|
|
Minggu lalu, pada pertemuan itu sementara menantikan sesi fotografi, penulis dapat melihat kemesraan mereka.
Linda ralit membetulkan kemeja hitam dan lengan baju suaminya bagi memastikan Que Haidar kemas dan bergaya untuk sesi fotografi dengan Mega.
Sesekali jari runcingnya menyisir rambut Que yang baru dipotong nipis dan panjang yang menyerlahkan lagi wajah manis suaminya.
Dalam kelekaan itu, Linda Jasmine Hashim yang sedang memangku puteri mereka, Tengku Ratu Haidar, sempat berbisik ke telinga suaminya. Reaksi Que mengundang derai ketawa. Linda tidak terkecuali.
Kemesraan Linda dan Que lebih terserlah apabila masing-masing menyapa dengan panggilan sayang.
Situasi yang jelas menggambarkan ikatan cinta yang kukuh antara mereka tempoh hari membuatkan sesiapa saja yang berada di depan mata mereka ketika itu sukar untuk menerima hakikat bahawa Linda seorang Queen Control!
Namun, untuk memastikan dakwaan itu tidak berasas, soalan diajukan kepada pasangan itu. Linda pastinya sasaran utama penulis. Kepada Linda, soalan ditanya apakah benar dia bertanggungjawab mempengaruhi Que membuat keputusan berhenti berlakon.
Wanita yang berdarah kacukan Melayu, India dan Siam yang diwarisi daripada bapanya serta Amerika, Finland dan Sweden daripada ibunya itu tidak pula tergamam. Barangkali, Linda yang berusia 37 tahun sedia maklum yang persoalan sedemikian akan diajukan kepadanya.
Sebaliknya, sebelum menjawab, Linda memandang ke arah suaminya yang kebetulan mengambil alih tugas memangku Ratu.
Kata Linda, awalnya dia terkejut apabila didakwa sedemikian rupa dan berpendapat itu merupakan persepsi yang kurang manis untuk dilabelkan kepadanya.
Mementingkan kesempurnaan
Tidak berniat untuk menegakkan benang basah, Linda sebaliknya mempersoalkan tujuan mereka yang mereka cerita tidak benar itu.
Biar dia dilihat sebagai wanita yang sofistikated, namun pada pertemuan itu Linda memaklumkan, dia menyedari kepentingan dia menghormati dan mentaati suami seperti yang dituntut oleh agama.
"Saya bukanlah isteri yang begitu kerana saya sedar agama Islam ada menyebut syurga seorang isteri terletak di bawah tapak kaki suaminya dan kerana itu masakan saya sanggup menderhaka kepada suami saya.
"Tetapi saya tidak nafikan, saya seorang yang mementingkan kesempurnaan. Sejak dulu sampai sekarang dalam hidup saya mengutamakan kesempurnaan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Saya tidak suka pada sesuatu yang dibuat ala kadar.
"Misalnya untuk sesi fotografi ini, memang saya yang menentukan pakaian kami sekeluarga. Bukan itu sahaja malah saya juga mencadangkan Que memotong rambutnya supaya kemas dan menarik.
"Saya rasa tidak salah sebagai seorang isteri saya menjaga penampilan suami dan takkanlah kerana itu saya dituduh sebagai queen control?" soal Linda dalam nada yang cukup tenang.
Pada masa yang sama, Linda menyedari sebagai orang ternama dia tidak boleh mengelak bahawa kehidupan dia dan keluarganya diperhatikan namun dia juga berpendapat tidak adil tuduhan itu dibuat kepadanya.
Apa yang membuatkan dia makin sukar menerima dakwaan itu ialah ketegasannya tidak membenarkan Que aktif berlakon disebabkan mahu menjaga prestij keluarganya.
"Semua itu karut! Tak masuk akal langsung. Semasa kenal Que, dia seorang pelakon malah keluarga saya juga tahu. Saya tidak pernah menghalang Que berlakon bahkan filem Lagenda Budak Setan merupakan filem lakonan Que setelah kami bernikah.
"Saya tidak nampak kerjaya Que sebagai pelakon menjatuhkan martabat saya dan keluarga kerana dia mencari rezeki yang halal untuk kami sekeluarga," kata Linda menjelaskan salah faham masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: