Monday, June 28, 2010

Gerai haram punca denggi

KUALA LUMPUR: “Kewujudan gerai beroperasi secara haram dan pengusaha yang tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan meningkatkan lagi kes denggi di sekitar Lembah Pantai,” kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, semalam.

SERAH...Raja Nong Chik (tengah) menyerahkan cat kepada Yahya  (kiri) sambil diperhatikan Pengarah Eksekutif Kumpulan UOA, Kong Pak  Lin, semalam.
SERAH...Raja Nong Chik (tengah) menyerahkan cat kepada Yahya (kiri) sambil diperhatikan Pengarah Eksekutif Kumpulan UOA, Kong Pak Lin, semalam.
Katanya, sikap tidak bertanggungjawab peniaga dengan membiarkan sampah seperti bekas makanan bersepah di sekitar laluan utama menjadi salah satu tempat pembiakan nyamuk aedes.


“Kes denggi di Lembah Pantai meningkat sebanyak empat peratus iaitu 273 kes sejak Januari sehingga pertengahan Jun tahun ini berbanding 267 bagi tempoh sama sebelum ini.


“Antara lokasi yang dikategorikan kawasan panas kes denggi ialah Vista Angkasa dan Desa Aman namun Taman Bukit Angkasa pula menunjukkan penurunan iaitu lima kes sejak Januari lalu berbanding 30 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya ketika merasmikan Program Gotong Royong Perdana Kempen Pencegahan Denggi, di sini, semalam.


Beliau berkata, penduduk perlu mengambil inisiatif sendiri bagi mengurangkan jumlah kes denggi dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa.


Dalam masa sama, beliau turut berkata, pihak kementerian akan mengumumkan tapak gerai sementara bagi peniaga di sekitar jalan Pantai Dalam selewat-lewatnya Julai nanti.


Katanya, terdapat sebuah syarikat yang bersetuju untuk membina lebih kurang 100 buah gerai di tapak pasar tani berdekatan malah dijangka siap penghujung tahun ini.


Program gotong-royong berkenaan anjuran Madrasah An Nur, Taman Bukit Angkasa dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Sementara itu, Pengerusi Pengelola program, Mohd Yahya Yusop berkata, hampir 500 penduduk membabitkan lapan blok menyertai gotong-royong itu.


Katanya, program diadakan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes di kejiranan terbabit, di samping mewujudkan sikap bekerjasama antara penduduk.


Sementara itu, penduduk, Norshalizah Ahmad, 37, berkata, program terbabit perlu diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.Norshalizah menetap di taman itu sejak 1996 mengakui program berkenaan akan menjadikan orang ramai lebih prihatin untuk menjaga kebersihan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: