Tuesday, June 29, 2010

FMKL raikan tetamu global




KOTA kosmopolitan Julai ini bakal diserikan dengan warna-warni seni dan budaya Malaysia yang melambangkan perpaduan masyarakat di negara ini.

Festival Kuala Lumpur (FKL) yang dimulakan sejak 2006 itu menjadi kalendar tahunan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Ia bakal disaratkan dengan pelbagai program yang mengetengahkan aktiviti seperti seni persembahan, seni visual, bahasa dan persuratan, warisan, permainan tradisi dan aktiviti keilmuan.

Fenomena yang bermula dengan 40 aktiviti sejak 2006 itu telah berkembang menjadi 115 program dalam penganjuran kali ini. ia dilihat ersesuaian dengan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kesenian antarabangsa seterusnya menarik pelancong asing dalam menikmati keunikan dan kekayaan seni budaya tempatan.

Susulan perkembangan dan peningkatan penganjuran aktiviti tersebut, ia telah memberi impak dan laluan terhadap kemunculan Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL).

Berakar daripada FMKL 2005, festival yang memasuki tahun keenam ini merupakan satu penjanaan aktiviti seni muzik yang direncanakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Ia menjadi sorotan utama bagi pembuka tirai FKL 2010 yang bermula 1 Julai ini.


SENI budaya negara ini perlu terus diberikan platform yang unggul agar terus hidup.


Semenjak penganjurannya pada tahun 2005, FMKL telah berjaya menarik hampir 24,592 orang pengunjung dan peminat seni muzik tanah air dan negara jiran.

FKL ini merupakan inisiatif yang disediakan JKKN dalam usahanya menyediakan peluang dan pengiktirafan buat para karyawan muzik.

Dengan tema Muzik Merentasi Sempadan, festival yang menghimpunkan hampir 100 penggiat muzik tempatan dan antarabangsa itu bakal menjanjikan pelbagai kelainan untuk pencinta muzik.

Pendek kata, ini adalah peluang buat penggiat muzik ini bereksperimen dengan teknologi dan elemen muzik tempatan.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, muzik adalah sebahagian daripada elemen penting seni dan budaya. Ibarat komponen khusus dalam tulang belakang kemajuan negara, ia bergerak seiring dengan kepesatan teknologi.

"JKKN sentiasa melaksanakan program pembangunan kebudayaan dan kesenian melalui usaha memupuk, membimbing, merakyatkan dan menyemarakkan seni dan budaya.

"Program FMKL pada tahun ini meniti landasan yang sama dan dirancangkan selaras dengan penekanan ke arah mengukuhkan perpaduan, membabitkan generasi muda di samping usaha menyuntik nilai ekonomi melalui pengkomersilan produk seni," katanya.


KUMPULAN indie seperti Bunkface dan Hujan mewakili gelombang apresiasi seni golongan muda negara ini.


Norliza menambah, muzik mempunyai kuasa dalam memberi sumber inspirasi kepada masyarakat malahan ada antara mereka yang menjadikannya sebahagian daripada kehidupan. Kuasa tersebut juga mampu membentuk keperibadian seseorang individu.

Sehubungan itu, bagi mengisi kehausan masyarakat yang cintakan pelbagai jenis muzik, susunan program pengisian festival tersebut akan diadakan di beberapa lokasi pelancongan utama di sekitar ibu kota.

Ini termasuk di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kraftangan Malaysia, JKKN, Galeri Petronas, Menara Kuala Lumpur, Actors Studio dan Pasar Seni.

Antara acara yang dijangka menerima sambutan hebat adalah lapan konsert pelbagai genre muzik terdiri daripada Konsert Ella bersama Koir Kebangsaan yang akan berlangsung di Istana Budaya, Konsert Gambus Tradisional Fusion di Taman Tasik Titiwangsa, Konsert Alam di Zoo Negara, Konsert Hujan dan Bunkface serta Konsert Dir Suara 1 Malaysia oleh Koir Kebangsaan di KL Live Hall, Life Centre.

Selain itu, festival tersebut akan dihangatkan dengan Konsert Akhir Rentak Juara RTM di Panggung Anniversari Taman Tasik Perdana, Muzikal Nanta Cooking di Plenary Hall KLCC, dan Konsert Zainal 31 Green di Menara Kuala Lumpur.

Dalam menarik minat lebih ramai masyarakat luar termasuk pelancong antarabangsa, Kementerian Pelancongan turut menganjurkan beberapa program termasuk KL 1 Malaysia Family Fair dan 1Malaysia Contemporary Arts.


NEGARA ini mempunyai pelbagai gelanggang untuk pelbagai perkembangan seni seperti Istana Budaya dan juga Dewan FilharmonikPetronas.


Sejajar dalam memperkasakan penglibatan generasi muda, aktiviti pertunjukan busker yang bakal bermula 4 Julai ini dilihat sebagai wadah terbaik dalam memperkenalkan golongan seniman jalanan ini kepada masyarakat keseluruhannya.

Apabila bercakap tentang pembabitan golongan muda khsusunya remaja dalam bidang muzik dan hiburan ini, pasti maklum balasnya bercampur-campur.

Ada yang melabel remaja yang melibatkan diri dalam kelompok tersebut sebagi golongan yang lalai atau pendokong budaya hedonisme.

Namun realitinya, komuniti tersebut sebenarnya berjuang mengikut aliran kreativiti mereka sendiri. Sedar atau tidak, penganjuran aktiviti seperti ini adalah satu platform buat mereka meneroka peluang baru dalam hidup dan kerjaya.

Bakat mereka dalam nyanyian, lakonan mahupun cabang seni lain sepatutnya tidak diperlekeh masyarakat. Semua itu sebenarnya adalah aset yang mengukuhkan identiti negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: