KERAJAAN bercadang mewujudkan akademi francais dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hub francais di rantau ini.
KENANGAN...Ismail (tengah) bergambar bersama kanak-kanak dari Smart Reader yang turut menyertai ekspo berkenaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara sememangnya memerlukan sebuah agensi atau institusi untuk melatih individu berminat menceburi bidang francais.
Katanya, kebanyakan individu yang baru menjadi francaisi lazimnya mendapat latihan dan tunjuk ajar daripada francaisor mereka dan tiada modul yang teratur.
“Melalui akademi francais itu, francaisi akan mendapat latihan yang lebih menyeluruh dan seragam dan secara tidak langsung dapat melahirkan francaisi berkualiti.
“Malah, kita juga boleh menawarkan tempat bagi francaisi dan francaisor dari luar negara untuk mendapatkan latihan di akademi berkenaan,” katanya di Ekspo Francais 2010 di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, semalam.
Bagaimanapun, katanya, perancangan itu masih di peringkat awal dan kerajaan melalui PNS belum menentukan peruntukan bagi melaksanakannya.
Menurutnya, jika usaha itu menjadi kenyataan, negara mungkin menjadi antara negara terawal menubuhkan akademi francais.
“Untuk menjadikan Malaysia sebagai hub francais, negara perlu mempunyai kelebihan dan kepakaran sendiri dan penubuhannya (akademi francais) tepat pada masanya.
“Kita mempunyai Akta Francais 1998 yang berfungsi melindungi francaisor dan diharap akademi francais ini dapat menarik lebih banyak syarikat francais antarabangsa melabur di negara ini,” katanya. Sehingga Jun tahun ini, 447 perniagaan francais sudah didaftarkan dengan 68 peratus daripadanya syarikat francais tempatan manakala selebihnya dari luar negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: