DIA kembali menyinar selepas mengharumkan nama negara menerusi World Championships of Performing Arts Ke-13, (WCOPA 13) di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 11 hingga 19 Julai tahun lalu.
Penyanyi genit yang dicungkil bakatnya pada peringkat akhir Bintang RTM 2001 ini berjaya membuktikan kehebatan vokal dan kemampuannya beraksi di pentas apabila turut memenangi dua pingat emas bagi kategori 'World Music' dengan menyampaikan lagu Ghazal Untuk Rabiah dan kategori R&B/Jazz dengan lagu Dream.
Namun, selepas melakar sejarah dalam karier seninya, penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu seolah-olah menyepikan diri di persada hiburan.
Hakikatnya, anak bekas penyanyi, pengarah dan pelakon Raisuddin Hamzah ini masih sibuk memenuhi undangan persembahan pentas daripada syarikat korporat mahupun individu perseorangan.
"Secara peribadi, kalau tak ada produk baru, saya tak akan muncul dalam akhbar mahupun majalah. Mungkin saya tidak banyak publisiti tapi agenda seni saya selalu padat dengan undangan persembahan daripada pelbagai pihak. Cuma ia tidak mendapat liputan media."Saya gembira selepas WCOPA dan One In A Milion (OIAM), peminat mula memberikan sokongan semula kepada karier seni dan ia menaikkan semangat saya untuk terus menyanyi dan merakamkan lagu.
"Terbaru, saya akan menjayakan persembahan Malam Seri Busana Ratu Sehari bersama Wan Azlan & Zainurin Couture di Grand Ballroom, Hotel Summit, Subang Jaya pada 11 Julai nanti. Artis lain yang terbabit ialah Ziana Zain dan Azmir Arif. Majlis yang bertema Glamorous ini ialah pertandingan tatarias ratu sehari dan busana pengantin," katanya kepada Rap.Sarah yang kini bergerak sendiri menerusi syarikatnya, Siti Sarah Productions juga rasa lebih selesa bernaung di bawah syarikat sendiri.
"Saya juga bebas untuk terbitkan lagu sendiri dan tahu apa yang saya mahu. Buat masa ini, saya masih dalam proses pembikinan single terbaru yang juga ciptaan komposer Aidit Alfian dan liriknya oleh Ad Samad.
"Sebenarnya, lagu ini sudah lama disimpan ketika saya masih bersama syarikat rakaman NAR Records lagi iaitu empat tahun lalu. Lagu dan melodi sudah ada dan Aidit akan menggubahnya untuk dijadikan single terbaru saya.
"Kekuatan lagu ini pada melodinya. Saya dan Aidit juga belum pasti judul lagu ini. Maklumlah, buat lagu ini bukannya senang kerana gubahannya kena kuat. Aidit juga ingin hasilkan lagu terbaik kerana memikirkan saya sudah lama tidak ada lagu baru.
"Saya belum masuk studio lagi untuk rakaman lagu Aidit kerana dia sibuk. Selain itu, saya juga terbabit dalam program baru, Keynote bersama komposer Ajai dan saya menjadi artis pilihan salah seorang komposer baru berkenaan. Jika lagu ciptaan komposer baru itu menang, ia akan dijadikan single saya seterusnya," katanya.
"Pada bulan lalu, saya memang sibuk dengan undangan persembahan dan insya-Allah, kalau ada rezeki, single terbaru saya diharap akan mengembalikan kegemilangan saya di persada seni.
"Buat masa ini, saya akan muncul single demi single terlebih dulu mengikut cara pasaran album semasa. Maklumlah, sekarang musim 'download' (muat turun) lagu dan single ini juga boleh dimuat turun peminat," katanya.
Mengenai konsert pula, kata Sarah yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam bidang seni, dia merancang untuk buat showcase terlebih dulu.
"Kalau nak buat konsert, kita memerlukan penaja yang besar. Justeru, biarlah saya buat showcase untuk sampaikan beberapa lagu popular saya terlebih dulu. Misha juga ada beritahu cadangannya untuk buat showcase dan saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengannya. Saya juga minat untuk bekerjasama dengan artis lain seperti Amy Search dan Ramli Sarip," katanya.
Mengembangkan lagi karier seninya, Sarah juga berjinak-jinak dalam bidang lakonan yang juga salah satu cabang seni diminatinya.
Antara lakonannya dalam Senario untuk TV3 dan drama untuk TV1.
"Sampai masanya untuk saya mencuba watak berat pula dan kalau boleh bukan watak komedi lagi kerana saya banyak terima tawaran membawa watak komedi.
"Saya juga tidak melihat penyanyi yang turut berlakon menjadi satu kesalahan. Contohnya, penyanyi Hollywood seperti Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez pun berlakon juga," katanya.
Menyentuh soal pengganti pula, Sarah yang pernah putus tunang dengan jejaka dari New Zealand, Mohd Harith Fuad Robbinson, mengakui belum bertemu calon sesuai lagi. Sebelum ini, Sarah juga hangat digosipkan dengan Shuib Sepah atau nama sebenarnya Shamira Muhammad walaupun mereka hanya berkawan.
"Ciri-ciri lelaki idaman saya, lelaki itu tidak terlalu serius, garang dan boleh buat kelakar. Selain itu, dia juga menghormati keluarga saya dan pandai memasak. Terus terang, saya juga tidak pernah terfikir sama ada calon suami saya itu bangsa Melayu ataupun Mat Salleh nanti," katanya.
Sebagai insan biasa, Sarah juga percaya soal jodoh itu ketentuan Tuhan.
"Sebelum ini, saya pernah merancang hendak berkahwin pada usia 24 tahun tapi ia tidak menjadi kenyataan pula. Saya juga tidak serik untuk bercinta lagi kerana bagi saya, bercinta dan putus cinta itu perkara yang bagus.
Memang putus cinta menyakitkan tapi bukan setiap hari kita lalui pengalaman itu. Keluarga juga tidak kisah dengan siapa saya nak kahwin kerana yang penting, saya bahagia dengan pilihan hati," katanya.
Profil
NAMA: Siti Sarah Raisuddin
NAMA KOMERSIAL: Sarah Raisuddin
TARIKH LAHIR: 15 September 1984
UMUR: 26 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
STATUS: Bujang
ALBUM/SINGLE: Sarah, Mimpi Pun Sama, Bersamamu, Suatu Masa (Album kompilasi) dan Pasti Berbeza (Single) dan Tiada Dikau Tiada Makna
LAGU POPULAR: Kesetiaan, Jangan Kau Mimpi
PENCAPAIAN: Peringkat akhir Bintang RTM 2001, peserta One In A Million 2, Juara Bintang URTV (2001), Anugerah Album Terbaik, Album Pop Terbaik dan Artis Baru Terbaik, Industri Muzik Malaysia 2003 (AIM2003)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: