Tuesday, June 29, 2010

Langkah awal Anuar berniaga?


ANUAR kini duta Capital Boutique.


PENYANYI kacak pujaan ramai ini seringkali hadir dengan nilai eksklusifnya yang tersendiri. Tidak kira dari segi penampilan mahupun mana-mana persembahan pentas, boleh dikatakan dia tidak pernah gagal memberikan yang terbaik kepada para peminatnya.

Di gelanggang seni, penyanyi bersuara mantap ini sudah membuktikan kemampuan sebenarnya. Biarpun tidak diulit pelbagai anugerah yang boleh mencantikkan lagi profil seninya namun, dia tetap pemenang di hati para peminatnya.

Baginya, cukuplah andai apa yang dipersembahkan dalam nyanyian dijiwai sebaik mungkin oleh peminat dan mereka dapat merasai kepuasan yang diberikan.

Penyanyi berbintang Aquarius yang mula mencipta nama diawal usia kanak-kanak bersama pasangan duetnya Elena itu baru-baru ini telah dilantik sebagai duta syarikat Capital Boutique yang menjalankan perniagaan barangan berjenama menerusi katalog.

Pelantikan selama setahun bermula 1 Jun lalu itu memberikan satu lagi dimensi lain buat penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka yang sebelum ini pernah terpilih sebagai duta Power Root.

Bertemu Anuar selepas Malam Anugerah Keusahawanan Ke-2, Kumpulan Telco & Post di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini, Anuar memberitahu bahawa apa yang menariknya tentang pelantikan itu ialah dia berurusan 100 peratus dengan orang Melayu.

"Sangat mudah untuk berbincang dan berkomunikasi malah, kami memahami kehendak antara satu sama lain.

"Jarang sekali ada mana-mana peniaga yang cuba memasarkan barangan mereka secara berkatalog seperti yang dilakukan oleh Capital Boutique.

"Bukan itu sahaja, biarpun melibatkan penjualan barangan berjenama namun, pembeli boleh membelinya secara ansuran bulanan. Dengan ini mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang terhad juga berpeluang menggayakan barangan berjenama.

"Bagi saya cara perniagaan yang dijalankan oleh Capital Boutique membuatkan saya begitu tertarik untuk berkerjasama dengan mereka," katanya.

Pada malam tersebut Anuar muncul menyanyikan tiga lagu popularnya Keabadian Cinta, Ketulusan Hati dan Lelaki Ini.

Ditanya adakah ini merupakan langkah permulaannya untuk berjinak-jinak ke bidang perniagaan, sambil tersenyum kata Anuar, tidak mustahil suatu masa nanti dia akan mula mempunyai perniagaan sendiri.

"Insya-Allah suatu masa nanti. Menjadi duta kepada Capital Boutique secara tidak langsung memberi peluang untuk saya terlibat sama mengetahui tentang selok belok perniagaan.

"Cuma buat masa ini saya hanya ingin fokus kepada nyanyian. Jika masanya sudah sampai dan saya sudah semakin selesa dengan kerjaya ini, saya akan mencuba juga nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: