Tuesday, June 29, 2010

Maafkan saya - Ana Raffali


SOKONG... karier seni Ana mendapat sokongan penuh daripada ibunya, Hajijah Rashid (kiri) dan ayahnya, Mohd. Raffali Mohd. Nor (tiga dari kiri) serta abangnya, Mohd. Hardi Razlan.


BELUMPUN dua tahun mencipta nama dalam dunia seni, Ana Raffali yang terkenal dengan imej berbaju kurung dan berkebaya ketika membuat persembahan terpaksa berdepan dengan kontroversi.

Semuanya gara-gara Ana menyanyi slanga mat salih dalam semua lagu dari album pertamanya Ketika Aku Kecil yang telahpun berada di pasaran.

Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali dan bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pendidikan Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dikatakan tidak menghormati bahasa ibundanya sehinggakan menyanyi pekat dengan slanga mat salih.

"Maafkan saya, saya tidak ada niat untuk menghina bahasa Melayu. Tetapi mungkin kerana terlalu biasa bercakap dalam bahasa Inggeris hingga membuatkan lidah saya lali dan menyanyi dengan slanga mat salih.

"Apa pun, saya akan cuba baiki sebutan bahasa Melayu saya dari semasa ke semasa. Saya berharap peminat faham dan beri saya peluang untuk memperbaiki kelemahan dan cara nyanyian saya," pinta Ana.

Menurut Ana, walaupun kontroversi itu membuatkan dia 'terkejut' seketika namun apabila memilih bidang seni sebagai punca rezeki dia sudah bersedia menerima apa juga teguran.

"Keputusan telah pun saya buat apabila menerima tawaran untuk bernaung di bawah syarikat milik Aidit Alfian.

"Segala kritikan akan saya terima asalkan ia membantu membina karier seni saya. Sekurang-kurangnya, jika ada kontroversi, itu bermakna peminat peka dengan kewujudan saya dalam arena seni tanah air," kata Ana ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya Ketika Aku Kecil di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Album terbitan Aidit Alfian Records yang diedarkan Universal Music Malaysia telahpun berada di pasaran sejak akhir April lalu.

Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album itu ialah Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Cuba Jangan, Tolong Ingatkan Aku, Ketika Aku Kecil, Biarkan Kau Terlepas dan Bentes.

Di sebalik keinginan dan minat untuk menceburi bidang muzik, Ana mempunyai alasannya tersendiri apabila membuat keputusan melangkah ke industri muzik tanah air.

Anak kesembilan daripada sebelas beradik itu sebenarnya menyimpan hasrat menggunung untuk melihat keluarganya hidup senang.

"Saya bukan dilahirkan dalam sebuah keluarga yang senang. Saya juga tidak dibesarkan dalam persekitaran yang dilanda kemiskinan.

"Alhamdulillah, ibu bapa saya menyedia dan memberikan segala yang saya perlukan sehingga ke hari ini. Namun sebagai menghargai pengorbanan mereka saya mahu hidup mereka senang ," kata Ana yang mempunyai syarikat sendiri, Ana Rafali Muzik Enterprise.

Anak gadis kepada pasangan Mohd. Raffali Mohd. Nor dan Hajijah Rashid itu menjelaskan, misi utamanya menceburi bidangn seni untuk melihat kedua-dua ibu bapanya hidup senang ketika meniti usia tua mereka.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk kedua-dua ibu bapa saya membesarkan kami yang ramai ini.

"Jadi, kini tibalah giliran saya untuk bekerja keras menyara hidup keluarga. Saya nak mak dan abah berehat di rumah sahaja," cerita Ana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: