SEREMBAN 27 Jun - Pelbagai teori pengurusan semasa yang diterapkan sebagai cara kerja seharian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang, Negeri Sembilan, berjaya mengharumkan nama sekolah apabila muncul johan pertandingan kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K) peringkat kebangsaan kategori sekolah menengah bagi tahun 2009.
Antara teori pengurusan yang diamalkan di sekolah itu ialah Blue Ocean Strategy dan permuafakatan organisasi (CO), yang dipantau sendiri oleh pengetua sekolah.
Kata Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yeow Bee Lin, pelbagai amalan dan pendekatan pengurusan berjaya menyatukan hati seluruh warga guru dan masyarakat setempat untuk bersama-sama memajukan sekolah berkenaan.
Dalam teori pengurusan Blue Ocean Strategy semua guru diberi kebebasan menyuarakan pendapat dan tiada budaya cantas mencantas dalam kalangan warganya, manakala di bawah CO, semua warga SMK Pasir Panjang dan masyarakat setempat bekerjasama menjalankan aktiviti berkaitan program 3K.
SMK Pasir Panjang ialah sekolah berstatus luar bandar dengan jumlah enrolmen pelajar 605 orang dan bilangan guru 50 orang.
Latar belakang ekonomi ibu bapa di situ adalah rendah dan sederhana, dengan 80 peratus bekerja di hotel dan pusat peranginan sebagai pembantu am atau sebagainya.
Yeow menambah, permuafakatan setempat dizahirkan dengan penubuhan jawatankuasa induk 3K, yang keahliannya meliputi warga guru, beberapa agensi luar dan tujuh jawatankuasa kerja kampung (JKK).
Konsep CO berlangsung dalam beberapa bentuk aktiviti seperti gotong- royong, kayuhan merdeka (berbasikal), khatam al-Quran, bergotong-royong membuat kuih tradisional pelbagai kaum dan sebagainya. Konsep itu dizahirkan melalui ungkapan budaya disemai di sekolah, disuburkan di rumah, diperkukuhkan dalam masyarakat.
''Bila setiap kali bermesyuarat, kita sebarkan sebarang maklumat tentang aktiviti 3K," kata Yeow.
Sekolah itu mula dilibatkan dengan aktiviti 3K peringkat daerah pada 2007 dan muncul juara, sebelum ke peringkat negeri, pada tahun berikutnya.
Yeow menambah kata, program 3K ternyata telah meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan di sekolah berkenaan, selain meningkatkan sahsiah pelajarnya.
Bukan setakat itu sahaja, sesuai dengan keperluan pertandingan 3K itu sendiri, pihak sekolah mengadakan program diet khas yang dipanggil fit and trim bagi mendapatkan berat badan unggul (BMI) dalam kalangan pelajarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: