Monday, June 28, 2010

Kisah dan rintihan putera duyung

pix_gal0
SEKALIPUN nama kumpulan X-Factor yang pernah dianggotai Zachery Francis Ubu, 33 sudah berkubur sejak 2003 lalu, minatnya dalam dunia seni tidak berakhir. Malah, Zachery atau Zach sudah beralih dari bidang nyanyian kepada lakonan secara serius sejak 2005.

Jejaka kelahiran Kuantan, Pahang ini berkata, dia berterima kasih kerana kewujudan kumpulan X-Factor yang pernah bernaung di bawah KRU Records seolah-olah membuka ruang kepadanya untuk bergelumang dengan dunia seni. “Saya menerima tempias popular daripada X-Factor. Selepas X-Factor habis kontrak dengan KRU, minat terhadap seni tidak terus luput. Saya cuba nasib dengan berlakon dan lama kelamaan ia semakin serasi.“Sekarang ini, dunia lakonan menjadi sumber mata pencarian hidup sepenuh masa. Pengalaman banyak membantu mematangkan diri terhadap dunia lakonan. Dulu, saya sedikit kebudak-budakan hingga tidak tahu merancang apa yang mahu dilakukan,” katanya sewaktu sedang berehat seketika daripada meneruskan baki penggambaran drama Duyung Aridinata.

Drama bersiri Astana Idaman yang suatu ketika disiarkan di Astro Ria menjadi percubaan pertama Zach di arena lakonan. Dia juga antara pelakon bukan Melayu yang mendapat tempat di hati penonton TV. Bagaimanapun, Zach bertuah wajahnya yang seakan-akan lelaki Melayu menjadi bonus kepadanya memecah tembok dunia lakonan di Malaysia.

“Pada mulanya saya berdepan dengan kesukaran untuk membiasakan diri. Tapi dengan kepercayaan dan kesungguhan yang diberikan, saya mempamerkan prestasi lakonan yang baik kepada pihak produksi dan penonton.

“Disiplin dan kesungguhan diri juga mendorong saya untuk terus memberi tumpuan dalam lakonan. Wajah saya juga boleh dianggap sebagai aset untuk mendapat tawaran berlakon. Kalau dulu memang saya pernah dianggap sebagai lelaki Melayu tapi kini ada yang sudah tahu yang saya sebenarnya campuran kaum Iban dan Bidayuh,” katanya.
Zack, sebelum ini pernah berlakon filem Diari Romeo, Salon dan Adnan Sempit, manakala drama Duyung Aridinata terbitan Zeel Production Sdn Bhd dan arahan Adam Hamid, Zach dia bukan saja diberi peranan utama sebagai duyung bernama Putera Aridinata, tetapi juga diberi kesempatan berharga menyerlah bakat nyanyiannya yang sudah lama ditinggalkan.

Katanya, jika tiada aral melintang, dia akan tampil dengan single terbaru hasil ciptaannya sendiri berjudul Putera Duyung yang bakal diangkat sebagai lagu tema drama itu.

“Ikutkan memang nyanyian seperti sudah tiada dalam hidup saya. Tapi dalam hati, ia masih ada rasa cinta terhadap bidang terbabit. Sesekali dapat juga peluang menyanyi,” katanya yang sudah berpunya dan percintaannya dengan kekasih sudah mencecah lapan tahun.

Mengenai Duyung Aridinata yang turut membariskan Rozie Rashid, Fasha Sandha, Natasha Hudson dan Tony Eusoff, Zach berkata, cabaran besar yang terpaksa dilakukan ialah perlu berenang sambil kaki disarung kostum direka khas dan diimport dari Amerika Syarikat.

“Sebelum ke lokasi penggambaran Pulau Lang Tengah, Pulau Terengganu, pelakon yang terbabit babak berenang menjalani latihan selama sehari di Pusat Akuatik, Shah Alam. Memegang peranan Putera Aridinata, dia lebih tertarik dengan manusia berbanding spesisnya sendiri.

“Bagi Aridinata, dia melihat manusia penuh dengan kebijaksanaan dan boleh merantau melalui darat, laut dan udara. Yang membezakan duyung dengan manusia ialah kaki, jadi keinginannya untuk menjadi seperti manusia mula bercambah.

“Pada masa yang sama Aridinata berdepan dengan kemelut apabila ayahandanya memaksanya berkahwin dengan Puteri Antartinka lakonan Natasha Hudson. Sedangkan hatinya mengejar cinta manusia bernama Cleo (Fasha Sandha). Kerana situasi itu, Aridinata mengingkari semuanya dan mencari jalan untuk menjadi manusia,” kata Zach memberitahu serba ringkas mengenai watak dan cerita Duyung Aridinata.

Drama ini juga buat julung kalinya menyatukan anak keempat daripada lapan beradik ini dengan Fasha Sandha. Akui Zach, dia tidak berdepan dengan masalah untuk melakonkan babak termasuk adegan romantik dengan pelakon yang dilabel penuh kontroversi itu.

“Saya menyenangi Fasha. Dia memberi komitmen yang tinggi. Soal dia dengan isu kontroversinya, itu satu perkara yang tak boleh dicampur adukkan dalam profesional kerja kami,” katanya yang dilahirkan pada 25 Ogos 1977.
Selain drama Duyung Aridinata, Zach baru saja habis menjalani penggambaran drama Si Capik musim ketiga bersama Skop Productions.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: