BARU kembali mengecap kebahagiaan hidup berumahtangga, pasangan yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, Rita Rudaini, 34, dan Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, dilanda badai lagi.
Sewaktu dihubungi, Rita ternyata terkejut dengan dakwaan itu dan meluahkan mengapa ada pihak sanggup membuat fitnah demikian, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.
“Mengapa tidak tanya pihak yang menyampaikan berita itu? Tanya mereka bagaimana mereka tergamak membuat kenyataan begitu dan dari mana mereka memperoleh bukti dan siapakah sumbernya?” tegasnya.
Jelas Rita lagi, dia juga sangsi apabila pihak terbabit yang menyampaikan berita itu menyatakan Aidil turut menjalin hubungan dengan wanita lain.
“Berita yang turut disiarkan menyebabkan Aidil terpaksa menjawab soalan tidak masuk akal daripada temannya. Sebaik berita tersiar, sewaktu pulang ke rumah wajahnya nampak sugul. Ternyata apabila ditanya, Aidil menjelaskan dia dihujani soalan yang menyebabkan dia berasa kurang senang,” katanya.
Jelas Rita lagi, suaminya yang juga ketua pasukan bola sepak negara bawah 23 tahun turut disindir rakan.
“Cerita Aidil pada saya, ada rakannya di Majlis Sukan Negara (MSN) menyindir dengan berkata patutlah dia selalu duduk di MSN, rupa-rupanya kami kononnya tidak lagi tinggal sebumbung.
“Masya-Allah, tergamak orang memfitnah kami sedemikian rupa. Hendak salahkan rakan Aidil pun tidak boleh kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Rita, mungkin orang membuat andaian mereka tidak sebumbung kerana pelakon yang kini popular dengan drama bersiri Nokhtah Erna itu sering pulang ke kampungnya di Kangar, Perlis.
“Kami kini mula sibuk dengan tugas masing-masing, Aidil jika bermain bola sepak untuk negara akan sering ke luar negara dan dalam waktu sama akan menetap di asrama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya pula kembali aktif berlakon. Jadi bagi memastikan keselamatan Aidit Rayyan, 11 bulan, saya menghantarnya tinggal bersama keluarga di kampung.
“Bukan tidak percaya pembantu rumah, tetapi dalam keadaan sekarang dengan pelbagai berita kurang menyenangkan membabitkan pembantu rumah menyebabkan saya dan Aidil mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantarnya ke kampung. Sekurang-kurangnya ibu saya boleh tengok-tengokkan Rayyan,” katanya.
Kata Rita lagi, apabila Aidil ke luar negara atau tinggal di FAM, dia akan pulang ke kampung berseorangan. Mungkin atas dasar itu ada yang melihat dan mula membuat andaian sedemikian rupa.
“Bagaimanapun, saya berasakan berita yang dihebohkan itu keterlaluan. Kalau iya pun, cuba tanya tuan punya badan dulu. Tidak baik mendakwa perkara buruk mengenai saya dan suami. Sepatutnya mereka mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang baru kami bina.
“Saya mengharapkan perkara seperti itu tidak lagi timbul. Saya dan Aidil bahagia. Rumah tangga kami masih seperti biasa dan tetap tinggal sebumbung.
“Diharapkan perkara ini tidak lagi ditimbulkan atau apa saja perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada rumah tangga kami,” katanya.
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Rita mula kembali beraksi menerusi menerusi telefilem Tiupan Sangkakala dan disiarkan menerusi TV3.
“Alhamdulillah, selepas berehat 18 bulan tawaran masih lagi banyak. Malah boleh dikatakan lebih banyak berbanding waktu saya solo hinggakan saya terpaksa menolaknya. Maklumlah saya sejak dulu tidak pernah mengambil banyak tawaran dan akan menumpukan kepada satu-satu kerja.
“Saya tidak berani menerima dua tiga tawaran sekali gus kerana tidak pandai hendak lari dari lokasi dan berkejar ke lokasi lain.
“Tawaran pula semua yang bagus-bagus, termasuk skrip, pengarahan dan pelakon yang digandingkan. Syukur, ini semua rezeki keluarga.
“Saya mengharapkan selepas ini kerjaya saya terus berkembang dengan baik dan dapat memberi lakonan bagus demi tatapan peminat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: