Tuesday, June 29, 2010

Gula The Fabulous Cats




MEREKA akrab ibarat adik-beradik. Perbezaan tanah kelahiran langsung tidak menjejaskan hubungan antara dua ‘bunga’ dari grup The Fabulous Cats, Zizi atau NorFazilah @ Zizie Md. Tahir dan Wangi Julianda.

Sebelum bermulanya sesi fotografi di studio Utusan, masing-masing sibuk berbincang dan berkongsi pakaian apakah yang sesuai untuk mereka bergambar agar tampak menarik.

Malah, Zizi pula semakin lancar bertutur bahasa Indonesia ketika berbual dengan Wangi.

“Mana tidaknya, Wangi duduk serumah dengan saya bila dia datang ke sini (Malaysia). Jadi, secara spontan saya bertutur dalam bahasa Indonesia dengannya,” seloroh Zizi sambil melihat Wangi.

Mungkin kerana telah menjadi sebahagian daripada TFC membuatkan dua bunga atau lebih tepat gula The Fabulous Cats itu lebih rapat. Celah Wangi: “Kami ibarat pemanis dalam The Fabulous Cats dan pastinya kami dapat perhatian lebih berbanding Cat Farish (Cat) dan Adeeb. Banyak juga perkara susah senang yang kami kongsi, sebab itu kami rapat.”

Kata Wangi, biarpun mempunyai personaliti yang berbeza, mereka saling melengkapi dan menghargai.

“Saya anggap Zizi macam kakak saya dan kami menghormati antara satu sama lain. Sebab itu kami cepat akrab walaupun baru enam bulan saja perkenalan kami.

“Alhamdulillah, setakat ini kami tak pernah lagi bergaduh. Apa yang menariknya tentang kami, kami suka membeli-belah bersama!,” ujar Wangi bersemangat.

Menurut Zizi pula, dari segi kolaborasi persembahan, mereka senang bekerjasama dan tidak pernah merasa untuk menyaingi sesama sendiri.

“Bagi saya, setiap ahli The Fabulous Cats mempunyai persona yang berbeza. Begitu juga dengan saya serta Wangi dan tak susah untuk kami bekerjasama. Kalau ada masalah sekalipun, kami akan rujuk sesama sendiri.

“Walaupun wujudnya perhatian dan perbandingan oleh mata-mata umum, saya tak kisah siapa yang mendapat perhatian lebih. Lagipun karakter dan suara kami berbeza. Jadi kami tak perlu berlawan menyanyi sekuat hati untuk menonjolkan diri. Cat juga beritahu macam mana aplikasi vokal yang menampakkan kelebihan dan kepentingan masing-masing,” katanya

Tak suka lelaki Mat Saleh

Pasti ramai yang tertanya-tanya, dengan memiliki pakej dan bakat yang menarik, apa yang membuatkan Wangi sanggup menjadi penghibur di Malaysia sedangkan pasaran Indonesia lebih meluas?

Bagi Wangi, rezeki berada di mana-mana sahaja. Tambahan pula, gadis berusia 19 tahun itu selesa dengan perjalanan seninya bersama The Fabolous Cats dalam industri muzik tempatan.


WANGI (berdiri) dan Zizi rapat seperti adik-beradik.


“Alhamdulillah, saya gembira kerana diterima dengan baik di industri hiburan Malaysia dan berharap dapat mengembangkan sayap nyanyian yang lebih besar di sini.

“Pada saya, mungkin rezeki nyanyian saya ada di Malaysia. Lagipun, The Fabulous Cats terdiri daripada ahli-ahli dari tiga buah negara (Malaysia, Singapura dan Indonesia) bukan? Tak lama lagi, kami akan mempromosikan diri di Indonesia pula.

“Kalau nak tahu, saya merupakan ahli yang paling bongsu dan selalu kena buli (ketawa). Saya selesa bersama mereka kerana Zizi, Cat dan Adeeb menjaga saya dengan baik, terasa seperti sebuah keluarga,” ujarnya yang mahu menyanyi solo di masa akan datang nanti.

Bertanyakan pula mengenai kisah peribadi Wangi yang kononnya sedang hangat bercinta dengan Adam AF2 atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman penyanyi itu menafikannya.

Bagaimanapun, seandainya ditakdirkan bercinta, dia seboleh-bolehnya enggan bercinta dengan lelaki Mat Saleh.

“Hah? Gosip lagi? Mana ada, saya cuma berkawan biasa dengannya sahaja. Pandai-pandai saja.

“Saya belum punya teman lagi. Lagipun saya masih mudah dan tak terfikir pun untuk berkahwin. Fokus saya hanya pelajaran dan karier nyanyian.

“Yang pasti, saya tidak akan mencari lelaki Mat Saleh. Saya suka ‘produk’ lokal,” seloroh Wangi.

Zizi enggan berpisah

Walaupun pelbagai kontroversi yang melanda pada The Fabulous sebelum ini, ditambah pula dengan pertukaran ahli wanita yang kerap, langsung tidak membuatkan Zizi gentar untuk setia bersama The Fabulous Cats.

Malah, tatkala ditanya tidakkah lebih baik jika Zizi menyanyi solo, tergagap-gagap dia mahu menjawab. Seolah-olah enggan berpisah dengan The Fabulous Cats walaupun peluang untuknya terbuka luas.

Menurut Zizi, banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang menyertai The Fabulous Cats hampir setahun lepas.

“Nak ikutkan, Cat dah membuat perancangan tersendiri mengenai hala tuju karier saya. Kontrak saya bersama The Fabulous Cats adalah untuk dua tahun. Tapi kalau boleh saya mahu kekal dengan mereka.

“Saya pun jenis tak kisah sama ada mahu solo atau berkumpulan. Yang penting karier nyanyian saya stabil. Tapi lebih manis jika saya bersama The Fabulous Cats. Mereka ibarat abang dan adik saya.


ZIZI dan Wangi mempunyai kedudukan yang stabil dalam The Fabulous Cats.


“Lagipun, sejak bersama The Fabulous Cats, saya dan Wangi mula belajar cara untuk membuat lagu. Kedudukan saya dengan mereka pun stabil. Tak seperti komen-komen yang sedikit negatif yang pernah diberikan oleh bekas-bekas ahli The Fabulous Cats (Alyah, Farhana dan Ellie) dahulu. Mungkin komen yang diberikan mereka dahulu mempunyai alasan yang tersendiri.

“Apa pun, setakat ini kami tiada masalah dan saya percaya biarpun terdapat pelbagai kontroversi ia tidaklah sehingga menggugat kerjaya nyanyian kami.

“Tiada perasaan berkira dan sama-sama merasai susah dan senang. Menariknya Cat turut mengajar bagaimana mahu meluahkan rasa hati melalui penulisan lirik,” akhirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: