Wednesday, June 30, 2010

Jangan sangka Jue gedik!

BIAR seteruk manapun tohmahan dilemparkan sepanjang karier sebagai pelakon, Jue Aziz tidak pernah patah semangat untuk membuktikan nilai dirinya di mata peminat.

pix_middle

LASAK...suka motosikal berkuasa tinggi.


Meskipun dilabel 'pelakon gedik', Jue mahu dikenali orang mengenalinya sebagai wanita berjiwa kental yang sentiasa memandang ke hadapan.

Jue berkata, dia mahu mengubah penampilan melalui imej baru lebih garang serta lasak yang sesuai menggambarkan jiwa kental dimilikinya.

"Saya sebenarnya seorang wanita yang suka berdikari dan tidak suka terlalu mengharap orang lain untuk membantu memajukan diri. Saya sedia menyahut apa saja cabaran sama ada di luar atau lokasi penggambaran.

"Pendedahan diterima melalui lakonan drama 13 episod terbaru arahan Feroz Kadir bertajuk Janji Kekasih antara drama paling sesuai dengan jiwanya dan watak Karina banyak menggambarkan jiwa saya sebagai wanita lasak.

"Apatah lagi, beberapa aksi memerlukan saya menunggang motosikal berkuasa tinggi iaitu Yamaha R1. Saya tidak kekok mengenakan jaket sert but tinggi kerana memang meminati motosikal laju sejak zaman remaja. Abang banyak mengajar saya mengendalikan motosikal klac ('clutch')," katanya.Sejak bakat Jue atau Zuliana Abd Aziz, 27 dicungkil melalui program realiti, Malaysia Most Beautiful, dia kini semakin laris mendapat tawaran membintangi drama, telefilem termasuk teater muzikal, Impak Maksima The Musical.


Antara drama episod adalah Kala Hati, Sebuah Ilusi, Lagenda Budak Setan serta beberapa telefilem lain seperti Wasiat Anak Dara, Unjul Nak Jadi Orang dan Kasih Sejati.

Kata Jue, sebagai pelakon, dia sentiasa dinilai ramai pihak. Dia sudah lalu terhadap pelbagai tohmahan dan kritikan dilemparkan sepanjang terbabit dunia lakonan yang sangat mencabar ini.

"Saya tidak dapat menutup mulut orang. Hidup perlu diteruskan kerana sebagai artis, sudah tentu ada saja tidak kena. Saya tidak dapat memuaskan hati semua orang.

"Dalam beberapa tahun mendatang, saya tidak mahu hilang fokus. Biarkan yang lama berlalu kerana hidup perlu diteruskan. Biarlah orang hendak mengata, saya mahu meneruskan cita-cita masa depan.

"Lagipun, saya tidak pernah terfikir meninggalkannya semata-mata takut dengan apa dikatakan orang, mereka menilai itu tidak boleh, ini tidak boleh.

"Saya bersyukur tawaran diterima untuk drama dan telefilem masih berterusan. Ada masanya saya tidak dapat mengatakan tidak kerana ada mahukan saya berlakon dan saya tidak menolak rezeki.

"Jadi, saya berterima kasih kerana mereka yakin dan berterusan menyokong karier. Keluarga serta peminat banyak memberi dorongan," katanya.

Jue baru selesai menjalani penggambaran telefilem bertajuk Kasih Sejati arahan Adam Hamid yang akan disiarkan melalui TV3 pada 17 Julai depan.

Penggambaran telefilem diadakan sekitar Kuala Lumpur dan Temerloh, Pahang selama seminggu berakhir 27 Jun lalu.
Jue memegang watak Shikin dengan bergandingan bersama beberapa lain seperti Fouziah Gous, Jasmin Hamid dan Normah Damanhuri.

Mengenai pasangan hidup atau teman baru, Jue tidak mahu serius memikirkannya.
"Saya belum terfikir mengenai pasangan hidup. Saya tidak mahu terlalu bergantung kepada lelaki atau tidak terlalu mengharap.

"Jika menjadi isteri, saya tidak mahu membebankan suami. Memang ada masuk melamar, tetapi berterus-terang belum bersedia mempunyai keluarga.

"Saya mahu memastikan kedudukan kedudukan kewangan stabil dulu. Keluarga perlu dibantu kerana mereka banyak berkorban selama ini. Halangan terbesar timbul apabila minat pudar.

"Bagi saya minat dan semangat mesti berterusan. Lagipun, ramai peminat masih setia memberi sokongan melalui facebook (fb). Sekarang pun, tak terlayan terlalu banyak hendak menjadi rakan fb.

"Saya terkejut kerana fb sudah mencapai lima akaun setakat ini. Saya lebih suka melayan dan membalas sendiri pertanyaan peminat.

"Sokongan ibarat menunggang skuter yang sentiasa diisi minyak baru," katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Zuliana Abd Aziz
TEMPAT LAHIR: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 18 Februari 1983
ADIK-BERADIK: Anak bongsu lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Setiausaha Kolej Stamford
HOBI: Menonton Wayang, Menunggang Motosikal Berkuasa Tinggi
CITA-CITA: Menjadi pelakon berjaya
TELEMOVIE: Wasiat Anak Dara, Unjul Nak Jadi Orang, Berlari Ke Belakang, Anak Rintih, Kasih Sejati, Ab Taufan, Seputih Salju.
DRAMA EPISOD: Lagenda Budak Setan, Janji Kekasih, Kata Hati, Sebuah Ilusi, Intan Sayang Manja, Orang Minyak Naik Minyak.
TEATER: Impak Maksima The Musical

1 comment:

  1. no, i dun think she is the one who is the gedik actress..i really like her..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: