Ilham pantai dan laut menjadikan ruang tamu unik, damai dan misteri.
DUA tahun lalu, kediaman Mohd Nirul Nizam ekslusif dengan gaya moden kontemporari yang diterjemahkan menerusi gabungan perabot cita rasa moden, retro dan klasik serta paduan warna dramatik hitam dan merah.
Ketika itu, eksekutif muda ini mengaku begitu teruja dengan impak merah-hitam yang disifatkannya bukan saja mengungkap gaya maskulin tetapi kunci kepada hiasan dalaman unik, tersendiri selain sarat semangat. Namun, sekian lama ditemani warna yang sama, Nirul mengaku jelak sekali gus menjadi penyebab kepada pembentukan ilham penataan baru bertemakan suasana pantai dan laut Carribean. “Ilham dan konsep penataan laut ini muncul ketika mata tidak mahu lelap sekitar jam dua pagi. Disebabkan belum mahu tidur, saya mengisi masa dengan membelek majalah hiasan dalaman dan koleksi gambar pusat peranginan yang ada dalam simpanan. Keasyikan menghayati keindahan pasir pantai dan biru laut membuatkan saya terfikir, alangkah seronoknya jika dapat menikmati pemandangan ini selalu.
“Lalu saya ambil keputusan mencuba biru marin dan disesuaikan perhiasan bertepatan tema,” katanya yang turut melakukan kerja sampingan sebagai pereka dalaman.
Setiap kali mendapat ilham hias baru, Nirul tidak gemar bertangguh sebaliknya berusaha melaksanakan perancangannya ketika itu juga. Maka, bermula dinihari sehingga menjelang subuh, kata Nirul, dia sibuk mengalih kedudukan perabot, mengasingkan perhiasan difikirkan tidak relevan tema serta kegunaan di samping mencari elemen hiasan baru supaya lebih menepati konsep ingin ditonjolkan.
“Saya sanggup mengorbankan masa tidur demi memastikan kelancaran tata hias baru. Lagipun, saya bimbang lupa bayangan penataan dirangka jika terus lena,” katanya yang memulakan proses mengecat dinding ruang tamu dan bilik tidur dengan warna biru diselangi hitam serta memasang kertas dinding rumpai laut di ruang istirahat.
Penggunaan warna biru secara tidak langsung mengehadkan dominasi merah yang sebelumnya menjadi warna nadi kediaman. Percaturan Nirul tidak sia-sia kerana biru berupaya membuatkan ruang nampak lebih lapang, sejuk dipandang selain menyelitkan elemen misteri. Sementara, pilihan kertas dinding mengambil inspirasi dasar laut menunjukkan wujud kesinambungan gaya antara ruang.
Bagi mendapatkan suasana lapang serta terbuka, Nirul terpaksa mengerah tenaga mengubah kedudukan cermin gergasi di ruang istirahat ke tempat baru di ruang tamu.
Meskipun cermin kayu padu itu berat manakala ukurannya mencecah siling, dia berpendapat ia perlu diubah kerana menyajikan pemandangan kurang menarik ruang dapur.
“Sebelum ini, saya bertekad mengekalkan cermin itu di situ kerana berat dan sukar dialihkan. Dulu pun, ia dibawa masuk melalui balkoni kerana ukurannya tidak melepasi pintu. Lama-kelamaan, saya dapati lokasinya yang bertentangan dapur itu tidak kena kerana memantulkan suasana berkecah ruang dapur. Sebab itu, berat dan berisiko macam mana pun, saya tetap dengan keputusan memindahkannya ke ruang tamu,” katanya.
Jika cermin berfungsi memperluas ruang, akuarium siap dipasang dibina di tengah ruang membabitkan pintu masuk, ruang dapur dan ruang bertindak sebagai sempadan yang membahagikan tiga ruang berkenaan. Meskipun tidak sebesar mana, ketinggiannya yang menjangkau siling itu berupaya meminjamkan privacy selain mengasingkan kedudukan ruang terbabit.
“Akuarium itu pernah ditempatkan di penjuru balkoni namun setelah berfikir semasak-masaknya, saya dapati kedudukan sekarang lebih baik kerana selain membahagikan ruang, tetamu memperoleh terapi mata memandang gerak-geri ikan yang berenang bebas dalam kotak kaca itu,”katanya yang menempatkan spesis ikan flowerhorn di akuarium berkenaan.
Seperkara menarik mengenai prinsip menghias Nirul ialah dia tidak pernah melabelkan mana-mana ruang sebagai tidak penting. Jika kebanyakan orang menganggap balkoni sebagai status kelas kedua, bagi Nirul ruang berkenaan sama penting dengan ruang tamu, bilik tidur dan sebagainya.
Justeru, tidak hairan, balkoni miliknya itu dihias sempurna setanding ruang tamu menerusi bangku kayu, meja kopi bulat, bidai rotan, hamparan permaidani seolah rumput hidup, hiasan batu sungai, lampu gantung ala gaya Morroco, lampu terendak Inggeris selain kiri-kanan tempat itu diletak tumbuhan hidup dalam pasu.
Menariknya, pokok hidup berusia matang dan setinggi siling bertindak sebagai pelindung cahaya matahari sekali gus menerbitkan suasana nyaman dan damai di situ. Kata Nirul, selain dijadikan tempat minum petang dan bersantai, dia cukup gemar membaca di sini.
“Memandangkan pelan lantai rumah tidak berapa luas, saya perlu memanfaatkan segenap ruang sebaik mungkin. Jadi, daripada dibiarkan kosong dan menjadi tempat meletak pokok serta ampaian kain, lebih baik balkoni dihias sebagaimana saya mengadun ruang tamu dan bilik tidur. Untuk keselesaan, saya pernah meletak sofa fabrik di situ, malangnya tidak praktikal kerana sofa kuyup ditimpa hujan. Sudahnya, saya tempatkan bangku panjang daripada kayu belian menggantikan balkoni. Saya kemudiannya memasang bidai bagi melindungi ruang daripada tempias hujan dan terik matahari,”ujarnya.
Sungguhpun, gaya penataan dilihat cukup sempurna dan lain dari yang lain, Nirul tidak menjamin hiasan dalaman ini akan berkekalan. Sebaliknya, ia mungkin diubah lagi sekiranya dia dikurniakan ilham baru. Nirul mempunyai pegangan dan prinsip menghias tersendiri iaitu menyokong perubahan gaya mengikut keperluan dan kehendak semasa.
“Demi mewujudkan suasana kediaman mengikut cita rasa semasa, saya tidak keberatan melabur duit dan keringat. Yang penting, selain keselesaan, segenap inci ruang perlu mencerminkan perwatakan peribadi, praktikal dan dekat dengan jiwa,”akhirinya dalam pertemuan petang itu di kondominium ekslusif di Bangsar Selatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: