|
|
RUMAH TANGGA seharusnya menjadi tempat yang tenang bagi setiap anggota keluarga. Tidak kira ke mana pun anggotanya pergi, mereka tetap mahukan ketenteraman di dalam rumah.
Sayangnya, rumah sudah tidak lagi dianggap seronok untuk didiami. Suami, isteri, bahkan, anak-anak sekarang lebih mudah menemui dan mencari kegembiraan di luar rumah.
Justeru, sakinah menjadi impian dan harapan kita semua. Ini kerana, sakinah adalah konsep keluarga yang dapat memberikan ketenangan psikologi, sungguhpun kadang-kala ada cabarannya.
Memahami akan hajat setiap insan kepada sebuah rumah tangga yang sakinah menjadi pencetus idea Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan tajaan Kumpulan Syarikat QSR Brands Bhd. dan KFC Holdings Malaysia Berhad, melancarkan program bual bicara yang menyentuh isu-isu kekeluargaan bertajuk, Keluarga Sakinah menerusi stesen radio IKIM FM.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, pelancaran program berkenaan yang dinamakan sempena tajuk novel karya Profesor Datuk Sidek Baba itu bertepatan dengan moto IKIM FM iaitu bagi mendidik, menghibur dan menyampaikan maklumat kepada pendengar.
"Saya yakin program ini mampu memberi kesedaran dan menjadi rujukan semua peringkat masyarakat, khususnya umat Islam dalam menangani masalah sosial yang semakin rumit sekarang ini," katanya pada majlis pelancaran program terbaru radio IKIM FM.
Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands Bhd. dan Johor Corporation (Jcorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim; Sidek selaku Ahli Lembaga Syariah QSR Brands Bhd., dan Pengarah IKIM FM, Nik Roskiman Abdul Samad.
Katanya lagi, program yang mengandungi 52 episod akan ke udara setiap Isnin dari pukul 5.15 hingga 6 petang bermula 7 Jun lalu dan berakhir pada 6 Jun 2011. Program ini dikendalikan penerbit dan pengacara radio, Fairuz Nordin bersama Sidek Baba.
Antara topik yang akan dibincangkan ialah kepentingan pengukuhan institusi kekeluargaan, persiapan menjadi ibu bapa, pembentukan zuriat yang soleh, kemahiran mendidik anak lelaki serta komunikasi dengan anak-anak.
Majlis telah dirasmikan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: