selain untuk warga RTK, bengkel jahitan terbuka kepada orang ramai. Menurut Pengerusi Rumah Titian Kaseh, Sharifah Adlan, dia amat terharu dengan program komuniti anjuran Muslim Aid kerana dapat membantu ibu tunggal dan OKU supaya mereka memiliki kemahiran tertentu. "Sebelum ini mereka mempunyai kemahiran memasak dan menjalankan katering di kawasan sekitar serta membuat kraftangan. Kini dengan adanya bengkel jahitan, ibu tunggal mempunyai peluang yang sangat cerah untuk memperluaskan kemahiran mereka kepada keluarga pula.


"Sekurang-kurangnya mereka tidak lagi perlu membeli pakaian," katanya. Apa yang penting, masyarakat di luar sentiasa menunjukkan sokongan dengan membeli barangan yang dihasilkan RTK. Menurut Abizatul Abu Bakar, 35, sebelum ini dia langsung tidak tahu menjahit walaupun ibunya adalah tukang jahit. "Saya tidak pernah berkeinginan menjahit sehinggalah wakil daripada Muslim Aid datang ke sini. Selepas tamat sesi latihan saya akan menyambung kepada jahitan langsir dan membuat kraftangan. "Baru sekarang saya terfikir pentingnya seseorang itu mempunyai kemahiran. Tambah pula ibu tunggal seperti saya. Selepas ini saya boleh menjahit baju raya untuk diri sendiri dan anak," katanya. Bagi Haslinda Dol Hamid, 37, kematian suami pada 2004 memberi pengajaran kepadanya. Ini kerana ketika itu dia tidak bekerja dan terpaksa menyara tiga anak. "Mujur saya diterima tinggal di RTK bersama tiga anak. Bayangkan ketika suami meninggal saya mengandung anak bongsu. Sekarang saya mahu menggunakan peluang yang ada. "Saya belajar menjahit untuk diri sendiri dan anak, jika semakin mahir saya bercadang mahu mengambil upah menjahit," katanya yang kini menyewa kedai menjual baju terpakai dan barang runcit di Istana Budaya. Bagi pemilik Pusat Jahitan & Senireka Cemerlang, Zamri Zaid, menjadi tukang jahit dan tinggal di bandar besar menjanjikan pendapatan lumayan, walaupun seseorang itu tidak mempunyai butik. Untuk sepasang baju kurung tanpa jahitan manik boleh mencecah harga antara RM45 hingga RM55. Sekiranya dihasilkan di butik, upah menjahit baju meningkat kepada RM80 hingga RM150 ke atas bergantung kepada jenis kain. Sekiranya sepasang baju kurung bersama sulaman manik, harga semakin meningkat.


Justeru, mempunyai kemahiran menjahit pakaian adalah satu kelebihan kerana mereka boleh memiliki perniagaan sendiri. "Modal untuk menjahit baju tidak besar. Bagi tukang jahit sambilan mereka tidak perlu menyewa kedai. Modal digunakan hanya benang dan mesin jahit.


"Justeru bengkel jahitan pakaian anjuran Muslim Aid dan RTK ini sangat baik untuk wanita menambah kemahiran yang ada di samping menjana pendapatan dalam perniagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: