Monday, June 28, 2010

Robot Mantin ke Korea Selatan


Leong Choon Yipp memegang Robot Mantin semasa ekspo Hari Guru peringkat Negeri Sembilan di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


SEREMBAN 27 Jun - Tahniah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin Negeri Sembilan yang berjaya menyemai, memupuk dan seterusnya membangunkan bidang robotik sehingga ada wakil pelajarnya yang membuat persembahan di Korea Selatan baru-baru ini.

Walau sekolah itu mendapat jolokan 'sekolah kampung', tetapi dengan keunikan itu juga, maka ciptaan teknikal berprofil tinggi mereka yang diberi nama Robot Mantin telah berjaya mencuri tumpuan apabila muncul johan Pertandingan Robotik Kebangsaan bagi kategori Regular Robot Energizing - dan seterusnya menyertai olimpiad robotik (WRO) di Korea Selatan.

Gandingan oleh pelajar SMK Mantin, Leong Choon Yipp, Vimal Dass A/L Solhe Rajan dan Tay Chye Ann telah mengharumkan nama sekolah itu - yang sebelum ini memang telah mencatat beberapa kejayaan dalam bidang sains, teknologi dan matematik.

Leong, pelajar tingkatan lima ketika ditemul wartawan Utusan Malaysia di Seremban baru-baru ini berkata, tugasnya ialah membuat pengaturcaraan terhadap funsgian robotik kepada Robot Mantin seperti kawalan pergerakan, sensitiviti sensor, kepantasan dan sebagainya.

Anak petani itu berkata, dia mula berjinak dengan bidang robotik sejak berada di tingkatan satu. Tambahan pula, bidang berkenaan berkait rapat dengan minatnya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

Penglibatan pelajar yang agak pendiam itu semakin serius apabila berada di tingkatan empat, dan kerap ke pusat robotik di Seremban 2 untuk mendalami bidang berkenaan. Di sana Leong mempelajari tentang perisian Robo-Lab untuk pemprograman, yang kemudiannya dimuat turun kepada kad ingatan Robot Mantin.

Bagi tujuan pertandingan, Leong dan rakannya mengambil masa dua bulan untuk mereka cipta bentuk robot yang sesuai dengan syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Prinsip asas pengawasan dan pengawalan pergerakan kepada Robot Mantin ialah pemprograman serta pengimbas cahaya dan ultrasonik.

Bagi pertandingan itu, robot bergerak bebas di atas sekeping papan dan diberi tugas mengutip satu item khusus daripada tiga item pilihan. Selain kepatuhan kepada arahan, aspek kepantasan juga diambil kira dalam pertandingan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: